LUKISAN dinding dahulunya dikritik terutamanya oleh mereka yang tidak mengerti mesej yang ingin disampaikan. Ada juga yang melihatnya sebagai mencacatkan pemandangan malah satu perbuatan vandalisme.
Namun, di Amerika Syarikat, lukisan dinding yang dikenali sebagai mural itu merupakan karya seni yang begitu popular dan eksklusif. Ia menampilkan motif pendidikan dan budaya serta dipersembahkan dalam bentuk tiga dimensi.
Di Shah Alam, Selangor pula, sejajar usaha memperkasakan aktiviti seni dan budaya, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mewujudkan projek perintis Laman Seni yang menjadikan lorong belakang bangunan kedai di Seksyen 2, Shah Alam sebagai lokasi bagi golongan kreatif ini menterjemahkan karya masing-masing.
Dirasmikan pada 1 Disember lalu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Jaafar Mohd. Atan berkata, kewujudan Laman Seni itu adalah untuk menyediakan platform kepada orang ramai khususnya golongan pelajar menyerlahkan bakat dan kreativiti melalui aktiviti persembahan, pameran dan seni lukisan mural.
Malah kata beliau, lokasi yang popular dalam kalangan penduduk tempatan itu juga akan dijadikan sebagai lokasi tumpuan ramai khususnya golongan karyawan dan pelajar untuk mengadakan persembahan secara santai seperti aktiviti deklamasi sajak, puisi dan persembahan pentas.
“Laman Seni ini juga akan membuka ruang kepada pelajar untuk mempamerkan hasil kerja seperti lukisan dan produk untuk tatapan orang ramai.
“Selain itu, Laman Seni ini akan dibuka untuk aktiviti muzik jalanan sekali gus menghidupkan suasana di kawasan ini dengan pelbagai bentuk aktiviti seni,” katanya baru-baru ini.
Naik taraf lorong
Mengulas lanjut, Mohd. Atan memberitahu, pihak MBSA turut mengindahkan lagi lorong belakang di kawasan komersial Seksyen 2 dengan kerjasama pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Menurut beliau, melalui inisiatif itu, pelajar bersama pihak MBSA memperindahkan lagi dinding lorong belakang dengan lukisan mural pelbagai corak dan motif.
Tambahnya, MBSA juga bertindak menaik taraf lorong belakang tersebut dengan menurap jalan menggunakan kaedah pebble wash serta menyediakan tempat meletak motosikal berbumbung.
|
“Projek ini berjaya direalisasikan melalui perkongsian pintar MBSA dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad yang telah memberikan sumbangan wang tunai bagi menjayakan projek ini.
“Selain itu, komitmen yang jitu dan mantap daripada pelajar UiTM yang mengecat dan melukis mural dalam pelbagai motif turut menjadi penyumbang hasrat ini dapat direalisasikan,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pereka grafik di Seksyen 13, Ismail Badrul Hisham yang meluangkan masa melihat hasil karya di situ berkata, usaha MBSA itu merupakan langkah mengiktiraf golongan seni.
Malah bagi Ismail, 27, kewujudan lokasi seperti Seksyen 2 itu bukan sahaja dapat memberikan ruang untuk mereka yang kreatif menghasilkan karya bahkan sekali gus mengindahkan kawasan tersebut.
“Biasanya kami yang meminati seni lukisan ini akan melukis di mana-mana sahaja dan sering dimarah dan ditangkap kerana melakukan vandalisme.
“Namun, dengan adanya ruang dan lokasi khusus ini, ia bukan sahaja dapat memberikan kami kebebasan untuk berkarya malah hasil seni kami kini diiktiraf,” katanya.
Memeriahkan
Nurshafiq Mohd. Shukor, 21, yang bekerja di syarikat seni grafik di Padang Jawa, Seksyen 16, pula bercadang untuk memeriahkan lagi karya lukisan di dinding tersebut.
Dia yang mahir melukis pemandangan dan seni jalanan menggunakan teknik lomografi mahu masyarakat lebih mengenali cabang seni lukisan sekali gus menghargainya.
“Laman Seni ini mungkin satu pemangkin untuk menyatukan peminat seni lukisan khususnya di Shah Alam dan tidak keterlaluan andai ia boleh diperluas ke kawasan lain selepas ini,” ujarnya.
Seorang lagi pereka grafik, Farid Izzuddin Mohd. Fadzil, 21, yang mahir dengan teknik lukisan doodle iaitu ekspresi hati, mahu langkah MBSA itu dicontohi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di tempat lain.
“Ia bukan sahaja dapat mengindahkan kawasan tersebut malah boleh dijadikan lokasi tumpuan orang ramai.
“Mungkin di sini juga boleh dijadikan sebagai lokasi pertemuan dan perniagaan golongan pencinta karya seni selain memberikan peluang pada peniaga di sini untuk membuka perniagaan di bahagian belakang bangunan masing-masing,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: