HONG KONG - Bintang filem aksi Hollywood, Jet Li mengaku dia kini menjalani rawatan penyakit tiroid, lapor portal berita hiburan, Hollywood Reporter semalam.
Bagaimanapun, Li yang berusia 50 tahun berkata, dia kini mengambil ubat-ubatan sebagai cara untuk pulih daripada penyakit itu.
"Saya kini menghidap hipertiroidisme. Kadangkala saya kehilangan berat badan sebanyak 15 kilogram (kg). Namun, ada ketikanya, berat badan saya naik sebanyak 15kg. Ketika ini, saya kelihatan gemuk.
"Saya tidak berpeluang untuk menurunkan berat badan kerana rawatan perubatan yang saya jalani itu melibatkan kawalan denyutan jantung. Justeru, saya tidak boleh melakukan senaman.
"Saya akan menunggu sehingga doktor menyatakan, saya boleh melakukan senaman ringan sebelum saya bertindak menurunkan berat badan," kata Li.
Dia telah disahkan menghidap tiroid aktif pada tahun 2010 dan hanya mengambil ubat-ubatan untuk mengawalnya.
Namun, penyakitnya itu menjadi semakin serius sejak kebelakangan ini.
Penyakit yang dialami Li itu menyebabkan dia mengalami peningkatan kadar metabolisme asas, gangguan sistem saraf autonomi, perasaan gelisah, kadar denyutan jantung meningkat, pengambilan air yang berlebihan dan berlaku penurunan berat badan walaupun selera makan meningkat.
"Saya hanya manusia biasa seperti orang lain.
"Saya bukan Wong Fei Hung (watak dalam sebuah filem yang dilakonkannya)," kata Li.
Dia pernah menjadi juara seni mempertahankan diri kungfu.
Li mula melibatkan diri dalam bidang lakonan sekitar tahun 1980-an.
Dia menjadi terkenal apabila membintangi filem Once Upon a Time in China pada tahun 1990-an.
Antara filem Hollywood yang pernah dilakonkannya ialah Lethal Weapon 4 dan Romeo Must Die.
"Saya dalam kesakitan, tetapi saya masih lagi belum menderita," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: