Friday, December 13, 2013

Seni 'berkawan' artis dan wartawan


DATUK Siti Nurhaliza merupakan contoh selebriti yang bijak mengawal emosi terhadap semua jenis berita yang ditulis tentang dirinya.


USIA pembabitan saya sebagai wartawan dan penulis hiburan hanya 10 tahun. Masih terlalu mentah berbanding banyak wartawan dan penulis hiburan lain yang ada di Malaysia. Maka, wartawan senior lebih banyak ragam atau pepatah orang tua, lebih banyak makan garam daripada saya yang kerdil ini tentang dunia hiburan tempatan kita.
Apa yang cuba saya sampaikan kali ini ialah tentang situasi yang selalu dilalui oleh para wartawan dengan artis yang perlu mereka tangani membabitkan sikap, pekerjaan dan kebijaksanaan mereka berkomunikasi serta mengawal emosi.
Pada pemerhatian saya, golongan artis terbahagi kepada beberapa kategori. Pertama, ada yang benar-benar masuk ke dalam industri hiburan untuk menjadi pelaku seni. Mereka melakukan kerja dengan penuh antusias, ikhlas, jujur dan segala yang dilakukan berpandukan keghairahan sebenar terhadap dunia seni.
Golongan kedua, mereka yang terjebak menjadi anak seni. Ia selalu terjadi apabila mereka secara tiba-tiba ditawarkan untuk menjadi pelaku seni kerana dilihat punya potensi boleh berlakon atau menyanyi dan selebihnya boleh jual sebab punya nilai komersial.
Golongan ketiga pula, jadi artis sebab ingat dunia hiburan ini penuh glamor, boleh popular dan mengumpul duit segera.
Sama ada artis datang daripada golongan pertama, kedua atau ketiga, pada puncaknya, misi mereka adalah untuk diberitakan. Ini kerana hanya melalui cara diberitakan baru mereka boleh mula bergerak kerja dan seterusnya menjana ekonomi masing-masing.
Malangnya, ada segelintir artis yang tidak bijak untuk menangani kehidupan sebagai artis apabila hal peribadi mereka menjadi buruan.
Pada beberapa kitaran masa juga, hal keburukan mereka digosipkan. Dan pada kebanyakan masa, hal karier mereka dilaporkan dengan meluas tanpa sistem kontra iklan atau bayaran.
Maaf cakap, tapi dewasa ini banyak artis kita cepat melenting, sekali gus menunjukkan kebijaksanaan mereka yang agak terhad sehingga tidak dapat membezakan bahawa berita yang bakal dilaporkan bersifat gosip atau bersifat pemberitaan.
Contohnya, ada seorang artis wanita yang pada saya sumbangannya dalam dunia hiburan kita tidak sebesar mana, tapi jika tercuit sikit, sikapnya kalah singa. Lucunya, kadangkala hal yang membuat dia jadi singa, dia sendiri tidak faham, seperti kerja wartawan yang perlu melaporkan sesuatu kejadian yang memerlukan semua fakta lengkap untuk diberitakan, namun wartawan diherdik pula kononnya hal kain dalam pun mahu dikorek sama.
Begitu juga dengan seorang artis lelaki yang pembabitannya yang baru setahun jagung sudah mula rimas apabila dihujani pelbagai soalan yang bukan bersifat peribadi pun.
Dan tak kurang juga, banyak artis yang suka menyalahkan wartawan sebagai salah lapor, sedang realitinya mereka kadang terlupa. Ketika ditemu bual, mereka teruja dan ghairah bercakap semua perkara, tetapi apabila laporan keluar, mereka memaki hamun wartawan yang kononnya kurang cerdik, sedangkan pada masa yang sama mereka terlupa untuk membalikkan cermin kepada diri sendiri.
Pengalaman saya berhadapan dengan artis, yang suka saya ambil contoh iaitu Datuk Siti Nurhaliza. Siti Nurhaliza ialah artis yang tidak pernah dimakan emosi saat dirinya ditimpa dengan pelbagai gosip liar dan fitnah.
Ya, saya tahu, bohong kalau dia tidak melepaskan kemarahannya, namun ia bukan di hadapan umum, jauh sekali mengherdik wartawan. Selalunya, dengan cara paling berhemah beliau minta bantuan agar gosip atau fitnah yang dibuat dihentikan.
Malah, tidak pernah beliau mengeluh rimas saat dirinya masih terus diberitakan walau selepas 18 tahun menjadi anak seni.
Pendek kata, saya kira, sebenarnya inilah seni bagaimana berhadapan dengan sesama manusia.
Bagi artis, jangan cepat melatah, sementara wartawan juga bertanggungjawablah dalam penulisan dan fakta.
Sebab pada akhirnya, antara kita memang saling memerlukan. Walaupun pada hari ini artis menghamun wartawan dan kemudian wartawan menghentam mereka semula, tapi esok lusa bertemu semula.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: