Monday, December 30, 2013

Peninju ubah masa depan negara


NI OO (kanan) berjaya menewaskan pesaingnya dari Filipina pada peringkat akhir tinju wanita kelas 57 kilogram.


TEGAP, gagah dan tumbukan tangan kiri yang padu, pemenang pingat emas acara tinju dari Myanmar, Nwe Ni Oo berjaya merubah imej wanita di negara konservatif itu.
Linangan air mata peninju berusia 19 tahun itu pada majlis penyampaian pingat Sukan SEA 2013 di Naypyidaw baru-baru ini telah menyentuh hati ramai pihak. Dia memenangi pingat emas setelah berjaya menewaskan pesaingnya dari Filipina pada peringkat akhir tinju wanita kelas 57 kilogram.
"Ia suatu yang mengujakan kerana sebelum ini, saya tidak pernah bersaing dengan warga asing. Saya gembira dapat berlawan di hadapan penyokong tempatan," katanya.
Kejayaan remaja yang dilihat membuka jalan kepada atlet wanita lain untuk mewakili Myanmar di kejohanan-kejohanan sukan serantau. Sebelum ini, sejak tahun 2001, Myanmar gagal memenangi pingat emas ekoran kekurangan sokongan kewangan semasa era pemerintahan junta dan sokongan awam.
Keluar daripada bayangan pemerintahan tentera, Myanmar berbangga dengan reputasinya sebagai sebuah negara yang mempunyai kesaksamaan jantina dalam sebuah rantau yang dibelenggu dengan keganasan terhadap wanita.
Anak tempatan yang juga merupakan pemenang Anugerah Nobel, Aung San Suu Kyi dan wanita lain di negara berkenaan diberi hak sama rata di bawah undang-undang baharu, menikmati status sosial lebih tinggi berbanding wanita di India dan China.
Namun demikian, kaum wanita masih perlu mengharungi cabaran besar di negara miskin itu.
Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dua pertiga daripada wanita di Myanmar tergolong dalam tenaga buruh kurang mahir dengan upah rendah, sementara hanya 18 peratus mendapat pendidikan peringkat menengah dan tinggi sekali gus menghalang prospek masa depan mereka.
Myanmar yang berpegang teguh pada ajaran Buddha dan tradisi menuntut kaum Hawa untuk berpakaian sopan, terutamanya di kawasan-kawasan desa.
Rentetan itu, pihak penganjur Sukan SEA ke-27 di negara itu mengecualikan acara gimnastik dan bola tampar pantai atas kepercayaan disebabkan pakaian yang dikenakan oleh atlet sukan tersebut terlalu seksi.
Pujian
Atlet wanita telah menerima pujian di atas pencapaian yang diperoleh dalam acara sukan yang mereka ceburi, daripada sukan tradisional Myanmar seperti Chinlone mahupun bola sepak.
Namun, pasukan tinju wanita telah mendapat pujian khas apabila memperoleh satu emas, satu perak dan dua gangsa bagi membantu pungutan pingat keseluruhan Myanmar.
Walaupun beraksi penuh bersemangat ketika di gelanggang, Ni Oo merupakan seorang yang sangat merendah diri ketika di luar.
Menurut anak sulung daripada enam beradik itu, dia menceburi bidang sukan untuk menjamin masa depan yang lebih baik untuk keluarganya yang tinggal di selatan negara itu.

TANGISAN NI OO pada majlis penyampaian pingat Sukan SEA 2013 menyentuh hati banyak pihak.


"Keluarga sentiasa memberikan sokongan moral kepada saya terutamanya, bapa yang berharap saya menjadi peninju terbaik," kata remaja berbadan kecil ini kepada AFP.
Kemenangannya dianggap luar biasa memandangkan dia hanya bergiat dalam sukan itu tiga tahun lalu dan mempunyai berat dua kilogram lebih ringan untuk kategorinya di acara sukan serantau itu.
Bagi pemerhati, kemenangan atlet-atlet wanita dalam Sukan SEA kali ini membawa erti yang lebih bermakna daripada sekadar pungutan pingat.
Kesaksamaan
Menurut aktivis kesaksamaan jantina, May Sabe Phyu, sukan boleh meningkatkan lagi peranan wanita di negara tersebut.
"Apabila wanita memenangi pingat, ia menunjukkan kita juga mampu mencapai kejayaan seperti kaum lelaki," katanya sambil menambah dia mahu melihat keseimbangan yang lebih baik dalam pentadbiran kerajaan.
Pendapatnya juga telah dibentangkan dalam satu taklimat ringkas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyatakan, masih banyak yang perlu dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat mewujudkan kesaksamaan gender, antaranya menambah penglibatan wanita dalam masyarakat dan menangani halangan norma-norma budaya.
Dalam pada itu, semasa bercakap dalam satu forum wanita di Yangon baru-baru ini, Suu Kyi berkata, ketika era pemerintahan junta, wanita dibebankan dengan tanggungjawab menjaga keluarga,
"Setelah menjadi sebuah negara terbuka, kaum wanita berazam untuk sama-sama membantu membangunkan negara ini.
"Kami mahu memberikan sumbangan kepada masyarakat dan mengambil peranan yang lebih penting," katanya.
Bagi atlet tempatan, Sukan SEA merupakan peluang bagi kegemilangan peribadi dan memainkan peranan dalam perubahan politik, ekonomi dan sosial.
Kejohanan yang berlangsung sehingga 22 Disember lalu itu membuka ruang baharu bagi peninju-peninju wanita tempatan sekali gus melahirkan lebih ramai bakat baharu.
"Wanita Myanmar sangat tradisional dan kebanyakannya tidak pandai bertinju. Saya berasa besar hati kerana diberi peluang membantu wanita bertinju dan bersaing dalam sukan lain," kata Aung San Oo, bekas peninju yang telah melatih Ni Oo dalam kejohanan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: