Thursday, December 26, 2013

Berkonvoi sambil beramal


ADA di antara ahli komuniti ini yang sanggup mengembara dari Kelantan semata-mata untuk bertemu ahli-ahli lain di Shah Alam.


KERANCAKAN Kawasaki Z800 Komuniti Malaysia menjalankan aktiviti amal sekali gus memperlihatkan sisi berbeza penunggang tegar motosikal berkuasa tinggi yang lazimnya mempunyai jiwa dan hati yang kental.
Selain aktif berkonvoi, komuniti itu yang baru ditubuhkan pada 10 November tahun lalu, rancak membantu golongan yang kurang bernasib baik terutama dalam kalangan warga emas, anak yatim dan yatim piatu.
Ketua Program Kawasaki Z800 Komuniti Malaysia, Elfe Azrul Abdul berkata, dengan keahlian lebih 10,000 orang, pihaknya yakin dapat memberi sumbangan kepada masyarakat.
"Tujuan utama kami adalah untuk berkumpul dan merapatkan hubungan sesama ahli. Ketika itu timbul idea untuk menghulurkan bantuan kepada orang ramai.
"Bagaimanapun, kerja-kerja amal ini dilakukan setelah dibuat perancangan yang teliti selain mengenal pasti rumah yang ingin dilawati," katanya ketika ditemui sempena majlis Makan Malam 2013 Kawasaki Z800 Komuniti Malaysia di Intekma Resort Universiti Teknologi Mara, Shah Alam baru-baru ini.
Jelasnya, antara tujuan lain penubuhan komuniti itu adalah untuk membantu meringankan beban dalam kalangan ahli seperti waris yang meninggal dunia atau menghidap penyakit kronik.
Majlis yang dihadiri kira-kira 300 pemilik motosikal Kawasaki Z800 itu dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya, persembahan silap mata dan permainan dalam kumpulan.

SYARAT untuk menjadi ahli Kawasaki Z800 Komuniti Malaysia ialah mempunyai motosikal berkuasa tinggi itu.


Elfe Azrul berkata, walaupun kali pertama dianjurkan, pihaknya sunggu berbesar hati apabila mendapat tajaan berjumlah hampir RM80,000 serta berjaya mengutip derma lebih RM5,000 untuk disalurkan kepada pihak yang memerlukan.
Selain itu, pihaknya turut merancang untuk mengadakan program pembersihan kawasan perkuburan Islam di sekitar Lembah Klang.
Dalam pada itu, ahli kumpulan kelab tersebut, Nor Jamaludin Ismail berharap program makam malam tersebut dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang.
"Ketika idea untuk mengumpulkan semua pemilik Kawasaki Z800 di bawah satu komuniti diutarakan pada tahun lalu, ia menerima maklum balas yang sangat positif.
"Selain berkonvoi, kami dapat melakukan kerja-kerja kemasyarakatan," katanya.
Bagi Presiden Penunggang Kawasaki Z800 Kelantan, Mohd. Alil Mohd. Arif, penat lelahnya menunggang motosikal bersama 20 penunggang lain selama lapan jam dari Kelantan ke Shah Alam begitu berbaloi apabila dapat berkumpul beramai-ramai pada majlis berkenaan.
"Lihat sahaja kemeriahan majlis makan malam ini kami seperti sudah lama kenal. Walhal semua penunggang yang berada di sini baru berkenalan sebentar tadi," katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: