Sunday, December 29, 2013

Nilai pelawak naik taraf


PERSEMBAHAN Geng Lawak @PICC pada Selasa ini akan digalas oleh (dari kiri) Mr. Os, Yus, Tauke, Jihan, Yassin dan Shuk.


TATKALA konsert ambang tahun baharu 2014 dipenuhi dengan pelbagai acara nyanyian, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) buat julung kalinya membawakan kumpulan pelawak Jambu, Osama, SYJ, Kuah Jenhan dan Sabri Yunus untuk menceriakan detik 12 tengah malam.
Tidak seperti konsert percuma di Dataran Merdeka atau di Dataran Putrajaya, persembahan Geng Lawak @PICC yang direncanakan sebagai alternatif, penggemar hiburan sempena tahun baharu 2014 itu mengenakan tiket masuk bermula RM85 sehingga RM205 untuk setiap penonton.
"Dahulu, orang sanggup berbelanja untuk beli tiket dan cari kostum yang sesuai untuk konsert rock. Sekarang tak mustahil, khalayak juga sanggup mengeluarkan bajet untuk tengok persembahan komedi pula.
"Secara jujurnya, setiap benda ada risiko tapi kami tawarkan persembahan ini sebagai satu cabaran. Sudah tentu, skala komedi yang kami akan bawakan semasa persembahan itu nanti lebih gempak dan berbeza daripada apa yang telah disaksikan dalam program televisyen atau pertandingan Maharaja Lawak Mega," jelas Tauke yang merupakan regu Yus dalam kumpulan pelawak Jambu.
Mencelah perbualan, Yus pula menyifatkan komedi semakin diterima baik oleh peminat hiburan tanah air.
"Sama halnya dengan Lawak Ke Der di Istana Budaya. Kami memang bimbang, takut tiada penonton. Rupa-rupanya meleset. Untuk Geng Lawak @PICC ini juga, kami sahut cabaran penganjur demi survival lawak dan komedi tanah air," luah Yus serius ketika ditemui usai sidang media Sambutan Tahun Baharu 2014 anjuran PICC, Selasa lalu.
Perasaan yang sama dikongsi pelawak wanita, Jihan daripada kumpulan SYJ. Katanya, biarpun harga tiket ditetap penganjur itu termasuk kos makan malam dan menikmati malam tahun baharu yang indah di sebuah bangunan mercu tanda Putrajaya, SYJ nekad mahu membawakan sebuah komedi yang berbaloi dengan nilai tiket penonton.
"Kami agak terkejut dengan keberanian penganjur tetapi acara ini salah satu platform untuk kami membuktikan lawak kami secara langsung depan audiens. Ini sekali gus, boleh menjadi kayu ukur kepada nilai komedi SYJ sendiri," jelas Jihan sambil dipersetujui oleh rakan trionya Yassin dan Shuk.
Kelainan sambutan tahun baharu berbayar yang dilakukan oleh PICC itu diperjelaskan lagi oleh Ketua Pegawai Operasi PICC, Badlishah Ahmad.
"Geng Lawak @PICC ini percubaan pertama kami untuk membuka dan memperkenalkan PICC sebagai lokasi utama acara hiburan selain di pentas-pentas sedia ada di Kuala Lumpur.
"Kami juga mahu memperkenalkan PICC sebagai pentas konsert antarabangsa menjelang tahun 2014. Untuk Geng Lawak pula, rasanya harga tiket yang ditetapkan itu berbaloi memandangkan penonton yang datang turut disediakan makan malam sambil menikmati suasana menarik dari Aras 1 PICC ini. Pemandangan malam dan percikan bunga api paling indah di Putrajaya hanya boleh disaksikan dari PICC," kata Badlishah optimis.
Tiket-tiket untuk menonton pementasan Geng Lawak @PICC telah mula dijual sejak pada 20 Disember lalu di PICC dan tiket juga boleh didapati menerusi di www.ticket2u.biz.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: