Saturday, December 14, 2013

Destinasi istirehat gamit pelancong



BUNYI desiran angin dan lambaian dedaun kelapa di sekitar Kampung Selalang, Sarikei sudah cukup menterjemahkannya sebagai destinasi istirehat yang ideal untuk pelancong.
Terletak kira-kira 40 kilometer dari pusat bandar Sarikei, perasaan tenang dapat dirasai sebaik menjejakkan kaki ke inap desa tersebut.
Sepanjang menginap di Kampung Selalang, setiap pengunjung pasti dapat menghirup udara segar sambil ditemani dengan pelbagai aktviti yang disediakan.
Pemilik inap desa itu, Penghulu Latifah Bujang Abdullah berkata, dengan menyediakan pakej menarik dan harga yang murah, pastinya percutian pelancong di situ pasti meninggalkan nostalgia terindah.
Menurut Latifah, pihaknya menyediakan pelbagai aktiviti kepada pelancong seperti persembahan kebudayaan tradisional selain belajar cara-cara mengutip siput sedut.
“Aktiviti tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian yang diaturkan selain pelancong boleh memilih aktiviti mereka sendiri.
“Kami turut menyediakan persembahan kebudayaan tradisional seperti bergendang (nopeng) dan tarian poco-poco,” jelasnya ketika ditemui.
Menyusuri sungai

PELANCONG disajikan dengan persembahan tradisi masyarakat tempatan.


Latifah menambah, bagi pengunjung yang inginkan cabaran, mereka berpeluang menjelajah dan menyusuri Sungai Selalang untuk melihat lebih dekat pelbagai spesies siput di situ.
Pengunjung juga ujarnya, boleh mencuba kemudahan rekreasi seperti menguji keberanian dengan memancing sambil melayan cabaran gelora ombak.
Beliau memberitahu, pihaknya juga menyajikan makanan masyarakat Melanau seperti umai dan sagu yang sentiasa menggamit selera pengunjung.
“Bagi menjaga tahap perkhidmatan yang berkualiti dan suasana damai yang eksklusif, kami boleh menampung 10 orang tetamu dalam satu-satu masa.
“Pengunjung pasti berpuas hati kerana inap desa Kampung Selalang menyediakan segala yang diperlukan dalam menikmati suasana rehat yang damai dan menyeronokkan,” tambahnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belawai Datuk Len Talif Salleh memberitahu, program inap desa di Rumah Nyuka Itam, Ulu Sarikei menjadi tarikan terbaharu industri pelancongan di Sarikei.
Kata Len Talif, program yang disertai 13 peserta itu merupakan program inap desa pertama di bahagian tersebut.
Menurutnya, setakat ini seramai 1,335 orang pelancong dari seluruh negara telah berkunjung dan menginap di rumah inap desa yang diketuai oleh Kaunselor Ikau Aji.
“Ini termasuklah pelancong yang mengikuti pelayaran menyusuri Batang Rajang menaiki RV Orient Pandaw. Sejak akhir-akhir ini, kita juga menerima kedatangan pelancong yang dibawa oleh ejen-ejen pelancongan,” katanya.

KEINDAHAN semula jadi Sungai Sebangkoi di Taman Rimba Sebangkoi turut menjadi tarikan.


Rumah Nyuka di Lubuk Lemba yang dibina pada tahun 1955 terletak kira-kira 17 kilometer dari simpang Jalan Bayong dan dianggarkan kira-kira 85 kilometer dari bandar Sibu.
Air terjun
Terdapat 45 keluarga dengan 300 orang penghuni dari suku masyarakat Iban mendiami rumah panjang ini.
Len Talif menambah, peserta inap desa di situ cukup bertuah kerana dipilih oleh Kementerian Pelancongan Malaysia untuk menghadiri latihan sebelum didaftarkan secara rasmi sebagai pengendali Program Homestay di Sarikei.

RUMAH Inap Desa di Kampung Selalang sedia memberikan perkhidmatan kepada tetamu.


“Selain struktur rumah panjang tradisional mereka dan budaya tradisional Iban, pengunjung ke rumah panjang ini juga berpeluang melawat air terjun yang terkenal iaitu air terjun Sungai Pau dan Sungai Munsoh.
“Kedua-dua air terjun ini terletak tidak jauh dari rumah penjang dan boleh dikunjungi hanya dengan berjalan kaki.
“Pengunjung juga berpeluang memasak makanan mereka sendiri seperti ayam masak dalam buluh (manuk pansuh), liar pakis, rebung dan banyak makanan hutan,” ujarnya.
Sarikei bermula dari sebuah kampung kecil masyarakat Selalang yang merupakan penduduk asal. Dengan jumlah penduduk kira-kira 130,000 orang ketika ini, masyarakat Sarikei terdiri daripada suku kaum Iban, Melanau, Melayu dan Cina.
Katanya, terdapat empat daerah kecil yang meliputi Bahagian Sarikei iaitu Meradong, Julau, Pakan selain Sarikei yang berada di bawah pentadbiran seorang Residen.

RUANG tidur yang selesa di Rumah Inap Desa.


Berubah wajah
Dalam tempoh tiga dekad lalu, deretan rumah kampung beratap usang menjadi pemandangan, namun kini Sarikei telah berubah wajah hasil pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Kini, Sarikei dipenuhi ratusan buah kedai konkrit dan mempunyai jaringan pengangkutan yang baik dan sistem perparitan teratur,” jelasnya.
Kedudukannya yang strategik di laluan Batang Rajang menjadikan Sarikei mudah dihubungi dengan pengangkutan air ke kawasan-kawasan berhampiran seperti Tanjung Manis, Belawai, Daro, Matu dan Paloh.
Daerah ini juga merupakan daerah kedua terbesar dalam Sarikei dengan keluasan 985 km persegi dan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi iaitu 58,021 orang.
Kaum Cina dan Iban merupakan kaum majoriti di Sarikei yang kebanyakannya mengusahakan tanaman seperti lada hitam, limau dan sayur-sayuran. Selain dipasarkan di daerah ini, produk tersebut juga dijual di Sibu, Bintulu dan Miri.
Sarikei juga antara pengeluar utama lada hitam di Sarawak. Tahun lalu, daerah ini telah mengeluarkan sejumlah 2,640 tan metrik lada hitam dari kawasan seluas kira-kira 686 hektar.
Pembangunan pertanian lain seperti buah limau juga giat dilaksanakan di sini.
Tiga buah mini estet kelapa sawit turut dibangunkan di Sarikei iaitu di Kerapa sekitar 200 hektar, Ulu Pauh; 250 hektar dan Kerubong; 280 hektar yang dibangunkan oleh Jabatan Pertanian.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: