GELORA cinta antara Pekin Ibrahim dan pasangannya, Uqasha Senrose boleh diibaratkan seperti pasang surutnya air laut. Lebih mudah jika disimpulkan hubungan kedua-dua pelakon ini seolah-olah tidak pernah berhenti dibadai kontroversi.
Bulan lalu, Pekin mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangannya dengan Uqasha kerana mendakwa kakak kepada pelakon Nelydia Senrose itu berlaku curang dengan pelakon popular, Sharnaaz Ahmad.
Tidak sampai beberapa hari, hubungan yang kononnya terputus itu kembali terjalin setelah dakwaan curang tersebut hanyalah pakatan Sharnaaz dan Uqasha untuk mengenakan Pekin sempena hari lahirnya yang ke-32.
Pekin atau nama sebenarnya Mohd. Iznan Ibrahim berkata, dia dan Uqasha bakal mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan. Bagaimanapun, tarikh hari bahagianya dengan Uqasha itu masih dirahsiakan atas permintaan keluarga.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Pekin yang ditemui pada majlis pratonton filem Tokan yang diadakan di Cathay Cineplexes, e-Curve Damansara, Kuala Lumpur kelmarin.
Kosmo!: Benarkah Pekin dan Uqasha akan mendirikan rumah tangga pada masa terdekat ini?
PEKIN: Saya dan Uqasha akan berkahwin pada tahun hadapan. Kami telah pun memilih tarikh untuk melangsungkan majlis pernikahan. Tetapi, atas permintaan pihak keluarga terdekat, kami terpaksa merahsiakan tarikh tersebut daripada pengetahuan umum. Apabila telah tiba masa yang sesuai, kami pasti akan mengumumkannya kepada pihak media dan para peminat.
Adakah keputusan untuk mengahwini Uqasha diambil selepas kontroversi demi kontroversi melanda hubungan percintaan anda berdua?
Saya memutuskan untuk mengahwini Uqasha bukan sebab kontroversi yang terjadi beberapa bulan lalu. Saya memang begitu menyayanginya dan mahu dia menjadi teman hidup saya selamanya. Jika ikutkan hati, saya mahu mengahwininya pada hari pertama saya dan dia bertemu.
Bagaimana dengan persiapan perkahwinan?
Alhamdulillah, selepas mendapat tarikh untuk melangsungkan majlis, persiapan perkahwinan kini berjalan lancar.
Apakah perkembangan terbaharu Pekin?
Saya bakal muncul dengan sebuah filem aksi berjudul Tokan arahan Ghaz Abu Bakar pada 26 Disember ini. Filem ini sedikit lain berbanding filem-filem yang telah saya lakonkan. Dari segi arahan, ia merupakan kali pertama saya bekerja dengan Ghaz.
Bagaimana bekerja dengan Ghaz?
Seperti yang kita tahu, Ghaz begitu terkenal dengan penghasilan muzik videonya yang sangat unik. Jadi, pertama kali bekerja dengannya sedikit sebanyak memberikan pengalaman baharu buat saya.
Boleh ceritakan peranan anda dalam filem tersebut?
Dalam filem ini, saya memegang watak sebagai Yusof, seorang pengawal peribadi yang begitu setia kepada majikannya, tokan dadah terbesar di Malaysia. Konflik mula tercetus apabila kawan baik kepada majikan Yusof mati dibunuh dan tokan-tokan lain berasa terancam dengan tragedi itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: