Sunday, December 29, 2013

Jamal sudah biasa tidur sendirian

JAMAL ABDILLAH masih belum bertemu calon yang sesuai untuk disunting sebagai isteri.


"SIAPA yang tidak mahu berkahwin, saya juga begitu. Balik rumah ada orang menunggu, ada teman untuk berkongsi luahan hati, ada orang yang jujur mengkritik tentang persembahan saya," bicara Datuk Jamal Abdillah ketika ditemui di Putrajaya baru-baru ini.
Sepuluh tahun hidup menduda, penghibur kesayangan ramai itu mengakui memang sudah tiba waktu yang tepat untuk dirinya kembali mencari seorang suri. Namun, tempoh yang lama sejuk di ranjang tanpa belaian insan bernama isteri menjadikan dirinya betah dengan kehidupan solo.
"Perasaan hendak kahwin itu ada tapi kadang-kadang saya terfikir, bolehkah saya kembali berkongsi kehidupan dengan seorang wanita lain. Sudah terbiasa tidur sendiri, kadang-kadang kalau anak saya mahu tidur bersama pun saya pun, saya rasa tidak selesa.
"Dalam usia begini, saya sudah 54 tahun, tambahan pula anak-anak pun sudah besar, saya fikir biarlah saya rileks-rileks dulu bab kahwin. Rasa nak kahwin itu ada tapi belum jumpa calon yang sesuai," kata bapa kepada Osama Yamani, 12, dan Ahmad Zaki Yamani, 8, itu tersenyum.
Sesuatu yang jika difikirkan tidak masuk akal, baru-baru ini Jamal terlalu tertutup dalam soal cinta dan wanita itu terkait dalam satu gosip percintaan bersama penyanyi suam-suam kuku Nas Adilla. Untuk seorang penyanyi yang bergelar Datuk, gosip percintaan dengan artis muda mungkin sesuatu yang menjengkelkan.
NAS ADILLA yang baru-baru ini heboh dikatakan akan melangsungkan perkahwinan bersama Jamal Abdillah.


"Saya tidak pernah ambil pusing soal gosip sebegitu, apabila jadi artis tak kiralah tua atau muda, kena bersedia dengan cerita-cerita yang kurang senang. Macam gosip dengan Nas Adilla, saya sendiri tidak tahu bagaimana cerita hendak kahwin itu boleh muncul.
"Sebenarnya kami kerap bekerjasama sejak tahun lepas lagi, tapi saya langsung tiada perasaan terhadap dia (Nas Adilla). Saya fikir, keterujaan ramai artis sekarang bermain dan memuat naik gambar ke dalam laman sosial seperti Instagram yang jadi punca banyak gosip.
"Berkongsi gambar memang seronok tetapi impak yang akan datang tidak boleh dijangka. Banyaknya impak negatif," kata Jamal tanpa rasa kurang senang ditanya lagi persoalan gosip tentang dirinya.
Alang-alang bercerita tentang cinta dan wanita, penyanyi yang pernah berkahwin dan bercerai sebanyak tiga kali itu disuakan pertanyaan tentang wanita idamannya.
Kata Jamal, dia tidak terlalu mementingkan usia dan paras rupa pasangannya jika hendak berkahwin lagi.
"Apa yang paling penting, perempuan itu harus memahami karier saya sebagai penyanyi, sebagai anak seni. Itu sahaja.
"Cakap memang senang tapi sebetulnya saya tidaklah terdesak hendak kahwin. Saya selesa begini, mungkin kekok agaknya nanti kalau bangun tidur tengok ada isteri di sebelah," katanya dalam nada berseloroh.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: