Sunday, December 29, 2013

Cinta, maruah Zhang Ziyi

ZHANG ZIYI tidak menyangka peranannya dalam iklan ketika dia berumur 15 tahun menjadikannya kini aktres terkenal dunia.


TUDUHAN pelacur atasan pernah menjadi awan hitam yang membungkus ruang hidup Zhang Ziyi. Liga antarabangsa yang sudah menjadi permainan buat aktres kelahiran Beijing, China itu pernah menyimpan prasangka terhadap kehidupan mewahnya.
Pada pertengahan tahun ini, aktres berumur 34 tahun ini memfailkan saman terhadap China Free Press yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan wartawan Weican Null Meng yang menulis untuk akhbar dalam talian, Boxun, pada 12 Jun tahun lalu.
Dalam laporan itu, Zhang Ziyi dilabelkan sebagai pelacur yang memperoleh lebih RM300 juta kerana menjalin hubungan seks dengan pegawai tertinggi China. Laporan yang dianggap sebagai pembohongan berniat menjatuhkan reputasi itu memaksa Ziyi berjuang mengikut landasan undang-undang.
Tuduhan seksual ke atas pelakon yang mencipta populariti di Hollywood menerusi filem-filem seperti Crouching Tiger, Hidden Dragon, Rush Hour 2 dan Memoirs of a Geisha menyebabkan rundingan kontrak Ziyi bersama jenama mewah antaranya Michael Kors, Citroen dan beberapa produk lain terjejas teruk.
Pada awal tahun 2013, Ziyi mencabar defendan supaya mendedahkan sumber yang mendakwa dirinya dilanggan oleh pucuk tertinggi Parti Komunis, termasuk Bo Xilai.
Bagaimanapun, permintaan itu ditolak menyebabkan peguam Ziyi membidas jika wartawan dibenarkan menulis laporan tidak tepat dan berselindung di balik nama sumber yang enggan didedahkan identitinya atas sebab keselamatan, mereka bebas menulis apa saja tanpa perlu bertanggungjawab.
Pada 18 Disember lalu, perkara itu selesai apabila kedua-dua pihak memberitahu mahkamah untuk menamatkan pertikaian secara tertutup.
Boxun News meminta maaf sepenuhnya kepada aktres berkenaan dan mengeluarkan semua artikel mengenainya dari laman web, selain menarik balik laporan secara rasmi. Sebelum tuduhan melampau ke atas pelakon berkenaan, laman web yang berpejabat di AS itu kerap melaporkan pencabulan hak asasi manusia dan skandal politik yang disekat di China.
WANG FENG menceraikan isterinya untuk bersama Zhang Ziyi.


Dalam satu kenyataan Ziyi menerusi akaun rasminya di laman Sina Weibo, dia menulis: "Sembilan belas bulan dan hampir 600 malam dan siang, ia mungkin bukan satu tempoh yang panjang untuk sebarang isu atau skandal, namun ia cukup sempurna untuk meranapkan reputasi seseorang individu yang tidak bersalah.
"Undang-undang telah menghakimi keadilan hidup dan nama baik saya. Semua harus ingat, sebarang spekulasi tidak benar, setiap kejahatan yang dilakukan akhirnya akan memusnahkan kalian semua," tulis Ziyi berbunyi suatu kecaman.
Ditawan lelaki rock
Sejak Mei lalu, Ziyi dan pemuzik rock terkenal China, Wang Feng dikhabarkan menjalin hubungan serius. Keseriusan mereka nampak jelas apabila kerap keluar berdua-duaan dalam keadaan mesra dan berpegangan tangan.
Wang Feng turut dilihat menemani Ziyi ketika tayangan filem The Grandmaster di AS. Mereka juga turut membeli sepasang aksesori untuk lelaki dan wanita sebagai tanda cinta mereka di Las Vegas.
Momen paling terkesan dalam hikayat cinta Ziyi dan Wang Feng berlaku dalam sebuah konsert di Stadium Shanghai, November lalu.
Wang Feng turut menzahirkan cintanya buat Ziyi di hadapan ribuan peminat yang membanjiri persembahan konsertnya. Sebelum menyanyikan lagu I Love You More, Wang Feng tiba-tiba membacakan deklarasi cintanya buat Ziyi selama beberapa minit.
"Aku membayangkan bahawa suatu hari kita bakal berpegangan tangan seperti pasangan lain. Aku membayangkan bahawa suatu hari kita akan bersiar-siar di bawah matahari tanpa harus memakai topeng. Aku membayangkan bahawa ketika kita bakal menjadi tua suatu hari nanti, kita akan terus bersama bergandingan tangan," ungkap Wang Feng menghadiahkan ucapan itu buat Ziyi yang turut berada dalam konsert yang sama.
Wang Feng kemudiannya meneruskan deklarasinya: "Kekasihku, kamu sudah melewati begitu banyak waktu sukar. Aku tidak pernah terfikir bahawa cinta yang sederhana ini boleh mendatangkan beban buatmu. Aku akan membuat kamu menjadi wanita paling bahagia di dunia."
Sehabis sahaja Wang Feng menghanyutkan emosi sesiapa sahaja dengan sajak cintanya itu, semua penonton bersorak sambil bertepuk tangan. Mereka melaungkan nama Wang Feng dan Ziyi untuk terus bersama-sama.
Ziyi yang berada di situ dikatakan basah dengan air mata. Situasi itu berjaya dirakam oleh salah seorang penonton yang kebetulan berada berdekatan dengan Ziyi.
ZHANG ZIYI mendakwa dia sudah penat melakonkan watak tangkas dalam filem aksi.


Sedang hamil
Beberapa hari lalu, muncul satu gosip mengatakan Ziyi sedang hamil anak hasil hubungannya bersama Wang Feng. Selepas Wang Feng memberi kejutan tentang pengakuan cinta, ramai beranggapan hubungan kedua-dua selebriti sedang menuju fasa seterusnya. Wang Feng sebenarnya secara rasmi bercerai dengan bekas isterinya pada September lalu.
Tindakan aktres berkenaan menolak beberapa tawaran besar segera menimbulkan persoalan adakah dia kini sedang berbadan dua.
Spekulasi kehamilan Ziyi menjadi semakin kencang apabila penggambaran filem terbaharunya, The Crossing yang sepatutnya diadakan di Taiwan telah diubah ke Beijing, tempat asal Ziyi.
Khabar angin itu bagaimanapun dinafikan pihak produksi filem berkenaan termasuklah pengurus Ziyi sendiri pada 24 Disember lalu.
Tolak filem aksi
Filem The Grandmaster yang ditayangkan awal tahun 2013 dibayangkan oleh Ziyi sebagai filem aksi terakhirnya.
Biarpun memenangi trofi Aktres Terbaik dalam majlis Taiwan's Golden Horse, bulan lalu, pelakon yang mempunyai puluhan judul filem aksi itu pernah mengadu penat dan mahu bersara daripada melakonkan watak-watak yang menuntutnya melakukan aksi pertarungan.
Kini Ziyi sedang terlibat dalam penggambaran filem arahan John Woo bertajuk The Crossing. Filem genre epik drama lakonan bersama Song Hye-kyo dan Takeshi Kaneshiro itu dijangka menemui penonton hujung tahun depan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: