|
SEAWAL usia tiga tahun, anak-anak di pusat pendidikan prasekolah, Genius Aulad sudah dididik mengenali huruf-huruf hijaiyah dan kisah-kisah para Rasul dan nabi.
Anak-anak kecil yang diibaratkan seperti kain putih ini telah dicorakkan dengan ibadah-ibadah asas yang dituntut oleh agama Islam seperti amalan solat, berpuasa dan bacaan doa-doa ringkas dalam kehidupan seharian.
Istimewanya, walaupun membawa imej sebagai sebuah pusat pendidikan prasekolah berkonsepkan Islam, Genius Aulad tetap menitikberatkan keperluan menguasai bahasa Inggeris yang dilihat penting pada hari ini.
Pengasasnya, Datin Paduka Zaliza Alias berkata, Genius Aulad ditubuhkan pada tahun 2000 untuk memperkasakan anak-anak Muslim Generasi Y masa kini.
“Perkara-perkara asas tentang ajaran Islam seperti Rukun Islam dan Iman perlu diterap daripada usia seawal tiga tahun kerana pada ketika ini ingatan mereka lebih kuat serta mengalami proses pembelajaran berterusan.
“Bagaimanapun, perkara-perkara ini diajar dalam bahasa Inggeris selepas melihat kepentingannya sebagai bahasa perantara dalam dunia yang semakin moden ini.
“Ia sekali gus membenarkan anak-anak ini terus maju ke persada dunia,” katanya ketika ditemui Pesona baru-baru ini.
Pendidikan interaktif
Tambah Zaliza, Genius Aulad tidak mengamalkan pendidikan secara teori, sebaliknya mengajar dalam bentuk interaktif dan aktiviti di luar kelas yang menyeronokkan dan dipercayai mampu menarik minat pelajar.
Antara aktiviti yang dilakukan termasuk menyanyi beramai-ramai, melukis dan mewarna serta bermain sambil belajar. Kaedah ini dikatakannya lebih berkesan daripada pembelajaran terus menggunakan papan putih.
Tambahnya, pada setiap bulan silibus pembelajaran akan bertukar mengikut tema yang telah dipersetujui guru-guru di rangkaian pusat pendidikan itu.
“Setiap bulan kami menyediakan tema yang berlainan. Sebagai contoh, tema Januari adalah berkebun.
“Jadi, guru-guru akan membawa dan mengajar anak-anak ini di luar kelas tentang peralatan berkebun, cara menanam pokok serta menjaganya,” jelas beliau.
Zaliza memaklumkan, sehingga kini Genius Aulad mempunyai 4,000 pelajar di hampir 40 buah cawangan di seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Seremban, Melaka, Johor, Perak dan Kedah
Konvokesyen
Pada bulan November lalu, hampir 2,000 daripada para pelajar ini diraikan dalam Majlis Konvokesyen ke-13 Genius Aulad yang berlangsung di Menara Telekom, Kuala Lumpur.
Mengangkat tema keamanan dan kemanusiaan, majlis konvokesyen itu berlatarbelakangkan suasana di sebuah stesen kereta api.
Bukan sekadar meraikan ‘graduan’ Genius Aulad yang akan memasuki sekolah rendah pada tahun hadapan, upacara itu dimeriahkan dengan persembahan para pelajar mengenai tokoh-tokoh ilmuwan Islam.
Persembahan-persembahan menghiburkan oleh para pelajar berusia 4 hingga 6 tahun dari lapan cawangan sekitar Lembah Klang itu melibatkan penceritaan, iringan lagu dan tarian yang turut dilengkapi dengan hiasan pentas yang menarik.
Menurut Zaliza, majlis konvokesyen tersebut telah dilakukan secara berperingkat mengikut cawangan-cawangan Genius Aulad di seluruh negara hampir sebulan sebelum ini dan dijayakan oleh barisan guru-guru prasekolah tersebut.
“Keunikan konvokesyen atau ihtifal kali ini ialah reka pentas yang disediakan para guru terlibat diperbuat daripada bahan-bahan kitar semula seperti botol plastik, tong sampah rosak, bekas air dan surat khabar lama.
“Tujuan penggunaan bahan-bahan ini ialah untuk mendedahkan para pelajar kami tentang keupayaan sesuatu bahan untuk diguna semula sebagai suatu yang menarik dan berguna,” jelasnya.
Salah seorang ibu pelajar yang hadir menyaksikan konvokesyen tersebut ialah Rosmah Mahmud, 47. Menurutnya, majlis tersebut adalah kali yang keempat diraikan beliau sekeluarga.
“Tiga orang anak saya sebelum ini mendapatkan pendidikan awal di Genius Aulad dan hari ini saya memberi sokongan kepada anak keempat saya, Wan Muhd. Shaghir Wan Maizul Khar yang berusia 6 tahun.
“Saya berterusan menghantar anak-anak di sini selepas melihat kebolehan mereka membaca sejak berusia 6 tahun lagi. Mereka bukan sahaja fasih berbahasa Inggeris, malah yang paling utama adalah keupayaan mengetahui surah-surah ringkas serta bacaan doa,” katanya.
Pemantapan pembelajaran
Sementara itu, anak ketiga Rosmah, Wan Ainil Naim Wan Maizul Khar, 10, berkata, semasa di Genius Aulad, dia bukan sahaja menimba ilmu di dalam kelas, tetapi juga melalui lawatan-lawatan luar kelas yang dianjurkan sekolah berkenaan.
“Saya pernah dibawa ke kilang roti; Taman Wawasan, Putrajaya dan taman tema Kidzania di Petaling Jaya.
“Pengalaman itu memberi saya dan rakan-rakan peluang untuk melihat dengan lebih dekat dan memahami apa yang diajar guru di sekolah. Ini termasuk cara-cara pembuatan roti,” katanya.
Berusia 13 tahun dengan satu jenama yang kian dikenali, Zaliza berkata, memiliki 40 cawangan mungkin dianggap satu perkembangan yang perlahan oleh sesetengah pihak.
Namun demikian, tegasnya, ia adalah sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan Genius Aulad tidak mementingkan kuantiti tetapi kualiti produk yang dihasilkan.
“Individu-individu yang ingin membuka perniagaan francais sekolah ini juga perlu menjalani kursus selama setahun sebelum diluluskan untuk membuka cawangan di kawasan yang dikehendaki.
“Selain itu, kami memastikan setiap kelas hanya mempunyai 15 hingga 20 pelajar bagi memastikan tumpuan dapat diberikan kepada dan daripada pelajar,” jelasnya.
Mengulas lanjut tentang pencapaian Genius Aulad, Zaliza memberitahu, pusat pendidikan prasekolah itu telah dilantik sebagai pencerita dan penganjur festival penceritaan untuk rangkaian kedai buku terkemuka, MPH, selama tiga tahun berturut-turut.
Pusat pendidikan itu juga menerima Anugerah Perniagaan Sepanjang Tahun oleh akhbar The Star dan dinobat sebagai Prestasi Perniagaan Terbaik oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. untuk tiga tahun berturut-turut iaitu bagi tahun 2009, 2010 dan 2011.
Dalam pada itu, Genius Aulad turut melancarkan sebuah album kanak-kanak berjudul `We’re Brothers and Sisters’ di Perth, Australia pada May 2010.
Album tersebut telah diedarkan diseluruh Australia serta United Kingdom (UK) dan dipilih sebagai lagu tema kanak-kanak untuk Islamic Relief Worldwide, UK.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: