• Rockers 90-an ubati kerinduan

BIARPUN industri hiburan kini dibanjiri dengan kehadiran artis-artis baru, ia belum tentu dapat menenggelamkan aura artis-artis lama terutamanya rockers yang popular sekitar 90-an.

Justeru bagi mengubati kerinduan peminat tegar irama rock, Fuh Network dan Ibar Group membawakan sebuah konsert yang bakal dibarisi oleh artis-artis rock seperti Kris, Sejati, Putra dan Masa Scarecrow.

Konsert Rocker Apa Khabar II, akan diadakan di Tapak Pesta Pulau Pinang pada 30 Disember ini, bermula jam 8.30 malam.

Ia sebahagian langkah awal promosi kepada konsert Rockers Apa Khabar 1 yang akan bersiaran di Radio Televisyen Malaysia pada 4 Januari ini.

Pengarah Fuh Network, Zamrudul Ahmar Mohd Ruslan@Zack Masa Scarecrow berkata, artis yang dipilih akan mengembalikan nostalgia menerusi lagu popular era 90-an seperti Bila Bunga Dipetik Orang (Sejati), Kain Cinta Putih (Putra), Tiara (Kris) dan Patahnya Sayap Malam (Masa Scarecrow).

Selain itu katanya, konsert tersebut turut menampilkan sebuah kumpulan rock cilik, M-7 yang menampilkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun untuk pembukaan konsert serta kemunculan istimewa, Group Sabahan Rockers.

“Bagi mengenang kembali era Rock 90-an, Group Sabahan Rockers dan artis akan tampil berpakaian rock dan pengunjung akan merasai mereka kembali berada pada era 90-an," katanya.

Zack berkata, pengunjung juga boleh mendengar siaran konsert ini melalui web www.fuhfm.com, manakala untuk aplikasi tune in radio boleh layari http://tunein.com/radio/Fuh-FM-s191935/ dan juga like di fanpage mereka di www.facebook.com/fuhfm.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ibar Group, Megat Syafnir Farree@Neil berkata, di tapak konsert itu turut diadakan penjualan baju-T istimewa Rockers Apa Khabar II dan pengunjung yang hadir turut berpeluang bergambar bersama artis.