Friday, December 27, 2013

Bahana ketagihan laman sosial

MASYARAKAT perlu berhati-hati dalam berkongsi gambar-gambar peribadi di laman sosial agar tidak disalah guna oleh pihak tidak tertentu.


SETIAP kali berada di restoran, kita dapati manusia kini begitu sibuk menuliskan sesuatu di telefon pintar mereka berbanding dengan berbual dengan teman yang berada di depan mereka.
Kelihatan trend ini berlaku di mana-mana sahaja, malah ketika memandu sekalipun pengguna jalan raya tetap mengirim dan menerima mesej. Ia berlaku kepada semua orang, tanpa mengenal umur, jantina dan bangsa.
Mutakhir ini, simptom tersebut diklasifikasikan sebagai satu bentuk penyakit ketagihan baharu yang dinamakan sebagai Social Networking Sites Addiction atau Ketagihan Laman Rangkaian Sosial. Seperti penyakit ketagihan yang lain, ketagihan ini juga memberi implikasi yang teruk kepada psikologi dan emosi manusia.
Sehingga tahun 2012, pengguna Facebook di seluruh dunia dikatakan telah mencecah 900 juta orang dan 500 juta daripadanya mengakses laman sosial berkenaan melalui telefon pintar.
Di Malaysia sahaja, kita dikatakan salah satu pengguna terbesar Facebook dengan anggaran 13 juta pengguna.
Perubahan teknologi dan fungsi telefon mudah alih pada hari ini telah memberi kesan terhadap kegilaan manusia mengakses pelbagai aplikasi jaringan sosial.
Punca penceraian
Ironinya, telefon bimbit kini tidak lagi kerap digunakan sebagai alat untuk manusia berbual, sebaliknya telah berubah menjadi 'mesin taip' untuk manusia berkongsi emosi dengan sahabat mereka di serata dunia.
Walaupun ada kebaikannya, tetapi adakalanya berkongsi emosi dengan sahabat maya ini juga boleh menyebabkan hal buruk berlaku. Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa satu perlima daripada kes penceraian yang direkodkan adalah disebabkan oleh penggunaan Facebook.
Kajian-kajian juga menunjukkan bahawa masa yang banyak diluangkan untuk melayari Facebook boleh menyebabkan pasangan berasa cemburu. Semua ini adalah permulaan buruk kepada keharmonian rumah tangga.
Bayangkan, manusia kini berkongsi segala cerita kehidupan, daripada aktiviti memasak, membeli-belah hingga masalah rumah tangga di laman-laman sosial. Perbuatan ini seolah-olah menggambarkan semua perkara itu bukan lagi privasi buat mereka.
KEKERAPAN melayari laman sosial di peranti pintar boleh menyebabkan seseorang itu ketagih. - Gambar hiasan


Hal ini, hakikatnya membuka kepada pintu bahaya. Ini kerana, tidak semua rakan maya ini mempunyai watak atau personaliti yang sama dalam dunia realiti.
Kajian-kajian menunjukkan bahawa pengguna media sosial biasanya 'melakonkan' watak-watak yang diinginkan. Ia diistilah sebagai selective self-presentation atau peragaan diri terpilih.
Ia boleh dilakukan dengan meletakkan gambar yang menunjukkan kemewahan atau menulis status seperti mereka manusia terpelajar.
Semua ini tidak bermakna bahawa mereka cuba untuk melakukan penipuan. Bagaimanapun, secara psikologiknya, manusia cenderung untuk menampilkan imej manusia budiman demi menjaga status mereka.
Berbeza dengan perbualan melalui telefon atau interaksi bersemuka, manusia juga biasanya membaca mesej yang ditulis berpandukan penilaian imaginasi.
Ayat seperti Saya suka awak mungkin ditafsirkan dengan pelbagai makna. Pembaca mungkin membacanya sebagai Saya cintakan awak walaupun mungkin itu bukanlah seperti yang dimaksudkan dalam mesej tadi. Ia bergantung kepada siapa yang menulisnya dan siapa pula yang membacanya.
Kewujudan pelbagai ikon emosi yang disertakan dalam aplikasi dalam talian ini juga memberikan kesan psikologi kepada manusia. Walaupun ia dalam bentuk yang ringkas, namun manusia cenderung menafsirkan ikon-ikon ini berdasarkan persepsi yang mereka harapkan.
Permainan emosi
Sekiranya kenalan mereka ialah seseorang yang akrab dan kerap berkomunikasi secara maya, ikon love mungkin akan ditafsirkan secara berlainan jika dibandingkan sekiranya ikon yang sama dikirimkan oleh ahli keluarga atau oleh kenalan sesama jantina.
Permainan emosi inilah yang kemudiannya menyebabkan hubungan yang pada mulanya hanya bersifat teman biasa bertukar menjadi semakin erat. Permainan emosi ini melibatkan semua manusia tanpa mengira darjat, status atau pangkat.
Ia mungkin tidak menjadi masalah sekiranya hubungan ini berlaku dalam kalangan anak muda yang masih bujang. Tetapi, ia akan mencetuskan musibah yang besar apabila ia melibatkan mereka yang sudah berumahtangga.
Sebab itulah, pengguna media rangkaian sosial perlu berhati-hati. Ia perlu dibataskan dengan perkongsian maklumat yang mustahak sahaja dan jangan sampai penggunaan medium ini menjadi beban baharu kepada kehidupan mereka.
Jangan juga dibiarkan penggunaan medium ini secara keterlaluan menjejaskan tanggungjawab rumah tangga dan masyarakat.
Dalam satu kajian di Amerika Syarikat, apabila ditanya kepada seorang ibu muda mengapa beliau tidak memberikan perhatian terhadap kerja sekolah anak-anaknya, wanita itu menjawab : "Saya seorang penagih. Saya akan 'hilang' dalam dunia Facebook."
Walaupun kajian tersebut dilakukan di Amerika Syarikat, tetapi kita mungkin menemui hal yang sama di Malaysia.
Justeru, berpada-padalah apabila menggunakan media sosial ini. Ia mungkin menjadi sahabat yang berguna jika kita bijak memanfaatkannya, tetapi juga sahabat durjana sekiranya kita tidak tahu mengendalikannya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: