SUBANG JAYA: Buat pertama kali stesen televisyen TV3 dan TV9 bergabung untuk menganjurkan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada 22 Februari 2014.
Pengurus Besar Kumpulan TV3 dan TV9, Sherina Nordin berkata, anugerah sempena Festival Drama Kuala Lumpur itu adalah bagi mengiktiraf drama-drama pilihan penonton yang disiarkan saluran televisyen berkenaan sepanjang tahun 2013.
"Kita telah mendapat maklum balas yang sangat baik daripada penonton dan peminat drama-drama Melayu daripada semua slot sejak awal tahun lalu.
"Oleh itu, kita membuka peluang kepada mereka untuk mengundi sendiri drama dan kategori yang mereka rasa layak untuk menang," katanya pada sidang media acara itu di Empire Subang, di sini, Khamis.
Tambahnya, drama yang dicalonkan dipilih berdasarkan kadar tontonan tertinggi di semua slot drama TV3 dan TV9 sepanjang tahun 2013.
Drama tersebut terdiri daripada Ruby, Diandra, Karlos, Sebenarnya Saya Isteri Dia, Janji Shirah, Love You Mr. Arrogant, Janji Adam, Dalam Setiap Sujud, 6 Progresif dan Puteri Malam.
Manakala tujuh kategori dipertandingkan adalah Drama Pilihan, Pelakon Lelaki Pilihan, Pelakon Wanita Pilihan, Pengarah Pilihan, Penulis Skrip Pilihan, Barisan Pelakon Pilihan dan Pasangan Serasi Pilihan.
Penonton boleh membuat undian menerusi di www.dfkl.com.my mulai 1 Januari depan.
Tambah Sherina, sempena festival tersebut juga bengkel selama dua hari akan dianjurkan melibatkan 17 penceramah berpengalaman dalam industri seni berkaitan drama dan lakonan.
"Bengkel selama dua hari ini memberi peluang kepada para peserta untuk mempelajari sesuatu yang baharu melalui pengalaman penceramah-penceramah hebat tanah air.
"Peserta berpeluang untuk belajar mengenai pengarahan, penulisan skrip, lakonan dan komposisi muzik dengan yuran pendaftaran hanya RM60 dan RM100," katanya.
Bengkel ini akan diadakan pada 20 dan 21 Februari 2014 Berjaya Time Square, Kuala Lumpur.
Bagi yang berminat boleh mendaftar di Jabatan Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Tingkat 2, Sayap Utara, Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya.
Selain itu juga, Pertandingan Drama Pendek telah dibuka bermula sejak 1 November lalu dan akan tamat pada 31 Disember ini.
Undian secara dalam talian akan dibuka pada 1 Januari 2014 bagi setiap penyertaan dan lima buah drama pendek yang menerima undian tertinggi bakal mara ke peringkat seterusnya yang akan diadili oleh juri profesional.
Pemenang diumumkan pada kemuncak Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur pada 22 Februari depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: