Tuesday, December 24, 2013

Pendandan rambut selebriti



SEJURUS pintu Pillay’s Hair Studio dibuka, kelihatan enam kerusi menghadap cermin berserta beberapa peralatan keperluan rawatan dan dandanan rambut tersusun rapi.
Selain itu, terdapat juga sebuah almari pameran yang mempamerkan aksesori seperti kalung atau chokar, gelang tangan dan hiasan lain berkonsep India. Di bahagian tengah salon, terlihat beberapa kotak yang disusun secara bertingkat.
Kotak paling atas telah separuh terbuka, menampakkan kandungannya yang berupa kalendar Selebriti India Malaysia 2014.
Di atas meja juga terdapat sebuah kalendar yang sama.
Pemilik salon itu, S. Pillay Asbalan, 22, tersenyum lebar menyambut kehadiran wartawan dan jurugambar Kosmo! bersama seorang wanita jelita, Jasmin Michael.
Jasmin yang merupakan seorang artis Tamil terkenal di Malaysia juga merupakan duta salon berkenaan.
Pillay kemudiannya meminta Jasmin menandatangani kalendar itu sebelum menyampaikannya kepada kami sebagai tanda penghargaan.
“Kalendar ini mungkin kelihatan biasa bagi sesetengah pihak tetapi ia istimewa kerana memaparkan wajah-wajah selebriti India tempatan yang terkenal,” katanya.
Kalendar tersebut juga begitu bermakna kepada Pillay kerana memaparkan hasil kerja dandanan rambut dan solekannya.

GEETHANJALI (kiri) dan Jasmin menunjukkan kalendar pertama yang menampilkan imej selebriti India tempatan.


“Idea awal hanya untuk mendandan dan menyolek selebriti untuk rakaman foto sambutan Deepavali bagi majalah Tamil keluaran November lalu, tetapi Jasmin tampil dengan idea penerbitan kalendar kerana tempoh hayatnya lebih lama.
“Lagipun, ia akan mendekatkan peminat dan artis India tempatan menerusi imej dandanan dan solekan serta pakaian yang cantik,” katanya.
Sejak mula dijual bulan lalu, kalendar tersebut telah mencatatkan jualan sebanyak lebih 2,500 naskhah.
Seni dandanan
Bercerita tentang dandanan rambut, Pillay yang memiliki sijil dandanan rambut dari Universiti Limkokwing dan diploma di Kolej Clipso memberitahu, dia amat menitikberatkan peraturan-peraturan asas mendandan.
“Dandanan rambut merupakan satu seni yang mempunyai peraturan-peraturan tertentu. Setiap kali saya didatangi pelanggan, saya perlu menilai beberapa perkara sebelum memulakan dandanan.
“Contohnya, jika pelanggan merupakan golongan profesional seperti pegawai bank atau peguam yang mahu mewarna rambut mereka, hanya warna-warna tertentu yang akan disyorkan agar tidak menggugat profesionalisme mereka,” jelasnya.
Pillay menambah, bagi pelakon pula, dandanan rambut yang ‘selamat’ dilakukan supaya ia tidak mengganggu lakonan artis terlibat. Bukan itu sahaja, reka bentuk leher baju dan aksesori yang dikenakan pelanggan juga mempengaruhi gaya dandanan yang dibuat,” katanya.
Pendandan yang berdarah kacukan Hindustan di sebelah ibu dan Tamil di sebelah bapanya ini terdedah dalam bidang berkenaan ekoran pengaruh ibu yang turut menjalankan perniagaan kecantikan di Bahau, Negeri Sembilan.
SUNGGUHPUN baru berusia 22 tahun, Pillay berjaya menarik pelanggan yang terdiri daripada selebriti India tempatan.


“Ia bermula semasa saya belajar di tingkatan empat. Selepas sesi sekolah tamat, saya akan menemani ibu di salon.
“Saya memberi perhatian bagaimana ibu melayan, membuat rawatan muka, rambut, mendandan dan menyolek wajah pelanggan. Sejak itu, minat dalam bidang ini mula bercambah,” katanya sambil memaklumkan ibunya, Binodhini, 51, masih menguruskan Raani Saloon di Bahau.
Minat yang disemai itu terus berkembang apabila Pillay dan beberapa rakan berpakat mengikuti kursus dandanan rambut selepas tamat persekolahan.
Setelah tamat pengajian di peringkat diploma, bintangnya mula bersinar apabila ditawarkan bekerja oleh majikan tempat dia menjalani latihan amali di Kuala Lumpur.
“Kemampuan saya berbahasa Mandarin dan kemahiran yang saya miliki membuka peluang untuk saya terus bekerja di salon tersebut.
“Di sana saya banyak didedahkan dengan teknik dan gaya dandanan rambut Barat. Saya juga terlibat dalam pameran jalanan dan berpeluang mendandan rambut selebriti tempatan termasuk Amber Chia,” ujar anak bongsu daripada dua adik-beradik itu.
Rezeki
Ketika bekerja di salon berkenaan, rezeki Pillay semakin murah apabila ditawarkan pekerjaan sampingan sebagai pendandan rambut untuk sebuah projek filem Tamil tempatan, Ops Kosa Dappa: The Final Dappa arahan K. Anan.
“Saya agak bertuah kerana berjaya menembusi industri hiburan tempatan sebagai pendandan rambut profesional. Disebabkan filem tersebut merupakan satu projek besar, nama saya cepat dikenali ramai selebriti termasuk Jasmin.
“Ekoran itu, saya memutuskan untuk berhenti kerja dan membuka salon sendiri awal tahun ini. Saya terpaksa bekerja keras untuk memperkenalkan jenama Pillay’s Hair Studio kepada orang ramai termasuk mempromosikannya menerusi laman-laman sosial sosial, melibatkan diri dalam projek filem Tamil tempatan dan mengambil Jasmin sebagai duta,” jelasnya.

KAVITHA, antara artis India Malaysia yang memilih Pillay sebagai pendandan dan jurusolek.


Beliau beranggapan pemilihan Jasmin merupakan langkah terbaik yang pernah dilakukannya kerana ia berjaya menarik kedatangan ramai pelanggan ke salonnya.
Tambahan pula, katanya, pelakon wanita versatil itu mempunyai sisi rupa yang menawan selain memudahkan eksperimen dandanan rambut atau solekan diaplikasi pada wajahnya.
Rancangan
Bercakap lanjut mengenai impian masa hadapan, Pillay merancang untuk mengadakan satu acara ramp walk yang melibatkan pertunjukan fesyen, dandanan rambut dan solekan.
Dia juga berharap untuk diberi peluang bekerjasama dengan pereka fesyen tempatan dan pendandan rambut antarabangsa .
“Matlamat jangka panjang saya adalah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sama di United Kingdom. Saya mahu mengikut jejak pensyarah saya, Karthik atau lebih dikenali Mr. Tee yang menjadi pendandan rambut profesional di negara berkenaan,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: