Saturday, December 21, 2013

Rossa kekok bergelar datuk

FIGURA popular Indonesia ini mengakui pernah bercinta dengan lelaki Malaysia.


SELEPAS dianugerahkan darjat kebesaran yang membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun keputeraan ke-83 Sultan Pahang pada 24 Oktober lalu, Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani masih kekok menggalas tanggungjawab itu.
Ujar Rossa, gelaran yang dianugerahkan kepadanya membuktikan persaudaraan antara kerajaan Malaysia dan Indonesia masih utuh.
"Memang ada kontroversi selepas saya dianugerahkan gelaran ini, ada yang tidak berpuas hati kerana saya bukan warganegara Malaysia tapi saya tidak boleh menolak rezeki Allah dan Alhamdulillah saya bersyukur.
"Dengan amanah ini saya boleh memperkuatkan persaudaraan Malaysia dan Indonesia dan sejujurnya tanggungjawab ini sangat berat.
"Layak atau tidak saya tidak tahu kerana gelaran itu diberi bukan sebab saya yang minta dan saya menghargai anugerah yang diberikan. Mudah-mudahan suatu hari nanti pihak terbabit nampak siapa yang layak di mata mereka," ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta di Best Western Premier Dua Sentral, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelas Rossa, dia masih belum terbiasa untuk menerima panggilan Datuk apabila berada dalam khalayak ramai.


"Pertama kali dipanggil Datuk ketika berjalan saya buat tidak tahu kerana belum biasa lagi. Kemudiannya, saya mengadakan sidang akhbar di Indonesia untuk menjelaskan gelaran yang dianugerahkan untuk mengelakkan salah faham," tambahnya.
Menerangkan lebih lanjut ekoran anugerah itu yang diberikan memungkinkan ibu kepada seorang cahaya mata itu bakal lebih kerap bertandang ke Malaysia, Rossa mengakui akan perkembangan itu.
Dua tahun lalu, Rossa pernah dianugerahkan gelaran Kanjeng Mas Ayu Tumenggung (K.M.Ay.T) oleh kerajaan Solo yang terlebih dahulu melatihnya bersikap adil dan liberal.
Ditanya pula tentang khabar angin yang mengatakan Rossa sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang jejaka di Malaysia, penyanyi lagu Pudar itu enggan mengulas lanjut.
ROSSA dan Hafiz berkolaborasi menerusi single berjudul, Salahkah.


"Memang saya ada pacar (kekasih) tapi saya tidak mahu mendedahkan identitinya buat masa sekarang kerana takut menjadi fitnah.
"Saya ada ramai sahabat di Malaysia dan pernah bercinta dengan orang dari sini tapi sekarang saya lebih berhati-hati.
"Kami masih dalam proses mengenali satu sama lain dan sudah pasti dia lebih pintar daripada saya dan lebih berusia," katanya mengenai lelaki yang bergelar usahawan itu.
Sementara itu, Rossa berkongsi keterujaan merakamkan sebuah single terbaharu bersama juara Akademi Fantasia musim ke-7, Hafiz Suip berjudul, Salahkah.
Single yang dicipta oleh Moh Charly Van Houtten itu menjadi runut bunyi drama bersiri terbaharu, Bukan Kerana Aku Tak Cinta yang disiarkan di saluran 134 Mustika HD.
"Ini kali pertama saya mempunyai sebuah single khusus di Malaysia, tambah menarik single ini menjadi lagu tema untuk sebuah drama bersiri di sini.
"Sebelum ini saya pernah mendengar suara Hafiz berduet bersama Datuk Siti Nurhaliza, kebetulan saya mempunyai sebuah lagu yang telah lama saya simpan jadi apa salahnya untuk saya menjadikan lagu itu sebagai lagu duet bersama Hafiz.
"Hafiz seorang penyanyi yang lucu, merendah diri dan terbuka untuk menerima idea baharu serta boleh memberikan kerjasama dengan baik," puji Rossa.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: