Thursday, December 26, 2013

Feminisme, seksis Bahayanya Wanita



TEATER BAHAYANYA WANITA dan filem hitam putih tersohor arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Madu Tiga tidak jauh bezanya kalau dikaji corak penceritaan.
Memaparkan dilema seorang suami yang berpoligami dengan lebih daripada seorang wanita; berkahwin dengan isteri kedua dengan alasan mahukan anak, tapi berkahwin pula lagi satu atas dasar cinta.
Hampir serupa, cuma pementasan itu ditambah watak wanita keempat yang melengkapkan empat isteri kepada seorang korporat bernama Syed Maadon Al-Sidek (lakonan Zizan Razak).
Tidak salah andai dikatakan menonton pementasan Bahayanya Wanita yang dipentaskan di Istana Budaraya ibarat menonton sebuah adaptasi filem Tiga Abdul ke pentas teater dalam versi lebih moden dan sarat unsur humor.
Namun begitu, oleh kerana terlalu cuba untuk menyampaikan mesej tentang pemerkasaan wanita, pengarah terlupa faktor masa juga perlu diambil kira.
Tiga jam barangkali tidak terasa jika menonton sebuah filem, tapi durasi serupa tidak bersesuaian untuk persembahan secara langsung dan penonton tidak mustahil naik jemu.

DARI kiri: Erra Fazira, Lana Nordin dan Umie Aida berkongsi 'suami' iaitu Zizan.


Bagaimanapun, tempoh tiga jam itu telah diselamatkan oleh kesan humor dan lawak bersahaja Zizan serta barisan pelakon lain yang menjayakan watak keempat-empat isteri dalam karakter yang pelbagai.
Malah, ada antara dialog serius bertukar menjadi jenaka kerana interaksi dan hubungan sesama pelakon yang terlalu 'menjadi'. Penonton tergelak kerana pelakon tergelak!
Tembelang
Bahayanya Wanita mengisahkan kehidupan rumah tangga seorang lelaki korporat bernama Syed Maadon Al-Sidek yang berjaya atas kekayaan isteri pertamanya, Sharifah Fatimah Maruka (lakonan Datin Paduka Umie Aida) namun masih rasa tercabar kerana gagal menundukkan ego isterinya.
Syed Maadon mengahwini Kamelia (Erra Fazira) yang bertentangan sikap dengan isteri pertamanya. Kamelia menjalankan tanggungjawab dengan sempurna dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata namun kemanjaan Kamelia mula merimaskan.
Alasan itu digunakan untuk mengahwini Farhana (Nora Danish/Lana Nordin). Lana menggantikan Nora kerana pelakon itu terikat sebagai juri Maharaja Lawak 2013 (MLM 2013). Mereka memainkan watak gadis muda yang manja dan cantik namun sering mengundang masalah hingga pernikahan mereka diketahui isteri pertama dan kedua.

GANDINGAN Erra (kiri), Erma Fatima dan Umie Aida sebagai madu agak menjadi kerana kearkraban mereka.


Syed Maadon kemudiannya cuba mencari jalan penyelesaian yang akhirnya menemukan dengan peniaga makanan dari Indonesia, Suti Lambung (Erma Fatima) dan memutuskan untuk berkahwin. Suasana menjadi hiruk-pikuk apabila tembelang Syed Maadon pecah dan diketahui isteri-isterinya.
"Saya perlu nampak lebih matang daripada usia sekarang kerana karakter saya adalah seorang lelaki miang yang berkahwin empat. Sebab itu saya pakai misai palsu," kongsi Zizan tertawa.
Poligami
Menghuraikan lebih lanjut mengenai cabaran membintangi teater muzikal tersebut, kata Zizan, dia perlu menghafal lirik lagu dan langkah tari selain skrip lakonan yang panjang.
"Susah untuk hafal lirik lagu, tambahan lirik kali ini ditukar untuk disesuaikan dengan jalan cerita, saya sampai tidak sempat menghafal kesemua lagu pun.
"Melakonkan watak utama pun perlukan saya menghafal banyak skrip, belum lagi ditambah tarian. Kalau difikirkan negatif sudah pasti pementasan ini rosak, tapi saya perlu optimis dengan cabaran-cabaran ini," jelasnya yang mengakui mengalami sakit perut pada hari pertama pementasan.
Bercakap mengenai poligami, kata Zizan dia tiada masalah untuk berdepan situasi sedemikian. Pokoknya yang penting tahu mengawal situasi dan rasional menyelesaikan kemelut yang datang.

LAKONAN Johan As'ari (kiri) sebagai seorang ustaz dilihat selari dengan lakonan Zizan yang memegang watak utama iaitu Syed Maadon Al-Sidek.


"Sebagai lelaki, daripada segi agama Islam tidak salah berpoligami cuma dalam masyarakat Melayu perkara itu agak sensitif.
"Kalau mampu buat tidak mengapa tapi jika tidak mampu jangan sesekali berani. Juga jangan sakitkan hati orang sebab apa yang kita buat suatu masa akan kena diri sendiri," nasihatnya.
Teater muzikal Bahayanya Wanita telah mula dipentaskan pada 20 Disember akan berakhir pada 31 Disember ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: