Friday, December 27, 2013

Awie mahu buka restoran

AWIE bakal terbabit dengan beberapa projek seni mega sepanjang tahun 2014.


DI SEBALIK kerjaya seninya yang terus berkembang sepanjang tahun 2013, terdapat beberapa isu sensasi yang turut membelenggu penyanyi dan pelakon Ahmad Azhar Othman atau Awie.
Jika awal tahun ini ramai yang mengecam tindakannya membuka kelab malam, Malai Rock Station di Ipoh, Perak baru-baru ini dia terpalit pula dengan kontroversi yang membabitkan dirinya sudah jatuh muflis.
Awie yang ditemui semasa majlis pelancaran KL Bike Week 2013 berkata, dia tidak mahu melayan sebarang cerita yang tersebar. Sebaliknya, tumpuannya sekarang ini lebih terarah kepada karier memandangkan dia akan terbabit dengan beberapa projek besar pada tahun hadapan.
Kosmo!: Apakah perkembangan terbaharu anda sekarang?
AWIE: Sejurus habis pementasan teater Supermokh di Istana Budaya pada bulan lepas, saya meneruskan kerja-kerja rakaman untuk album baharu saya bersama kumpulan Wings yang akan dilancarkan pada bulan Februari tahun depan.
Album tersebut diberi judul, Penakluk Kosmos dan terdapat sebanyak 11 buah lagu baharu. Proses rakaman di lakukan di Pulau Langkawi, Kedah dan saya bersama ahli Wings yang lain berada di sana selama dua minggu.
Apakah yang membuatkan Wings secara tiba-tiba menghasilkan album baharu?
Salah satu sebabnya kami sudah lama tidak muncul dengan album yang terakhir kira-kira 11 tahun lalu menerusi Naga Keramat. Selain itu, kami percaya Wings masih lagi mempunyai ramai peminat termasuk generasi sekarang.
Mengikut perancangan awal, album ini sepatutnya dihasilkan pada tahun lalu. Bagaimanapun, ketika itu saya masih belum ada mood untuk menyanyi semula serta terbabit dengan banyak projek lain.
AWIE tenang memberikan jawapan terhadap beberapa isu kontroversi yang pernah melanda dirinya.


Selain album baharu, apakah projek lain pada tahun depan?
Pada bulan Mac 2014, saya bakal mengadakan sebuah konsert solo di Istana Budaya dan dua bulan selepas itu berkemungkinan besar saya akan membintangi sebuah filem. Kemudian pada bulan September pula, saya akan kembali menjayakan pementasan teater.
Baru-baru ini anda telah dikaitkan dengan isu muflis. Adakah isu berkenaan memberi impak terhadap kerjaya seni anda?
Kalau boleh saya tidak mahu ulas apa-apa mengenai isu ini. Sekalipun benar saya muflis atau tidak, saya rasa perkara tersebut bukanlah satu dosa besar atau menjadi najis kepada sesiapa yang mengalaminya.
Selain isu muflis, ada yang mengatakan operasi kelab malam Malai Rock Station yang anda buka kini sudah ditutup. Adakah perkara itu benar?
Malai Rock Station masih lagi beroperasi seperti biasa sehingga sekarang. Sebenarnya, saya sudah merancang untuk membuka sebuah restoran yang menghidangkan masakan dari Indonesia kerana menggemari beberapa jenis masakan dari negara tersebut.
Setakat ini, saya masih lagi mencari lokasi yang sesuai, sama ada di Kuala Lumpur atau Ipoh. Namun begitu, restoran saya itu akan menggunakan nama yang sama iaitu Malai Rock Station.
Anda dikenali seorang penggemar motosikal berkuasa tinggi seperti Harley Davidson. Adakah anda tidak pernah merancang untuk membuka kedai yang menjual aksesori motosikal berkuasa tinggi?
Sekitar tahun 90-an dahulu saya pernah membuka sebuah kedai aksesori yang diberi nama Highway Hawk dan diuruskan oleh seorang rakan memandangkan saya sangat sibuk berlakon dan menyanyi. Akhirnya, saya telah ditipu dan mengalami kerugian yang sangat besar iaitu sebanyak RM100,000.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: