Saturday, December 14, 2013

Proton kenalkan Persona SV


LUKMAN (tiga dari kiri) bersama barisan pengurusan atasan DRB-Hicom dan Proton pada majlis pelancaran Persona SV di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.


PENGELUAR kenderaan nasional, Proton Holdings Bhd. melancarkan Proton Persona SV sebagai tambahan pilihan dalam rangkaian Super Value (SV) selepas memperkenalkan model Saga SV.
Proton Persona SV yang dilancarkan oleh Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil itu diadakan serentak dengan pengenalan karnival Proton Bola! Bola! Bola! Mega Test Drive di Stadium Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Hadir bersama ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Lukman Ibrahim dan Ketua Pegawai Operasi Komersial Proton, Hisham Othman.
Persona SV memperoleh tenaga daripada enjin 1.6 liter Campro IAFM dengan dua pilihan transmisi (automatik dan manual). Enjin empat silinder itu mampu menjana kuasa output 110 hp pada 6,500rpm dan tork setinggi 148Nm pada 4,000rpm.
Model sedan itu dipasang rim aloi berukuran 15 inci dan set audio 1-DIN dengan pemain cakera padat. Tambahan lain ialah stereng kuasa, cermin sisi bersama lampu isyarat membelok LED, dua beg udara, prapenegang tali pinggang keledar, sistem brek antikunci, sistem agihan brek elektronik dan brek cakera pada roda belakang.
Mohd. Khamil dalam satu kenyataan berkata, Proton Persona SV memberi nilai untuk wang kepada para pembeli tempatan dengan peningkatan kualiti produk, gaya dan lebih mampu milik.
"Kami menerima sambutan memberangsangkan sejak memperkenalkan model Proton Saga SV dan berharap Persona SV mendapat sokongan sama daripada pasaran tempatan dengan tawaran harga yang cukup menarik," jelasnya.
Model Proton Persona SV yang didatangkan dalam tujuh pilihan warna iaitu putih, tembaga, hitam, perak, merah, hijau dan biru kini dibuka untuk tempahan. Jaminan diberikan ialah selama dua tahun atau jarak perbatuan 50,000 kilometer (mana-mana tiba dulu).
Persona SV MT (transmisi manual) dijual pada harga atas jalan termasuk insurans bermula serendah RM44,938 manakala varian automatik dijual pada tag harga permulaan RM47,938 seunit.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: