|
RAHSIA identiti kekasih hati Farawahida yang hanya dikenali sebagai Mr. A tersimpan rapi selama lapan tahun.
Namun, ia akhirnya terlerai selepas lelaki yang disifatkan pemalu itu sah memiliki penyanyi bersuara lantang tersebut menerusi ikatan perkahwinan pada Isnin lalu.
Abdul Shukur Mohd. Zain, 29, hanya memerlukan sekali lafaz sahaja untuk menjadi suami kepada penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu tersebut.
Disaksikan ahli keluarga kedua-dua belah pihak, Sentosa Villa Resort menjadi lokasi bersejarah dua jiwa tersebut yang dinikahkan Naib Kadi Air Kuning, Taiping, Imanuddin Zakaria.
Anggun dengan busana putih rekaan Syarakim, riak wajah Farawahida Razali, 28, tampak tenang duduk bersimpuh di pelamin yang bertemakan karangan laut, mutiara dan kulit siput.
Berbeza dengan Shukur, bacaan lafaz taklik perkahwinan tersekat-sekat dan terhenti beberapa kali setelah dia gagal menahan sebak dan air mata yang tumpah di pipi.
Mengulas emosinya pada waktu itu, Shukur yang merupakan seorang usahawan memberitahu, terma dan syarat dalam lafaz taklik yang mewajarkan pembubaran perkahwinan amat mengentarkan jiwanya.
“Bagi saya, perkahwinan cuma sekali dan untuk sepanjang hayat. Tak mampu saya membayangkan perpisahan.
“Saya juga agak gementar kerana akad nikah bukan sekadar lafaz mewajarkan hubungan suami isteri tetapi juga amanah dan tanggungjawab berat yang perlu dipikul sebagai pemimpin keluarga yang baharu dibina,” jelas anak jati Klang, Selangor itu ketika ditemui usai upacara pernikahan tersebut.
Merahsiakan jumlah wang hantaran kecuali untuk pengetahuan keluarga terdekat, Farawahida menerima mas kahwin RM1,000 berserta dua bentuk cincin emas.
Pengantin lelaki turut menghadiahkan tujuh dulang hantaran iaitu beg tangan, persalinan, komputer riba, minyak wangi, buah-buahan, sejadah dan telekung serta satu persalinan.
Pihak pengantin perempuan pula membalas sembilan dulang hantaran. Antara yang menarik perhatian ialah empat buku biografi negarawan, tokoh perniagaan dan sukan iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Nelson Mandela, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Alex Ferguson.
Selain itu, Farawahida turut menghadiahkan suaminya, Ipad, sebuah tafsir al-Quran, seutas jam tangan, buah-buahan kering, minyak wangi, tali pinggang dan tali leher, sirih junjung serta buah-buahan.
Gelodak jiwa
Menyentuh semula tentang emosi dirinya sewaktu melalui detik-detik akhir zaman daranya, ujar Farawahida, biarpun luarannya nampak tenang namun hanya Tuhan yang mengetahui gelodak dalam jiwanya.
“Saya tak risau kelancaran upacara pernikahan kerana yakin abang (Shukur) mampu melaluinya. Namun yang lebih membuatkan saya gelisah tentang cabaran dan tanggungjawab menanti sebaik menjejakkan kaki ke alam rumah tangga.
“Oleh itu, kami sentiasa mengharapkan keberkatan Allah dan restu keluarga serta peminat agar kehidupan yang baru dibina kekal rukun hingga ke jannah,” pintanya.
Mengimbas detik awal perkenalan mereka, ujar Farawahida, dia dan Shukur mula dipertemukan sewaktu masing-masing mewakili sekolah pada pertandingan sayembara puisi pada tahun 2001.
“Namun kami tidak bertegur sapa sehinggalah bertemu semula pada majlis perjumpaan rakan-rakan sekolah saya di Taiping pada tahun 2005. Shukur yang mengikut salah seorang rakan sekolah saya menyertai program itu menggamit perasaan saya.
“Kami mula rapat setahun kemudian sebelum serius membicarakan soal perkahwinan beberapa tahun kemudian,” cerita penyanyi tersebut.
Shukur yang berada di samping isterinya itu pula menyampuk. Ujarnya, penglibatan dalam dunia penyiaran dan kewartawanan secara sambilan termasuk menjadi hos rancangan bual bicara Hello On 2 pada tahun 2009, merapatkan lagi hubungan dirinya dengan Farawahida.
“Namun, sifat pemalunya sukar dikikis. Seingat saya, kami tak pernah bergambar bersama kecuali untuk praperkahwinan baru-baru ini. Tapi hari ini (kelmarin), boleh rakam gambar kami banyak-banyak,” selorohnya.
Hikmah
Mengakui berkasih selama lapan tahun sebagai tempoh yang agak panjang, Shukur tetap mengambil hikmah dan menganggap ruang masa tersebut membolehkan dia dan Farawahida lebih mengenali hati budi masing-masing dan menunjukkan karakter sebenar tanpa berlindung.
“Saya mempunyai masa untuk memahami kerjaya Farawahida sebagai penyanyi sekali gus yakin dapat menyesuaikan diri dalam dunia selebriti yang penuh onak duri,” ujarnya.
Farawahida pula mengakui selesa bersama Shukur kerana selain ahli keluarganya, jejaka lulusan Universiti Malaya itu merupakan insan yang sentiasa memberi sokongan setiap kali dia dilanda kontroversi demi kontroversi sepanjang bergelumang dalam industri seni.
Dalam pada itu, Farawahida dan Shukur sepakat tidak merancang zuriat sebalik berserah kepada ketentuan Illahi termasuk bersedia bergelar ayah dan ibu dalam masa terdekat.
Memilih untuk menjelajah beberapa pulau-pulau peranginan terkenal tanah air sebagai lokasi berbulan madu, bagaimanapun masih belum menetapkan tarikhnya memandangkan mereka sibuk dalam kerjaya masing-masing.
“Shukur mempunyai jadual yang cukup ketat bagi menguruskan perniagaan manakala saya yang akan meneruskan karier sebagai penyanyi selepas ini menyasar mengeluarkan single terbaharu pada awal tahun hadapan.
“Mungkin kami akan curi-curi masa untuk selit aktiviti berbulan madu apabila ada sedikit kelapangan kelak,” beritahunya.
Majlis resepsi pasangan dua sejoli itu yang bertemakan Glamour Extravaganza di Dewan Majlis Perbandaran Taiping, Perak itu turut berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 3,000 tetamu termasuk rakan-rakan artis seperti Ifa Raziah, Fazli Zainal, Ayu Damit dan Salma.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: