Pastinya ada di antara kita yang cukup mengenali lirik lagu Sehati Sejiwa nyanyian Haslinda yang popular sekitar 1998.
Lagu itu menjadi lagu tema bagi drama bersiri popular, Cinderella yang dijayakan oleh Haliza Misbun dan Ahmad Idham.
Drama bersiri itu membawa penonton melayari kisah kehidupan Nurul yang hampir dirogol bapa tirinya dan melarikan diri ke kawasan perkhemahan Salman. Salman seorang anak usahawan ternama pada ketika itu sedang bercuti bersama kawan-kawannya.
Namun kerana tidak berpuas hati, bapa tiri Nurul yang melihat kejadian itu melaporkan perkara itu ke penduduk kampung. Mereka akhirnya ditangkap oleh penduduk kampung dan dinikahkan pada malam itu juga.
Nurul seterusnya mengikuti Salman pulang ke bandar dan dijadikan orang gaji. Namun, hari demi hari Salman mula jatuh cinta, namun berdepan masalah apabila dia bakal dikahwinkan dengan pilihan ibunya.
Itu adalah sebahagian kisah Nurul dan Salman menerusi drama yang diarahkan oleh Md Noor Kadir suatu ketika dahulu.
Namun kali ini, Cinderella kembali digarap semula oleh Idham yang memperlihatkan Nellydia Senrose dan Fizo Omar bergandingan sebagai Nurul dan Salman versi terbaharu.
Tidak mengekalkan keseluruhan jalan cerita yang sama, sebaliknya filem ini membawa penonton melayari kisah Nurul yang tinggal bersama ibu tiri dan adik-beradik tirinya. Abang tirinya, Zamil bertindak ganas dan cuba merogol Nurul selepas dia menolak cintanya.
Namun, Nurul berjaya melarikan diri dan bersembunyi khemah penginapan Salman, anak seorang tokoh korporat terkemuka.
Bagaimanapun mereka berdua diserbu oleh orang kampung dan didakwa berkhalwat. Nurul dan Salman diberi dua pilihan iaitu dibawa ke balai polis dan didakwa di mahkamah atau berkahwin dan tidak kembali ke kampung itu lagi.
Secara keseluruhannya bagi penulis, filem ini jauh berbeza dengan drama asal, namun digarap dengan lebih baik bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa.
Namun paling penting, ia masih lagi mengekalkan mood serupa iaitu sebuah filem yang mampu meruntun jiwa.
Emosi Nellydia
Kejayaan Haliza menjayakan watak Nurul tentunya akan membuatkan sesetengah penonton atau peminat akan membanding-bandingkan lakonan Nellydia dan Haliza.
Namun, pada pendapat penulis, Nellydia berjaya membawakan watak Nurul dengan baik, tanpa terlalu dibuat-buat. Apatah lagi, Nellydia tidak sedikit pun kelihatan cuba meniru lakonan Haliza sebelum ini, termasuk melibatkan babak romantis.
Apatah lagi kali ini, Nellydia lebih kelihatan naif, namun masih terpelajar, berbanding cara Haliza yang terlalu kekampungan.
Paling penting, Nellydia berjaya menarik dan mengikat penonton tatkala melibatkan babak sedih dengan emosinya yang cukup bersahaja.
Kamal penyelamat
Berbanding Fizo yang penulis rasakan agak tenggelam apabila diletakkan bersama Kamal Adli selaku pelakon pendukungnya.
Adakalanya, Fizo dilihat terlalu mencuba menjadi sedih dan marah, namun apabila melibatkan watak player, dia mampu melakukan dengan baik.
Pendek kata, kehadiran Kamal dalam filem ini, banyak menyelamatkan lakonan Fizo dengan lawak yang bersahaja dan cukup santai.
Dari sudut teknikal pula, tidak banyak yang perlu diperkatakan, apatah lagi, Idham berjaya ‘memukau’ penonton dengan lokasi-lokasi menarik.
Manakala pemilihan Farah Diana selaku penyanyi runut bunyi filem ini juga, dilihat lebih bersesuaian dan lagu itu dilihat seperti mempunyai nafas baru.
Jadi bagi anda yang mahu menyaksikan keseluruhan jalan cerita dan apakah yang akan terjadi kepada Nurul dan Salman, jangan lupa saksikan filem ini, di pawagam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: