Friday, December 6, 2013

Rana Aswad buah tangan Farah



TREND terkini yang menyaksikan perniagaan dalam talian muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan membuatkan Farah Alwani Johari, 26, tidak mahu ketinggalan untuk turut serta.
Tambahan pula, ilmu yang diperoleh sewaktu mengikuti Diploma Pengurusan dari Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) Ampang ingin dimanfaatkan sebaiknya.
Justeru, gadis muda yang mesra disapa Farah ini mengambil peluang bekerjasama dengan kakaknya, Sinar, 39, dalam mengusahakan jenama Rana Aswad yang menawarkan koleksi jubah moden dan kontemporari berkualiti tinggi sejak tahun 2010.
“Sebenarnya sejak kecil saya sering membantu emak menjual nasi lemak di sekolah. Sebanyak 20 hingga 30 bungkus nasi lemak saya bawa di dalam beg dan kemudian dijual pada kawan-kawan kaum Cina.
“Kemudian, apabila meningkat remaja, saya mula meminati dunia fesyen. Jadi keputusan untuk memulakan perniagaan ini amat bertepatan. Malah, laporan kajian di luar negara yang meramalkan industri fesyen Muslim global akan berkembang pesat dan bernilai melebihi AS$96 bilion (RM308 bilion) turut menjadi pendorong untuk menceburi bidang ini,” cerita Farah ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di Bukit Indah, Ampang baru-baru ini.
Selain itu, sebagai wanita Farah juga memahami keperluan wanita lain dalam aspek penampilan khususnya pemakaian. Faktor kualiti, rekaan, keselesaan serta perincian pasti menjadi keutamaan bagi kebanyakan kaum Hawa.
Maka dengan itu, lahirlah Rana Aswad yang kini telah pun mencecah usia tiga tahun penubuhannya. Memulakan perniagaan dengan modal sebanyak RM10,000, anak jati Kuala Lumpur ini sudah boleh tersenyum dengan kejayaan yang dimiliki sekarang.

Antara koleksi Rana Aswad yang berjaya menambat hati pelanggan.


Terbaharu, Farah dan kakaknya berpeluang menyertai Forum Ekonomi Dunia Islam (WIEF) Ke-9 yang berlangsung di United Kingdom (UK) pada penghujung bulan Oktober lalu.
Buat julung-julung kalinya forum antarabangsa itu dianjurkan di sebuah negara bukan Islam. Lebih mengujakan ialah sifat keterbukaan negara berkenaan yang amat menggalakkan usahawan-usahawan Muslim untuk menjalankan perniagaan di sana sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di UK.
Diterima pengguna
“Forum itu benar-benar membuka mata dan membakar semangat kami. Insya-Allah, kami akan gunakan ia sebaik mungkin untuk mengintai peluang perniagaan dan kolaborasi di peringkat antarabangsa.
“Kami harap Rana Aswad mampu menjadi platform atau hab kepada pelbagai aktiviti lain yang bakal dikelolakan bersama pelanggan termasuk program komuniti untuk masyarakat setempat,” ungkap Farah.
Meskipun masih terlalu hijau dalam bidang ini dan berdepan pelbagai cabaran, sukar untuk menafikan bahawa jenama Rana Aswad semakin meniti di bibir masyarakat terutama pelanggan setia mereka.
“Pada awalnya, memang sukar untuk mendapatkan pelanggan kerana kami tidak dikenali. Malah, cabaran utama ialah dari segi pemasaran.
“Tetapi Alhamdulillah, setiap cabaran dilalui dengan berhati-hati dan dianggap sebagai tiupan semangat untuk mengharungi hari-hari mendatang. Bagi saya, setiap hari banyak perkara baru yang dipelajari dan ia sentiasa mengujakan,” terang Farah sambil memberitahu Rana Aswad mempunyai pelanggan tetap bukan sahaja dari Malaysia bahkan sejauh UK, Australia dan Paris.
Potongan longgar
Menggunakan pelbagai jenis fabrik seperti sifon, likra, kapas lembut dan quilt yang diimport dari Guangzhou, Korea, Vietnam dan Indonesia, rekaan jubah Rana Aswad terkenal dengan kemasan jahitan serta potongan yang menepati cita rasa pelanggan.

Rana Jezraa merupakan salah satu koleksi jubah Rana Aswad yang digemari pelanggan.


Antaranya seperti koleksi Rana Elaiza, Jezraa, Faye, Sophiena dan Dianne yang sering menjadi pilihan pelanggan. Selain itu, kebanyakan jubah tersebut mempunyai potongan yang longgar menjadikan wanita tampil sopan apabila memakainya.
Ditanya tentang rekaan fesyen Muslimah yang semakin banyak di pasaran namun tidak menepati kehendak syariah, Sinar mengakui perkara tersebut agak mengecewakan.
“Apabila bercakap tentang pakaian yang menepati kehendak syariah, ia memerlukan kefahaman dan kepercayaan tentang landasan yang ditetapkan oleh Islam itu sendiri. Penilaian yang bijak harus dilakukan oleh pengusaha pakaian dalam mengetengahkan fesyen Muslimah yang bersesuaian.
“Fitrah wanita sentiasa inginkan sesuatu yang cantik. Apatah lagi, wanita zaman ini kebanyakannya bekerjaya dan memerlukan mereka sentiasa berpenampilan kemas.
“Namun, sebagai seorang Islam, kita harus sentiasa beringat untuk bersederhana dan bersopan dalam pemakaian. Jadi, tugas kami sebagai pengusaha pakaian adalah untuk mencari titik keseimbangan antara nilai komersial terhadap koleksi yang ditawarkan dan landasan yang ditetapkan agar ia tidak keterlaluan dan berlebihan,” terang Sinar mengenai isu tersebut.
Tambah ibu kepada tiga cahaya mata itu, jenama Rana Aswad membekalkan seleksi pakaian yang sopan dengan rekaan jubah-jubah moden yang sesuai dipakai oleh setiap lapisan masyarakat dan ia bukan khusus pada wanita Islam sahaja.
“Jangan diletakkan batasan hanya kerana kami menggayakan ia dengan tudung atau selendang dan dianggap untuk golongan tertentu iaitu wanita Islam semata-mata.
“Tidak, sebaliknya kami turut mengalu-alukan pelanggan bukan Islam yang berminat untuk menggayakan pakaian sopan dalam kehidupan mereka sehari-hari,” tutur Sinar sambil menegaskan pihaknya sentiasa berusaha untuk memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa.
Untuk perancangan jangka panjang, Rana Aswad bakal membuka butik di kawasan yang lebih strategik seperti Shah Alam dan beberapa cawangan lain dalam tempoh lima tahun akan datang.
FARAH (kanan) bersama kakaknya, Sinar berbincang tentang jenis fabrik seperti sifon untuk disesuaikan dengan rekaan jubah.


Sementara itu, pelanggan setia Rana Aswad, Mahidawati Mahraf, 33, mengakui koleksi jubah yang ditawarkan sangat istimewa.
Tambahan pula, sebagai seorang ustazah di Sekolah Kebangsaan Agama Bintulu, Sarawak, Mahidawati lebih gemar menyarung jubah dan tampil sopan di khalayak.
“Saya mula mengenai jenama tersebut kira-kira tiga tahun lalu melalui internet. Sejak itu, saya terus menjadi pelanggan setia mereka. Hingga kini, sudah lebih 40 pasang jubah Rana Aswad termasuk koleksi terawal telah saya miliki.
“Apa yang pasti, rekaan jubah Rana Aswad sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Biasanya, setiap rekaan saya akan beli beberapa warna. Ia sangat berkualiti dan saya selesa apabila memakainya,” tutur Mahidawati ketika di hubungi Kosmo!.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: