Tuesday, December 24, 2013

Kelab Peminat Akan Timbulkan Banyak Masalah - Izara Aishah


Izara Aishah
PETALING JAYA: Pelakon Izara Aishah menganggap dia tidak perlu untuk menubuhkan kelab peminat bagi menyokong kerjayanya dalam industri seni tanah air.
Izara, atau nama sebenarnya Izara Aishah Hisham 21, berpendapat, kelab peminat yang ditubuhkan untuk seseorang artis hanya akan menimbulkan banyak masalah berbanding faedah kedua-dua belah pihak.
"Saya tidak ada kelab peminat kerana bagi saya ia hanya akan menimbulkan masalah sesama mereka dan akan melibatkan saya secara tidak langsung.
"Saya lebih suka peminat menyokong kerjaya seni saya secara terbuka dan bukan melalui mana-mana kelab," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada sidang media pelancaran telefilem Oh My English!-Hello America, di Hotel Hilton, di sini, Isnin.
Tambah Izara, ia turut dilihat tidak adil bagi peminat-peminatnya yang lain jika dia hanya memberi tumpuan kepada sesuatu kumpulan individu iaitu dalam kelab itu sahaja.
Jelasnya, dia pernah didatangi sekumpulan peminat yang menubuhkan kelab yang mengeluarkan sejumlah wang sebagai kos untuk barangan-barangan dengan menggunakan namanya.
Namun, selepas nasihat dan penjelasan yang diberikan, kumpulan tersebut dibubarkan.
"Saya tidak mahu bertanggungjawab jika sebarang permasalahan berlaku, jadi lebih elok jika mereka bubarkan sahaja kumpulan tersebut," katanya.
Sementara itu, ditanya ketiadaan pengurus peribadi yang bertindak mengatur strategi menempatkan namanya di sesuatu tahap, Izara berkata, dia selesa menguruskan jadual kerjayanya sendiri.
Dia juga mengambil tawaran berlakon mengikut kekuatan sesebuah skrip dan kekosongan jadual.
"Mungkin silap saya sebab tidak pandai untuk mengatur strategi dan mengakibatkan tahun ini saya senyap tanpa sebarang produk.
"Tapi sebenarnya tahun ini saya banyak ambil tawaran berlakon cuma saya tidak tahu bila ia akan ditayangkan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Izara yang turut berlakon dalam telefilem Oh My English!-Hello Amerika mengakui tidak dapat menjayakan drama bersiri popular itu untuk musim ketiga akan datang.
Katanya, dia menolak tawaran untuk musim akan datang kerana jadual penggambaran yang bertindan dengan beberapa tawaran yang sudah pun diambil.
Telefilem Oh My English!-Hello America akan disiarkan pada 15 Januari depan, pukul 9 malam di Astro TVIQ dan Astro Maya HD.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: