Sunday, December 8, 2013

Geisha terus berjuang

GEISHA dari kiri Nard, Dhan, Momo dan Aan kini dalam proses menyiapkan album ketiga. Mereka positif dan memberi sokongan padu buat Roby sang gitaris yang ditangkap polis kerana kesalahan menggunakan dadah jenis ganja.


PATAH sayap bertongkat paruh mungkin peribahasa sesuai untuk menerangkan keadaan kumpulan Geisha apabila sang gitaris, Roby 'direhatkan' buat sementara waktu.
Roby sebelum ini ditangkap pihak berkuasa kerana memiliki ganja. Dia yang merupakan gitaris dan komposer Geisha itu ditahan di Rumah Tahanan (Rutan) Salemba, Jakarta sebelum dihadapkan ke mahkamah di Pengadilan Negeri Jakarta Pusat.
Bertemu grup Geisha di Studio Musica, Jakarta dan dibawakan oleh Warner Music Malaysia, mereka menanggapi permasalahan ini dengan positif.
Buat Momo (vokal), Nard (bass), Dhan (keyboard) dan Aan (drum), mereka tetap memberi sokongan terhadap Roby kerana nilai persahabatan sudah lama terbina.
"Kita sudah bersahabat dan melalui susah dan senang bersama. Jadi kita beri sokongan padu kepada Roby. Untuk perjalanan karier grup juga, berjalan lancar. Kita menggunakan pemain tambahan untuk persembahan panggung," jelas Momo.
Malah menurut Momo, perjalanan album baharu juga tidak berdepan masalah kerana mereka kini dalam proses memasukkan vokal. Bahagian gitar Roby sudah lama selesai dan doa mereka agar teman sepasukan itu cepat sembuh dari segala 'penyakit'.
"Kami terkejut ketika diberitahu tentang penangkapannya. Tetapi kami anggap ini pengalaman berharga buat kami. Sebuah pelajaran yang bererti. Semoga sahaja Roby menjadi lebih baik dan sempurna selepas ini. Kami tahu dia kuat dari segi mental dan kami dorong dengan sokongan padu kami," luah Aan yang banyak mendiamkan diri.
Sementara menunggu Roby bebas daripada pertuduhan, Geisha menyelesaikan pementasan panggung mereka dan mengisi waktu untuk pembikinan album ketiga mereka
"Lagu Seharusnya Percaya merupakan single seterusnya kami di Malaysia sementara di Indonesia, lagu Lumpuhkan Ingatanku sedang hebat dipromosikan. Lagu-lagu ini diambil daripada Seleksi Hits yang merupakan sebuah album kompilasi terbaik karya Geisha. Album ini memuatkan 12 lagu, tiga antaranya ialah lagu baharu dan lagu-lagu lainnya diambil dari album-album terdahulu," terang Momo.
Walaupun sudah hampir melancarkan album ketiga namun Geisha tidak menganggap itu satu kedudukan selesa. Kumpulan itu mendakwa masih berusaha keras untuk mengukuhkan nama dan muzik lantaran pengaruh KPop yang kuat manakala penyanyi baharu di Indonesia muncul hampir setiap minggu.
"Setiap pemuzik harus mengutamakan karier dan karya. Jadi kami sentiasa membuat perubahan. Untuk album baharu, kami melebihkan rujukan namun susunan muzik masih berbaur Geisha," ujar Momo.
"Kami memperjuangkan pop, boleh dikatakan itu merupakan sebuah genre yang selamat walaupun (selera pendengar) Indonesia bertukar. Musimnya berubah daripada rock ke Melayu kemudian dangdut dan diikuti KPop. Namun pop masih sedap didengar," senyum Momo manis.
Buat Geisha juga mereka tidak menolak kenyataan lagu-lagu balada mereka dinikmati khalayak. Malah lagu-lagu Cinta dan Benci serta Jika Cinta Dia mendapat tempat istimewa di hati peminat setia mereka.
"Kalau di Indonesia, disebut lagu galau. Patah hati. Ramai yang memberi respons positif untuk lagu-lagu galau kami. Malah mungkin lagu galau juga paling enak dialami dan dinikmati ramai, kan?" tanya mereka ketawa sebelum menutup sesi temu ramah.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: