Saturday, December 21, 2013

Misi serampang dua mata Kinabalu



MENGGARU kepala Nor Azmi Mustafa, 34, apabila dimaklumkan oleh majikannya, STT Technologies Sdn. Bhd. (STT Tech) yang mahu menjadikan puncak Gunung Kinabalu sebagai matlamat untuk ditawan bersempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan syarikat tersebut yang beribu pejabat di Kuala Lumpur.
Bisik hatinya, mengapa aktiviti pendakian yang memerlukan stamina tinggi menjadi pilihan majikannya?
Ini kerana ia berlawanan dengan persekitaran kerja yang dilakukan oleh 151 kakitangan syarikat itu yang menawarkan perkhidmatan perundingan sistem keselamatan.
Bukan mahu merendah diri atau memperkecil-kecilkan semangat diri sendiri dan rakan-rakan lain, namun misi tersebut seperti sukar untuk dilakukan, lebih-lebih lagi masing-masing terikat dengan rutin harian kerja yang ketat.
“Ini pengalaman pertama kami mendaki, macam mustahil hendak sampai ke puncak gunung tertinggi ini.
“Persiapan kena rapi, latihan tidak boleh culas untuk memastikan semua peserta mempunyai stamina dan kecergasan tinggi ketika mendaki gunung.
“Takut tidak sempat hendak hadap semua itu sebab masing-masing tengah sibuk bekerja,” ujar Azmi yang mesra dipanggil Tomoi kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.
Latihan
Bagaimanapun, demi memastikan ekspedisi itu berjalan lancar, Tomoi dan rakan lain mula melakukan latihan pada setiap minggu. Mereka turut mendaki bukit-bukau untuk membiasakan otot-otot badan dengan aktiviti pendakian sebelum tiba hari yang dinanti.

BERADA pada ketinggian kira-kira 914 meter dari aras laut sememangnya menguji ketahanan mental dan fizikal kakitangan STT Tech.


Biarpun terikat dengan jadual kerja yang ketat, latihan yang dirangka oleh Pengarah Projek misi tersebut, Muhammad Zharif Suhaimi, 24, tetap dilakukan.
Kesemua 20 pendaki yang terbabit tekun berlatih dan semangat mereka berkobar-kobar untuk menawan puncak gunung kelima tertinggi di Asia Tenggara itu.
Bagaimanapun, sebelum berlepas ke Sabah, peristiwa yang tidak diduga berlaku.
Setiausaha syarikat itu, Rozita Abd. Rasid yang turut menyertai kembara, memaklumkan kepada para peserta bahawa Tomoi terlibat dalam kemalangan motosikal dan mengalami kecederaan serius sekali gus terpaksa menarik diri.
Dalam perut pesawat, kesemua peserta termenung mengenang nasib Tomoi yang sedikit sebanyak melunturkan semangat mereka untuk mendaki gunung kebanggaan rakyat negeri Sabah itu.
Tidak lama selepas menjejak kaki di bandar Kota Kinabalu, masing-masing ceria apabila mendapat perkhabaran gembira yang Tomoi akan turut serta dalam pendakian tersebut.
“Saya tetap ingin teruskan pendakian bagi memastikan misi syarikat ini tercapai,” tegas Tomoi.
Tepat pukul 8.30 pagi pada 2 Disember lalu, selepas mengisi perut, kumpulan tersebut memulakan pendakian melalui hutan tropika yang dipenuhi dengan anak-anak tangga menuju ke Laban Rata sejauh 6 kilometer melalui pintu Timpohon.
Tomoi walaupun cedera seperti tidak menunjukkan sebarang kelemahan dan kekurangan kudrat untuk mendaki.
PESERTA berehat seketika di sebuah pondok sebelum meneruskan pendakian.


Sebaliknya, dia bersama-sama rakan lain turut membantu Rozita, 39, yang mula keletihan lantaran laluan trek yang mendaki.
Semangat berpasukan terbentuk tanpa memerlukan arahan apabila masing-masing saling bantu.
Selain dihidangkan dengan landskap flora dan fauna yang indah sepanjang pendakian itu, ada sesuatu yang menarik berlaku dalam misi tersebut.
Kata-kata semangat menyegarkan halwa telinga sentiasa dilaungkan oleh mereka yang masih mempunyai daya ketahanan tinggi untuk menaikkan motivasi rakan-rakan yang sudah keletihan.
“Ayuh kawan, sikit lagi nak sampai pondok rehat. Kita semua boleh, percaya diri sendiri.” Ini antara kata-kata pembakar semangat yang menguatkan ketahanan diri para peserta.
Beberapa ahli kumpulan itu berjaya tiba di Laban Rata kira-kira pukul 4 petang termasuk Tomoi.
Bagaimanapun, masih ramai lagi yang ketinggalan di belakang dek langkah mulai perlahan sekali gus memerlukan lebih banyak masa rehat sebelum mengumpul sisa-sisa tenaga untuk meneruskan pendakian.
Suasana di Lata Raban telah gelap-gelita, namun rakan-rakan lain masih belum juga sampai. Tanpa berfikir panjang, Tomoi memberanikan diri untuk turun semula membantu rakan lain.
Kehabisan tenaga
Akhirnya, semua peserta berjaya tiba di Lata Raban iaitu pukul 8 malam. Waktu beberapa jam sebelum pukul 2 pagi dimanfaatkan masing-masing untuk berehat sebelum memulakan baki pendakian ke puncak sejauh 3.7 kilometer yang memakan masa antara empat hingga lima jam lagi.
Rozita memujuk dirinya untuk meneruskan pendakian meskipun sudah kehabisan tenaga meredah laluan sejauh 6 kilometer sebelum ini kerana ia adalah matlamat yang hendak dicapai.
“Saya fikir, kalau saya tidak teruskan pendakian, mesti yang lain terutama golongan yang masih muda patah semangat kerana terkejut dengan cabaran pendakian ini,” katanya.
Semangat juang Rozita itu dan ditambah kecekalan Tomoi yang cedera untuk menjayakan misi tersebut membuahkan hasil apabila semangat rakan sekerja lain untuk meneruskan pendakian kembali membara.

DARI kiri: Mohd. Fikrie, Abdul Azim dan Nursyafiq menuruni laluan selepas berjaya sampai ke puncak Low's Peak.


Meskipun pada penghujung skrip pendakian ini hanya enam orang warga kerja STT Tech yang berjaya sampai ke puncak, namun misi serampang dua mata ekspedisi itu berjaya dicapai.
Warga kerja yang sampai ke puncak ialah Muhammad Al Fatih Aris, 21, Azizan Harris, 27, Mohd. Fikrie Ruslan, 23, Mohd. Nursyafiq Mohd. Najib, 24, Abdul Azim Nasir, 24 dan Siti Fatimah Alias, 36.
Seramai 14 pendaki pula berjaya menjejak kaki sehingga ke kawasan South Peak, St. John Peak, Ugly Sister Peak dan Oyayu Peak yang berada 800 meter lagi dari puncak sebenar, Low’s Peak.
Tomoi dan rakan-rakan lain berasa bertanggungjawab untuk menjaga Rozita yang seperti putus nyawa ketika berada dalam atmosfera dengan suhu serendah 1 darjah Celcius.
Masing-masing mengorbankan pencapaian peribadi untuk berasa megah menjejak kaki di puncak gunung tersebut.
Merasai pahit maung mendaki dalam kumpulan yang kecil mengajar erti semangat berpasukan antara satu sama lain dalam memastikan keselamatan insan-insan yang tidak berdaya dijaga.
Benar, puncak Low’s Peak itu menjadi matlamat awal, namun pengurusan STT Tech memandang lebih jauh daripada itu dan ia jelas berhasil dalam aktiviti kali ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: