Friday, December 6, 2013

Menjadi tetamu pasangan Arab


MELALUI makanan, umat Islam boleh merapatkan hubungan meskipun berlainan agama, budaya mahupun negara. - Gambar hiasan


KEHIDUPAN di Madinah berkisar kepada Universiti Taibah iaitu tempat bekerja dan Masjid Nabawi. Alhamdulillah, hampir setiap bulan kami mengunjungi Mekah menunaikan umrah. Sesekali saya dijemput untuk menyampaikan kuliah di Jeddah, Jubail dan Yanbo' di Arab Saudi.
Secara umum, kami sekeluarga tidak mempunyai ramai kawan dalam kalangan penduduk tempatan. Namun setelah lebih dua tahun bermukim di sini, hampir sepanjang tahun kami menerima tetamu terutama dari Malaysia yang mahu berziarah dan melawat kami sekeluarga ketika mereka menunaikan haji atau umrah. Inilah kawan atau kenalan baharu yang muncul dalam hidup kami sekeluarga.
Penghormatan
Melayani tetamu Allah merupakan satu penghormatan yang tidak dapat kami tolak. Malah, secara terbuka saya mempelawa khalayak pembaca buku dan rakan Facebook untuk berkunjung ke rumah kami berdasarkan beberapa peraturan mudah.
Pertama, kami hanya boleh menerima empat atau lima tetamu pada setiap malam. Kedua, mereka perlu mendengar tazkirah yang ingin saya sampaikan sebelum dijamu makanan yang dimasak oleh isteri. Ketiga, ia bergantung waktu senggang kami sekeluarga. Secara keseluruhannya, kami bergembira menerima tetamu dan ia bukanlah satu perkara membebankan.
Hakikatnya, kami mahu memuliakan tetamu Allah seperti satu hadis riwayat Muslim, 'Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah beliau memuliakan tetamunya.' Kami juga mahu menjadikan rumah sebagai taman syurga dengan mengadakan majlis ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh tetamu.

SAHABAT Muhd. Kamil, Abu Salleh dan isterinya di laman rumah mereka yang dikelilingi bukit batu.


Namun kisah Nabi Ibrahim meraikan tetamunya yang diceritakan Allah SWT melalui terjemahan ayat 24-27 surah Adz-Zariyat mengaitkan kami dengan adab melayani tetamu.
"Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: 'Salam sejahtera kepadamu!', Ibrahim menjawab: 'Salam sejahtera kepada kamu!' (sambil berkata dalam hati): 'Mereka ini orang yang tidak dikenali.'
"Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: 'Silakanlah makan."
Namun prinsip memuliakan tetamu ini telah cuba kami amalkan sejak berada di Malaysia dalam konteks yang berbeza. Kenapa tidak? Ia sebahagian daripada sifat mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Namun kami mahu memuliakan tetamu agar mereka dapat menghampirkan diri kepada Allah.
Misalnya, jika mereka berkunjung ke rumah, bila masuk waktu solat akan saya ajak mereka ke masjid untuk sama-sama solat berjemaah. Itu pun jika mereka tidak dihadiahkan dengan jamak dan qasar. Tidak pula saya terpaksa meninggalkan keutamaan solat berjemaah di masjid kerana melayani tetamu.
Sebaliknya, biarlah tetamu pula dapat merasai apa yang sepatutnya dilakukan oleh seorang Muslim walau di mana saja mereka berada. Anak-anak saudara lelaki atau sesiapa sahaja yang bermalam di rumah akan saya kejut untuk solat Subuh di masjid. Ia tidaklah terlalu sukar untuk dilakukan jika berpaksi kepada prinsip melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah.
Namun minggu lalu kami pula telah dimuliakan sebagai tetamu. Sungguh, kami dimuliakan sebagai tetamu mengikut adat dan budaya Arab.
Abu Salleh dan isteri merupakan pasangan Arab tempatan yang baru kami kenali. Itupun kerana Abu Salleh fasih berbahasa Melayu Indonesia. Beliau menegur kami ketika menunggu penerbangan pulang Jeddah-Madinah.
Ringkasnya, saya mengajak beliau dan isteri bertandang ke rumah untuk menikmati makanan Malaysia. Benarlah, makanan mempercepatkan proses hubungan antara manusia walaupun asalnya berlainan daerah, budaya dan adat resam.

SARAPAN ala Arab yang dinikmati di kaki gunung ini nampak ringkas tetapi amat istimewa.


Mereka terkejut dengan cara orang Malaysia melayani tetamu walaupun baru dikenali. Ketika beredar beliau berulang-kali menyebut: "Aku mahu bawa kamu sekeluarga ke kampung. Rumah ibu aku di gunung. Udaranya dingin. Kita lihat bulan dan bintang."
Benar, beliau bersungguh. Hampir setiap dua hari beliau menghubungi saya supaya bersetuju untuk ke kampungnya. Akhirnya kami tiba di perkampungan Arab bernama Musaygeed lebih kurang 100 kilometer dari Madinah. Di lokasi inilah, Baginda SAW berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan ke Badar bagi menghadapi kaum Musyrikin.
Udara segar
Rumah Abu Salleh terletak di kaki gunung. Penduduknya tidak sampai 1,000 orang. Rumah-rumah ala Arab (rumahnya tidak pernah siap) sudah banyak ditinggalkan. Anak-anak meninggalkan kampung halaman berhijrah ke kota.
Masya-Allah, dua hari di sini kami menikmati udara gunung yang sungguh segar. Kami berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat Subuh. Kemudian beliau memaksa saya, isteri dan anak memanjat bukit batu di sebelah rumah. Sayup pemandangan melihat pemandangan kampung yang mendamaikan.
Benar cerita orang. Tradisi bangsa Arab sememangnya berbangga menerima tetamu. Tambah-tambah lagi tetamu dari luar yang sanggup bertandang ke rumah mereka di kampung. Ia tergambar melalui hidangan makanannya, bahasa tubuh dan tutur kata.
Buktinya, kami hanya bercadang untuk tidur semalam tetapi terpaksa akur dengan kata-kata beliau: "Jika kamu pulang kita putus saudara." Tetamu menjadi saudara.
Hakikatnya, kami sekeluarga damai di sini. Di kaki gunung ini kami membayangi kesukaran perjuangan Baginda SAW yang telah memberi manfaat kepada kita semua.
Bertemu lagi minggu hadapan. Salam hormat dari Madinah.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: