Tuesday, December 24, 2013

Penyokong tegar bukan samseng bola sepak



SUASANA di Stadium Shah Alam, Selangor sewaktu perlawanan kelayakan bola sepak Piala Asia antara Harimau Malaya dan Qatar, November lalu kelihatan suram dengan kehadiran penonton tidak sampai 5,000 orang.
Namun, di satu sudut stadium kelibat sekumpulan anak muda berpakaian hitam dan kuning mula memenuhi tempat duduk stadium sambil membawa kain rentang, mafela dan gendang.
Kehadiran mereka berjaya mencuri tumpuan penonton lain termasuk anggota polis yang ditugaskan mengawal keadaan.
Ketika pemain-pemain memasuki padang, salah seorang lelaki bertopeng itu bangun berdiri di atas kerusi penonton sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya.
"Demi Malaysia...oooo...Demi Malaysia!," jerit individu tersebut dan disahut oleh ahli kumpulannya sambil diiringi paluan gendang dan tepukan gemuruh yang memecah kesunyian stadium pada malam itu.
Kata-kata tersebut ternyata berjaya menaikkan semangat penonton lain yang menyaksikan perlawanan tersebut.
Itulah antara usaha menarik yang dilakukan oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Ultras Malaya (UM).
Menurut seorang ahli UM, Iyzat Hamdan, 21, tujuan utama penubuhan kumpulan tersebut adalah untuk menjadi pemain ke-12 pasukan Harimau Malaya dengan memberikan sokongan padu tanpa mengambil kira keputusan di atas padang.
"Kami menubuhkan kumpulan ini pada tahun 2007 selepas kekalahan memalukan pasukan negara pada kejohanan Piala Asia AFC.
"Prestasi pasukan negara yang tidak menentu ketika itu menyebabkan stadium bola sepak berubah menjadi kosong dan sunyi," katanya.

MAFELA merupakan item penting kumpulan Ultras Malaya.


Budaya ultras
Menurut Iyzat, budaya ultras atau penyokong tegar telah lama wujud dalam dunia bola sepak terutamanya di Eropah. Ia bermula di Itali apabila terbentuknya kumpulan penyokong bernama Fedelissimi Granata Torino pada tahun 1951.
Pada tahun 1960-an, budaya itu terus berkembang dengan kemunculan beberapa kumpulan lain.
Tambahnya, nama ultras mula digunakan buat pertama kali pada tahun 1969, apabila penyokong kelab Sampdoria dan Torino di Itali membentuk kumpulan Ultras Tito Cucchiaroni dan Ultras Granata.
Katanya, kumpulan ultras di luar negara lebih bersifat ganas, samseng dan memberontak. Namun bagi UM, mereka menerapkan budaya ketimuran tetapi agresif demi kebaikan sukan itu di negara ini.
"Kami tidak membaling botol, membakar mercun mahupun melakukan kerosakan harta benda kerana kami mematuhi undang-undang. Sokongan kami adalah bermaruah," tegasnya.
Menurut pemuda kelahiran Selangor itu lagi, pada ketika ini hanya terdapat dua pasukan kebangsaan di dunia yang mempunyai penyokong ultras iaitu Ultras Malaya dan Ultra Nippon di Jepun.
Iyzat juga menyatakan bahawa kumpulan UM adalah bersifat sukarela. Tiada yuran keahlian dikenakan. Mereka juga tidak menerima tajaan daripada pihak tertentu.
"Kami hanya memperoleh dana hasil daripada penjualan mafela dan baju. Kutipan akan digunakan bagi membaiki gendang yang rosak dan membuat kain rentang.
"Siapa saja boleh menyertai kami di sudut stadium yang digelar curva ultras dengan syarat mereka sanggup berdiri dan menyanyi sepanjang permainan berlangsung. Selain itu, mereka juga perlu berpakaian gelap dan membawa mafela," ceritanya lagi.
Jelasnya, UM juga boleh berbangga kerana dapat menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dengan satu matlamat iaitu menyokong pasukan Harimau Malaya.
"Kesan yang paling ketara apabila menyertai ultras ini ialah mereka dapat merapatkan hubungan yang terjalin.

BUDAYA ultras atau penyokong tegar juga wujud di luar negara termasuk di Jepun.


"Ultras sebenarnya lebih daripada pasukan sorak, kami sanggup melakukan apa saja untuk datang ke stadium bagi memberi sokongan padu kepada pasukan negara," katanya.
Kehadiran kumpulan ultras ini turut dirasai oleh penyerang prolifik Harimau Malaya iaitu Safee Sali.
Menurutnya yang juga penyerang Johor Darul Takzim (JDT), kewujudan kumpulan UM ini merupakan perkara positif untuk sukan bola sepak kerana mereka sama-sama berdiri di belakang pemain ketika menang mahupun kalah.
"Kehadiran mereka ke stadium sangat dirasai dengan nyanyian lagu-lagu semangat dan paluan gendang sehingga menaikkan moral kami yang sedang bermain di padang," katanya.
Dalam keghairahan memberi sokongan, Safee juga menyeru agar kumpulan UM lebih berdisiplin dan tidak bertindak agresif terhadap apa jua keputusan seperti yang dilakukan kumpulan ultras di Jepun dan Eropah.
"Contohilah kebaikan kumpulan ultras di sana dan jangan sekali-kali membawa budaya yang negatif dari luar ke negara ini. Kita perlu mencari identiti sendiri" katanya.
Safee yang berpengalaman bermain dalam liga di Indonesia berkata, negara yang terkenal dengan jolokan Garuda itu turut mempunyai kumpulan ultras untuk kelab-kelab bola sepak tetapi mereka mempunyai disiplin yang tinggi sungguhpun pasukan yang disokong kalah.
Suasana lebih meriah
Sementara itu, menurut seorang penyokong tegar pasukan negara, Elmi Zulifan, 25, kehadiran kumpulan UM di stadium ketika perlawanan menjadikan suasana lebih meriah dan menarik.
Menurutnya, nyanyian lagu semangat dan paluan gendang daripada kumpulan itu dapat memecah kesunyian stadium dan menaikkan semangat penyokong-penyokong lain yang ada di dalam stadium.
"Lihatlah mereka, walaupun sedikit tetapi nyanyian mereka sangat kuat sehingga saya rasa seperti berada di dalam stadium yang penuh.

ULTRAS MALAYA sentiasa memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada pasukan negara baik ketika menang atau kalah.


"Lagu-lagu semangat yang dinyanyikan juga sangat patriotik dan menarik sehingga penyokong lain turut menyanyi bersama," ceritanya.
Elmi juga bersetuju dengan gelaran UM sebagai pemain ke-12 kepada skuad negara.
Menurutnya, kumpulan UM sentiasa memberi sokongan kepada pasukan negara dan mereka datang ke stadium bukan hanya untuk menonton tetapi sama-sama berjuang.
Keadaan ini tidak seperti penyokong lain yang datang ke stadium hanya untuk menonton perlawanan.
Dia juga amat tertarik dengan formasi yang ditunjukkan oleh kumpulan UM ketika menyanyi seperti bertepuk tangan beramai-ramai dan mengangkat mafela bersama-sama.
"Gaya yang ditunjukkan ini sangat unik sehingga mampu menarik perhatian penonton lain," katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: