|
ATAS tiket Ketua Juri Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM20), Datuk Ramli MS pernah menyifatkan bahawa penjurian karya muzik tahun ini dibuat berdasarkan kekuatan dan kerelevanan material yang dicalonkan pihak pengamal muzik tanah air sendiri.
Pengarah muzik tersohor itu menjelaskan, seperti lazimnya penjurian harus menitikberatkan banyak aspek bagi memastikan calon akhir paling sesuai. Aspek itu termasuklah mengambil kira faktor gelombang masa kini yang berbeza berbanding era 1980-an dan 1990-an dahulu. Ketika itu estetika seni menjadi tunjang kekuatan sesebuah karya. Hal itu sedikit berbeza dalam penilaian karya muzik hari ini.
"Sekarang, kita tidak boleh menolak faktor cita rasa muzik yang bercorak santai walaupun kita tahu karya itu tidak akan bertahan sepanjang zaman. Itu realiti muzik sekarang dan itulah apa yang dimahukan oleh pendengar ketika ini," ujar Ramli usai pengumuman calon finalis untuk 18 kategori yang dipertandingkan pada AIM20 minggu depan.
Suatu ketika dahulu, ramai yang beranggapan bahawa artis-artis kelahiran program realiti televisyen sebagai artis 'mi segera'. Faktor cepat popular dan mudah diterima oleh peminat menimbulkan tanggapan bahawa artis realiti televisyen kurang berkualiti. Namun, tekad, kepercayaan khalayak serta kerja kuat telah membilas bersih skeptikal sedemikian. Benar ada artis ramai realiti yang kecundang sehabis populariti yang diraih tidak diberi nilai tambah. Pada masa yang sama juga, industri muzik Malaysia hari ini sedang didominasi kristal yang asalnya dikenal kuasa sinar menerusi program realiti.
Sebagai bukti, senarai akhir Top 5 AIM20 menyaksikan tiga bakat dari program Akademi Fantasia iaitu Hafiz Suip, Hazama dan Amir Jahari mendominasi calon lain dengan masing-masing menerima empat pencalonan dalam pelbagai kategori.
Ronnie dari kumpulan Hyper Act dan Najwa Mahiaddin pula bersaing dengan nama-nama besar seperti Faizal Tahir, Datuk Siti Nurhaliza dan Jaclyn Victor dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik di dalam Lagu (Lelaki dan Wanita).
AIM 20 juga dilihat bakal membawa kelainan apabila memperkenalkan penambahan kategori baru iaitu Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik di dalam Lagu yang akan menyaksikan persaingan antara lagu-lagu popular termasuk Sedetik Lebih dendangan Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah; In Love with You dendangan Noh Salleh dab Aizat Amdan dan Lari dendangan Sleeq dan Hazama.
Menambah nilai prestij kepada anugerah tahunan yang mengiktiraf kerja karyawan muzik itu, AIM yang memasuki edisi ke-20 menjanjikan pengisian segmen persembahan yang berbeza. Tiada artis baharu akan tampil sebaliknya barisan penghibur hanya dibarisi wajah-wajah artis terkemuka.
Bertemakan Black Tie, seramai 13 orang penyanyi terpilih yang diberi penghormatan membuat persembahan malam itu terdiri daripada Siti Nurhaliza, Hafiz, Ning Baizura, Shila Amzah, Spider, Najwa Latif, Aizat, Afgan dan Datuk Rossa.
Acara kemuncak AIM20 memilih Stadium Putra Bukit Jalil pada 14 Disember nanti sebagai malam penutup tirai 2013. Siaran langsung AIM20 juga boleh disaksikan menerusi saluran Astro Ria dan Maya HD pada pukul 9 malam. Menjelang malam pengiktirafan itu juga, Sensasi Bintang menambah debar para peminat muzik dengan ramalan trofi terbaik yang bakal berpihak kepada pemiliknya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: