Bercerita mengenai pemilihan tajuk album mini terbarunya, Wincci memberitahu, tajuk itu dipilih untuk memudahkan semua peminat terutamanya yang berbangsa Melayu untuk menyebut namanya memandangkan sebelum ini ramai yang agak keliru mengenai sebutan namanya.
“Cabaran utama saya ialah sebutan bahasa Melayu. Banyak perkataan Melayu yang saya tak dapat sebut dengan betul kerana pelat Cina saya terlalu pekat. Maklum saja, saya baru saja balik dari Taiwan.
“Mujur abang Ajai menukar lirik untuk tutup kekurangan saya,” katanya yang ditemui ketika pelancaran album tersebut di M Suite @ Embassy Row, Jalan Ampang.
Menurut penyanyi cantik ini, album yang dihasilkan adalah sebagai hadiah buat peminat yang banyak menyokongnya selama ini.
Wincci berkata, album itu mengandungi lima buah lagu, antaranya Terus Teranglah duet bersama Joe Flizzow, Musim Asmara, Jangan Risau dan Nombor 1.
“Kesemuanya adalah lagu gubahan Ajai dan sangat senang bekerjasama dengannya sekali gus memudahkan saya untuk merakamkannya, " katanya.
Juara Miss World Malaysia 2008/2009 ini juga memberitahu, dia turut menghadapi cabaran dari segi bahasa memandangkan ini merupakan album pertamanya berbahasa Melayu selepas menghasilkan empat album Mandarin sebelum ini.
Album Su Win Si by Soo Wincci yang diedarkan oleh Warner Music Malaysia akan menemui peminat pada 20 Disember ini.
Peminat juga boleh memuat turun lagu-lagu terbaru Wincci di laman-laman Telco dan mengikuti perkembangan Wincci di Facebook, WincciFanPage, Instagram dan Twitter@soowincci.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: