Friday, December 6, 2013

Resipi kerabu bawa Iskandar ke Afrika Selatan


JURI turun padang bagi menyaksikan bagaimana peserta menyediakan sajian dengan resIpi istimewa masing-masing.


RIAK wajah mereka jelas menunjukkan debaran untuk menyediakan hidangan istimewa menggunakan ketuhar baharu daripada syarikat LG Electronics (LG).
Kelima-lima finalis Pertandingan Chef Amatur Tempatan berdiri cemas di hadapan stesen memasak masing-masing yang telah disusun rapi dengan peralatan asas memasak. Antara yang disediakan termasuklah bahan-bahan masakan, peralatan memasak seperti pisau, sudip, pengisar makanan, dapur gas dan sebagainya selain perkakas utama acara, ketuhar gelombang mikro lampu pemanas arang keluaran LG.
Dengan kiraan satu, dua dan tiga oleh pengacara majlis, peserta terus bergerak lincah menyediakan hidangan berdasarkan ramuan yang telah disediakan. Segala gerak-geri menunjukkan kesungguhan untuk dinobatkan sebagai juara pertandingan, sekali gus melayakkan diri mewakili Malaysia di Kejohanan LG Home Chef di Afrika Selatan pada 4 Disember lalu.
Kejohanan LG Home Chef yang kini memasuki edisi keenam memberi peluang kepada chef-chef amatur di seluruh dunia menunjukkan kemahiran kulinari masing-masing.
Bagi peringkat tempatan, penganjuran Pertandingan Chef Amatur Tempatan bermula pada 16 September sehingga 1 November lalu dan berjaya menarik sebanyak 40 penyertaan dari seluruh negara.
Gunakan ketuhar LG
Namun, hanya lima peserta peringkat akhir dipilih berdasarkan penghantaran resipi-resipi menarik yang boleh disediakan. Syaratnya, mereka perlu menggunakan ketuhar gelombang mikro lampu pemanas arang keluaran LG di laman rasmi syarikat perkakasan elektrik dan elektronik berkenaan.
Menurut Pengarah Urusan LG Electronic (M) Sdn. Bhd. (LG Malaysia), HK Kwon, tahun ini merupakan kali pertama Malaysia menghantar seorang wakil untuk menyertai kejohanan tersebut.
“Selain berentap dengan peserta-peserta lain, wakil negara juga berkesempatan untuk merasai pengalaman melihat budaya dan sajian makanan negara lain di seluruh dunia,” katanya ketika merasmikan pusingan akhir Pertandingan Chef Amatur Tempatan di pasar raya besar Giant Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
SAJIAN ikan panggang dengan sos krim oleh William Sim.


Kwon menambah, pemilihan wakil negara adalah berdasarkan pemarkahan tertinggi yang dikutip sepanjang pertandingan.
“Antara faktor yang diambil kira termasuklah persembahan sajian, resipi, masakan yang mempromosikan gaya hidup sihat, teknik masakan dan kesesuaian penyediaan sajian menggunakan ketuhar gelombang mikro,” jelasnya.
Dengan markah keseluruhan sebanyak 464, seorang penolong pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu, Muhd. Iskandar Ishak telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Chef Amatur Tempatan.
Menurut Muhd. Iskandar, 28, dia tidak sangka sajian dada ayam sumbat kerabu yang direkanya sendiri mampu meraih markah tinggi berbanding peserta lain.
“Hidangan ini adalah cetusan ilham daripada aneka sajian yang saya tonton dalam rancangan masakan di saluran Asian Food Channel.
“Saya mengolah resipi dengan menggabungkan elemen Asia dan Barat. Kerabu menjadi pilihan saya kerana ia merupakan makanan tradisional kaum Melayu di Malaysia,” ujarnya sambil memaklumkan hidangan yang dihasilkan turut mengambil kira khasiat makanan.
Selain hidangan utama yang terdiri daripada pelbagai jenis sayur-sayuran, hidangan yang ditampilkan turut menggunakan daun pegaga, buah tomato dan kobis ungu yang dijadikan sos.
Mengulas lanjut kemenangannya, Muhd. Iskandar memberitahu, dia sangat teruja untuk menjejakkan kaki ke Afrika Selatan dan mewakili negara dalam bidang masakan yang cukup diminatinya.
Gaya masakan
“Sebelum ini saya pernah memasuki dua pertandingan memasak pada tahun 2005 dan 2010, namun ini adalah kemenangan pertama saya. Saya belum pernah ke luar negara walaupun ke negara jiran seperti Indonesia dan Singapura.
“Jadi, melawat negara jauh seperti Afrika Selatan adalah hadiah terbesar yang pernah saya terima dan saya tidak sabar untuk ke sana dan menyaksikan gaya masakan peserta-peserta lain dari seluruh dunia,” katanya.
Hidangan-hidangan lain yang disediakan finalis terdiri daripada ayam percik gulung, ayam masak mangga, ikan panggang dengan sos krim dan ayam panggang percik.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: