|
FAKTOR populariti penting dalam memasarkan apa sahaja. Lihat saja golongan artis mempopularkan nama sebahagian jenama atau perniagaan yang mereka wakili, begitu juga pengaruh populariti seseorang dalam menyebar sesebuah ideologi atau fahaman kepada masyarakat.
Mendukung alasan yang sama dalam konteks populariti, elemen itu juga tidak dinafikan perlu dalam usaha untuk berdakwah dan menyebarkan syariat Islam masa kini.
Maka, wujudlah kumpulan Usrah Fitrah yang terdiri daripada golongan penggiat seni, pelakon, penyanyi, wartawan, pereka fesyen dan pemuzik. Mereka bergabung mendalami isian Islam serta terbabit dalam acara amal berbentuk kemasyarakatan.
Dalam aliran yang sama, organisasi Into Taqwa yang dikendalikan oleh Noorfarashikin Othman mengambil pendekatan serupa tetapi lebih memfokuskan bantuan terhadap ibu tunggal serta golongan mualaf dalam menggerakkan inisiatif berbekalkan pengaruh selebriti.
"Pengaruh golongan artis diakui banyak membantu program-program yang dikelolakan oleh Into Taqwa contohnya A Moment With Dewi Sandra pada minggu lalu mendapat sambutan cukup menggalakkan.
"Kemudiannya, Into Taqwa akan meneruskan pula dengan program Into Magnet Wanita yang menyasarkan golongan ibu tunggal dan wanita berkerjaya dalam perkongsian bersama selebriti terkenal antaranya Ras Adiba Radzi yang sebelum ini melalui banyak kepayahan dalam hidup.
"Artis bukan saja mampu menarik peminat mereka untuk bersama-sama dalam program yang dianjurkan malah mampu memperkenalkan aktiviti kemasyarakatan atau keagamaan yang mereka sertai," jelas Noorfarashikin semasa sesi fotografi di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, baru-baru ini.
Tambah wanita yang mesra dipanggil Fara itu lagi, kisah suka dan duka golongan mualaf sebelum memeluk Islam banyak memberikan inspirasi untuk terus berjuang dan menjayakan program anjuran syarikatnya, Into Taqwa.
Pahit menjanda
"Banyak kisah golongan mualaf yang memeluk agama Islam sebelum ini sebenarnya menjadi satu wake-up-call untuk saya terus berjuang. Mereka berkongsi banyak pengalaman menarik malah tidak kurang juga yang meruntun hati.
"Sepanjang tempoh dua tahun menguruskan Into Taqwa, saya banyak belajar mendalami agama Islam dan sering terbabit dalam pengislaman individu bukan Muslim di beberapa buah masjid sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Hijrah itu bukan saja untuk diri sendiri, tapi juga hubungan antara keluarga, anak-anak serta cara berniaga. Saya akui bukan senang untuk bergerak sendirian membangunkan Into Taqwa tapi saya bersyukur kerana mendapat banyak sokongan," getusnya yang kini tegar membesarkan dua cahaya matanya Nazryl, 8, dan Khara, 7, sendirian.
Fara memberitahu, selepas beberapa fasa atau lapisan hidup yang sempat dilaluinya sebelum ini, dia betah terhadap sekeliling dan menjadi lebih kebal.
"Saya tidak memandang organisasi Into Taqwa dari sudut keuntungan berbanding perniagaan lain yang pernah saya usahakan sebelum ini. Inisiatif saya lebih pada ibadah dan tanggungjawab terhadap masyarakat.
"Memang sukar untuk mendapatkan dana dan adakalanya saya sendiri harus berkorban harta tapi saya tidak harus mengalah. Menjadi janda tidak mudah dan atas sebab itu saya mahu memperkasakan mereka dan memberikan sedikit ilmu untuk memajukan diri. Ibu tunggal ini golongan yang terpilih!" katanya.
Sementara itu, Into Magnet Wanita yang akan diadakan di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya pada 15 Disember depan itu nanti akan membabitkan pengisian berguna menerusi tiga segmen yang dikendalikan oleh pakar motivasi dan penceramah terkenal.
Motivasi Magnet Wanita akan dikendalikan oleh pakar motivasi Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim, Amin Idris disusuli dengan Fiqh Syariah dan Wanita oleh Profesor Dr. Sharifah Hayati dan Dr. Izhar Ariff manakala Inspirasi bersama personaliti televisyen Ras Adiba Radzi.
Nilai sentimental
Kata Amin Idris, ibu tunggal dan wanita bekerjaya merupakan kelompok besar masyarakat yang sering dipinggirkan fungsi serta kedudukannya.
"Purata perceraian masyarakat Malaysia sebenarnya lebih satu pasangan dalam sehari dan oleh kerana itu lebih ramai ibu tunggal yang sukar menguruskan kehidupan bersama anak-anak selepas melalui proses tersebut.
"Ibu berkerjaya pula kebiasaannya sukar menguruskan serta membahagikan masa dengan sempurna dan maksimum untuk keluarga dan kerjaya.
"Akibat ketidakseimbangan itu, wujud pelbagai masalah sampingan yang kebanyakannya menjejaskan institusi kekeluargaan terutama anak-anak yang merupakan tonggak masa depan," kata pengacara program Bicara terbitan Hijrah itu.
Segmen Motivasi Magnet Wanita yang bakal dikendalikan Amin sepanjang program Into Magnet Wanita akan memberikan fokus terhadap membina semula semangat dalam kalangan wanita serta membincangkan motif dan aksi dalam kehidupan.
"Sebenarnya program ini mempunyai nilai sentimental bagi saya kerana saya sendiri dibesarkan oleh ibu saya seorang diri dan saya melihat ketabahan ibu saya yang banyak kali diuji dengan pelbagai rintangan. Bukan mudah ibu tunggal untuk menjaga diri dan anak-anak, jadi saya sendiri rasa bahawa program Into Magnet Wanita bakal memberikan banyak input berguna nanti," katanya.
Menyokong usaha yang dilaksanakan menerusi Into Magnet Wanita, kata imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya, Ahmad Rijal Ghazali, langkah sebegitu adalah strategi terbaik membudayakan minat masyarakat moden untuk menjadikan masjid sebagai sebuah pusat pendidikan, penyebaran ilmu dan berdakwah.
"Langkah proaktif Into Taqwa melaksanakan program seumpama ini yang secara tidak langsung mengimarahkan masjid sebagai pusat perkembangan ilmu dan bermusyawarah. Harus diakui wanita merupakan tulang belakang kejayaan sesebuah keluarga dan kecemerlangan masyarakat bergantung pada institusi keluarga yang harmoni.
"Malah, jika diperhatikan saban hari lebih ramai wanita yang menjadi ibu tunggal dalam usia yang sangat muda dan peringkat usia itu sebenarnya sangat rapuh jika dibiarkan tanpa sokongan yang betul," ulasnya.
Into Magnet Wanita anjuran Into Taqwa akan diadakan pada 15 Disember pukul 9.30 pagi hingga 4.30 petang, bayaran yang dikenakan cuma RM80 untuk setiap peserta.
Maklumat lanjut di www.facebook.com/intotaqwa atau hubungi 016-3523374.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: