![]() |
APABILA ditanya mengenai kenderaan super mewah Itali, dua jenama pasti muncul dalam fikiran. Ferrari dan Lamborghini. Bukan suatu perkara aneh kerana produk itu pantas ditangkap mata tatkala menjalar di jalan raya. Kelibat jentera eksotik itu mudah dikenali gara-gara deruman ekzos dan persembahan warna badan kenderaan yang terang.
Malah lebuh raya Malaysia pada setiap hujung minggu pasti menjadi lokasi laluan kereta-kereta berkenaan dari Selatan menuju Utara atau sebaliknya.
Ada yang mendakwa, itu antara profail sebilangan besar pemilik jentera lambang kuda dan lembu jantan. Seolah-olah mereka mahu menarik perhatian para pemandu lain dan memberitahu mengenai kewujudan jentera berkuasa tinggi itu.
Profail itu nyata berbeza jika dibandingkan dengan satu lagi jenama dari Itali. Pemiliknya kurang gemar meraih perhatian dan lebih suka bergerak secara solo. Itulah Maserati. Jenama lambang trisula itu bukannya baharu di Malaysia. Edaran secara rasmi sudah bermula pada 2009 oleh Naza Italia Sdn. Bhd. (Naza Italia).
Naza Italia ialah pengedar rasmi jenama Ferrari dan Maserati di Malaysia. Sebenarnya, Ferrari dan Maserati memiliki hubung kait rapat di Itali. Maka tidak hairanlah Kumpulan Naza menempatkan dua produk sekelas itu di bawah Naza Italia.
Ferrari pernah memiliki Maserati pada tahun 1997 dan kini, dua-dua entiti itu ialah syarikat adik-beradik di bawah payung Fiat S.p.A. Ada juga beberapa laporan mengatakan Ferrari membekalkan enjin bagi kegunaan Maserati.
Portfolio produk Maserati di Malaysia baru-baru ini diluaskan dengan ketibaan dua varian baharu iaitu Quattroporte S dan Quattroporte GTS. Jika sebelum ini, produk yang dijual lebih tertumpu kepada segmen sport touring.

RUANG kelegaan kaki penumpang belakang telah ditingkatkan untuk keselesaan para penumpang.
Quattroporte bermaksud empat pintu dalam bahasa Itali. Itu tidak bermakna warisan DNA perlumbaan Maserati digugurkan sepenuhnya dalam produk sedan tetapi diberi sentuhan baharu iaitu kemewahan.
Model yang tampil menemui peminat tempatan ialah generasi keenam dan pernah dipertontonkan sewaktu Pameran Motor Antarabangsa Amerika Utara awal Januari lalu sebelum menembusi beberapa pasaran di peringkat global.
Ketua Bahagian Rekaan Maserati, Lorenzo Ramaciotti berkata, Quattroporte mendokong inspirasi reka bentuk prinsipal asal termasuk bentuk menawan, garis badan dinamik dan seni bina Itali.
Katanya, saiz kereta kali ini lebih besar berbanding model terdahulu pada masa sama mengimbangi elemen sport dan mewah. Beberapa ciri utama daripada generasi sebelumnya telah dikekalkan. Antaranya, gril radiator, tiga buah ruang kemasukan udara serta bentuk segi tiga pada tiang C.
Wajah hadapan didominasi oleh hud panjang dan gril lebar yang menempatkan enjin berkuasa tinggi. Garis tubuh pada bahagian hud dan sisi kenderaan menonjolkan imej maskulin. Perumah set lampu utama jenis Bi-xenon dengan padanan lampu DRL LED dipanjangkan ke bahagian sisi hadapan.
Imej belakang mengetengahkan paparan lebar yang disokong dengan beberapa garis tubuh secara melintang. Penyeri utama adalah set lampu belakang jenis LED berbentuk memanjang. Ia tampak kemas dan menawan.
Aspek keseimbangan berat jentera berjaya dikekalkan pada nisbah 50:50 hasil kepintaran pasukan jurutera Maserati yang memberi pengenaan set suspensi bersesuaian selain mengubah kedudukan tangki minyak. Perkara itu juga membantu meningkatkan kapasiti ruang simpanan sehingga 530 liter jika menurunkan kerusi barisan belakang.
Buka pintu kereta Quattroporte, ruang kabin memaparkan kombinasi binaan eksklusif dan sport ekoran penggunaan beberapa jenis material seperti alcantara, kulit berkualiti tinggi dan lapisan kayu khususnya pada bahagian papan pemuka.
Lebih selesa
Untuk aspek keselesaan, ruang kelegaan sudah ditingkatkan sebanyak 117 milimeter berbanding model sebelumnya. Konfigurasi tempat duduk pula melibatkan empat atau lima kerusi bergantung pada varian Quattroporte.
Bahagian konsol yang juga melibatkan pengenaan material kayu menjadi rumah kepada sebuah skrin sesentuh multimedia yang dikenali sebagai Maserati Touch Control. Skrin itu menawarkan beberapa ciri kemudahan termasuk sistem navigasi, paparan kamera undur, radio, pemain cakera padat dan video digital, sambungan bluetooth dan USB AUX.

ENJIN Maserati Quattroporte dengan padanan transmisi lapan kelajuan membantu menyempurkan saluran kuasa output dan tork yang diperlukan para pemilik jentera itu.
Sedan mewah Quattroporte S didatangkan dengan enjin V6 bersesaran 3.0 liter yang berupaya menjana kuasa sebanyak 410hp pada 5,500rpm. Tork tertinggi boleh dikecapi ialah 550Nm pada paras 1,750 hingga 5,000rpm. Kelajuan maksimum direkodkan adalah 285 kilometer sejam (km/j).
Berbekalkan enjin V8 3.8 liter, Maserati Quattroporte GTS pula mampu meledakkan kuasa maksimum 530hp pada 6,500rpm dan tork setinggi 650Nm antara 2,000 hingga 4,000rpm. Kelajuan maksimumnya ialah 307km/j. Varian itu ialah kereta Quattroporte paling pantas pernah dicipta oleh Maserati.
Siri Quattroporte menggunakan sistem transmisi automatik lapan kelajuan yang dihubungkan pada sistem pacuan roda belakang. Kotak gear itu menawarkan penukaran gear lebih pantas sekali gus membantu penjimatan bahan api sehingga enam peratus (berbanding model sebelum ini). Mod pemanduan ditawarkan melibatkan automatik, automatik Sport, manual, manual Sport dan ICE (Increased Control and Efficiency).
Harga pengenalan Maserati Quattroporte GTS bermula serendah RM1,138,800 manakala Quattroporte S ditawarkan sebanyak RM898,800 seunit. Itu belum termasuk harga insurans dan cukai jalan.
Aktiviti mengembangkan portfolio perniagaan Naza Italia tidak terhenti di situ. Dengar khabar, awal tahun hadapan entiti perniagaan itu akan memperkenalkan model Gibli dan Maserati Grand Turismo. Sama-sama kita nantikannya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: