Mempunyai sejarah dan perjalanan seni muzik yang cukup unik, kerjaya Salamiah, yang kini sudah berusia 62 tahun sebagai penyanyi bukanlah bermula di kelab-kelab malam seperti mana anggapan segelintir orang terhadap dirinya.
“Kerjaya saya bermula dalam bidang seni nyanyian ini bermula dengan menyertai pertandingan Bakat TV anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi lagu If You Go Away,” katanya.
Walaupun tidak berjaya mendapat tempat dalam pertandingan tersebut, namun bakat besar yang dimiliki oleh Salamiah berjaya menarik perhatian komposer penuh kredibiliti ketika itu iaitu Ahmad Nawab (kini bergelar Datuk).
Bermula dari situlah kerjaya Salamiah sebagai seorang penyanyi rakaman menerusi beberapa lagu yang dihasilkan. Namun begitu, penyanyi rakaman masih belum memberi kepuasan yang penuh buat anak kelahiran Kuala Lumpur ini yang mewarisi darah seni menyanyi daripada ibunya, Sabariah Aziz.
Daripada penyanyi rakaman, Salamiah beralih haluan menjadi penyanyi kelab malam. Sesuatu yang jarang dilakukan oleh kebanyakan penyanyi wanita lain pada masa itu.
“Di kelab-kelab malam, saya menemui kepuasan apabila berpeluang menghiburkan ramai pencinta muzik dengan variasi muzik dan lagu yang pelbagai.
“Daripada penyanyi rakaman, saya terus mengasah kemampuan vokal dan persembahannya untuk membawa pelbagai genre muzik dan repertoir yang lebih meluas termasuk R&B dan Jazz yang kemudiannya turut menjadi kecintaannya,” katanya.
Bertitik tolak daripada itu, ia kemudiannya membuka peluang yang lebih besar dan meluas untuknya menjadi penyanyi Jingle atau penyanyi lagu produk iklan di TV.
Berhibur dan beramal
Meneruskan perjalanan seninya, pelantun Bila Rindu Ku Sebut Namamu, ini bakal menjayakan Konsert Gelombang Salamiah Hassan di Istana Budaya pada 10, 11 dan 12 Januari depan.
Diterbitkan Akid Production Sdn Bhd, idea untuk menghasilkan Konsert Gelombang Salamiah Hassan ini dicetuskan sendiri oleh produsernya, Yang Mulia Raja Azmi Raja Sulaiman.
Bukan disebabkan oleh hubungan akrabnya dengan Salamiah yang disifatkan sebagai kakaknya sendiri, namun Raja Azmi berpendapat bahawa Salamiah sememangnya berusaha untuk berdiri di pentas Istana Budaya dan menjayakan konsert solo sendiri.
“Alhamdulillah sebaik saja saya kemukakan cadangan saya untuk menerbitkan konsert ini kepada pihak Istana Budaya, Ketua Pengarahnya, Mohamed Juhari Shaarani tau Abang Jo bukan saja menerimanya dengan terbuka tetapi turut menyokong usaha kami untuk merealisasikan konsert ini.
“Menerbitkan acara sebegini mungkin bukan kebiasaan saya kerana selama ini saya lebih banyak terlibat dengan penerbitan filem serta komik dan majalah,” katanya.
Konsert ini bakal di kemudi pengarah berwibawa Pat Ibrahim berserta pemuzik terkenal dan berkaliber, Aubrey Suwito serta pengarah seni dan artistik, Raja Malek.
Menurut Pat Ibrahim, dia sangat berbesar hati apabila dapat bekerja dengan Salamiah serta mengemudi konsert solo pertama penyanyi hebat itu.
“Nama Salamiah Hassan sangat besar. Tapi, tidak begitu ramai yang menyedari apa yang dilakukannya. Konsert Gelombang Salamiah Hassan ini bakal mendedahkan kisah dan perjalanan hidupnya sebagai anak seni.
“ Sebanyak 25 buah lagu bakal disampaikan oleh Salamiah dengan enam segmen dan salah satu segmen tersebut akan ada Atilia bersama Salamiah,” katanya.
Dalam pada itu, Salamiah memberitahu, konsert tersebut bertujuan untuk berhibur sambil beramal.
“Konsert ini bakal diadakan selama tiga hari berturut-turut akan melelong beberapa barang peribadi milik saya secara eksklusif seperti Baju, beg, kasut dan barangan berharga. Wang hasil kutipan lelongan barang ini bakal disalurkan kepada badan kebajikan haiwan, SPCA (Society for the Prevention of Cruelty to animal), “ katanya.
Lancar album baharu
Biarpun sibuk membuat persiapan diri untuk menjayakan konsert solo pertama yang julung kali adakan ini, Salamiah juga sempat mencuri masa untuk menyiapkan album studio terbaru berjudul ‘Aku’.
Berkonsepkan Melayu Klasik, album yang turut diterbitkan Aubrey Suwito ini menampilkan lima lagu-lagu kegemaran Salamiah yang dinyanyikan semula olehnya dengan susunan muzik yang baru. Sebuah lagu baru berjudul Aku ciptaan Aubrey Suwito turut dimuatkan di dalam album ini.
Salamiah berkata, dia sememangnya sangat teruja tetapi dalam masa yang sama gementar untuk menjayakan konsert solo pertama itu.
“Banyak sebenarnya yang saya lalui sebagai seorang anak seni. Insya-ALLAH, di dalam konsert ini nanti, saya akan mendekati audiens dengan lagu-lagu saya, kisah hidup saya dan perkara-perkara melucukan yang ingin saya kongsikan dengan mereka,” katanya.
Album ini bakal menemui peminat pada 8 Januari depan dengan memuatkan 23 buah lagu nyanyian Salamiah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: