Saturday, December 21, 2013

Jackie Chan tiada tandingan



PADA usianya yang bakal menjengah 60 tahun menjelang 2014 kelak, stamina yang dipaparkan dalam setiap filem aksi lakonannya sangat mengujakan. Itulah kehebatan Jackie Chan yang memang tidak dapat dinafikan lagi walaupun kini ramai pelakon baharu yang muncul.
Berpeluang bertemu aktor tersohor Hong Kong yang berjaya mencipta nama di Hollywood itu merupakan saat yang begitu bermakna.
Ini kerana bukan mudah untuk meraih peluang bertentang mata dengan Jackie. Bakal tampil dalam filem terbaharu Police Story 2013, baru-baru ini Jackie turun ke Malaysia bagi mempromosi filem tersebut di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur.
Berbicara terus mengenai watak yang dilakonkannya dalam filem itu iaitu sebagai seorang anggota polis yang bernama Zhong Weng, tutur Jackie, karakter lakonannya itu menuntut dirinya menghidupkan watak seorang ayah kepada anak yang sedang memberontak dari segi emosi.
"Perbezaan Police Story kali ini ialah ia kurang dengan aksi dan banyak drama. Ia memang lain daripada filem Police Story yang pertama kali dihasilkan pada tahun 1985. Kali ini, saya memegang watak ayah kepada seorang anak perempuan.
"Sejujurnya, jalan cerita filem ini memang sangat releven dengan kehidupan sebenar saya. Suatu ketika dahulu, saya seorang yang sangat sibuk sehingga mengabaikan keluarga. Walaupun begitu, saya amat menyayangi anak-anak saya," akuinya.
Lebih drama, kurang aksi
Bicara lanjut mengenai Police Story 2013, kali ini Jackie banyak bermain dengan emosi yang padat dengan elemen penuh drama.
Akui Jackie, kini dia mahu memberi tumpuan kepada filem yang mengandungi lebih banyak elemen drama berbanding aksi.

MESRA. Jackie menjawab soalan-soalan yang diajukan media Malaysia pada sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.


"Saya rasa, mulai sekarang tidak semestinya semua filem yang saya lakonkan seperti CZ12. Jadi, kali ini saya mahu lebih fokus terhadap watak saya dan bukan aksi.
"Apabila menonton Police Story 2013, anda pasti dapat lihat elemen aksinya juga tidak sarat sepertimana dalam CZ12," jelasnya yang bakal tampil dalam filem berjudul Dragon Blade pada tahun 2015.
Memberi pendapat peribadi, tutur Jackie, filem aksi kini sudah kurang unsur keseniannya apabila ia terlalu banyak menggunakan efek khas atau imej penjanaan komputer(CGI).
Tambahnya, jika mahu hasilkan filem penuh aksi seperti CZ12, maka filem tersebut harus digarap oleh dirinya sendiri.
"Masalahnya, jika berikan kerja ini kepada pengarah lain, maka mereka terpaksa mengikut bajet dan masa yang diberikan oleh penerbit.
"Untuk CZ12 , saya ambil masa selama setahun setengah dan bagi adegan aksi sahaja ambil masa tiga bulan. Tiada mana-mana produksi yang mahukan perkara tersebut.
"Jadi, saya perlu arahkan filem saya sendiri bagi memastikan semua perkara yang saya mahukan terlaksana," bicara Jackie.
Menari dan cinta
Walau apapun filem yang menampilkan Jackie Chan, penonton sudah pastinya menjangkakan penceritaan yang penuh aksi.
Cinta mahupun romantik memang satu genre yang sudah pasti tidak dijangka daripada filem lakonan lelaki ini.
Bagaimanapun, jawab Jackie ketika ditebak soalan tentang adakah dia teringin untuk bersara daripada berlakon dalam filem genre aksi, jawabnya: "Saya memang letih kerana asyik berlawan sahaja.
FILEM Police Story 2013 menampilkan Jackie Chan menerusi watak yang turut bergelut dengan emosi.


"Pernah juga saya terfikir mahu berubah angin untuk berlakon dalam filem cinta, romantik serta penuh dengan drama. Malangnya, tiada siapa mahu berikan tawaran seumpama itu kepada saya," tuturnya.
Tambah Jackie: "Saya rasa satu hari nanti, saya perlu belajar menari. Siapa tahu, satu hari kelak, saya akan diberi tawaran watak yang memerlukan saya menari.
"Mengambil contoh yang pernah saya alami ketika Steven Spielberg beri tawaran watak dalam filem The Tuxedo. Saya perlu menyanyi dan menari! Oleh itu, bagi saya, sebagai seorang pelakon, mereka perlu punya versatiliti dalam diri."
Bersara
Menyingkap kenyataan yang pernah dikeluarkannya pada tahun lepas ketika mempromosi filem CZ12, kata aktor ini, dia mahu bersara dari dunia filem aksi. Ketika diajukan tentang soalan tersebut, Jackie tersenyum sebelum memberi jawapan.
"Saya memang pernah berniat begitu, namun, keadaan memang tidak mengizinkan saya berbuat demikian.
"Bagaimanapun, apa yang saya ingin katakan, CZ12 merupakan filem yang penuh aksi terakhir saya.
"Mengapa saya keluarkan kenyataan seperti itu ialah kerana saya rasa serik dengan kecederaan yang saya alami selama ini. Tapi, sejurus saya pulih, saya lakukan lagi. Tapi mungkin selepas sebuah lagi filem yang ingin saya garap ini saya akan buat keputusan," jelasnya tentang persaraan tersebut.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: