Friday, December 6, 2013

Os tak puas hati dengan juri


KUMPULAN Kuchai yang tersingkir pada minggu lalu berpendapat, mereka menjadi mangsa keadaan kerana kurang mendapat sambutan peminat.


RANCANGAN realiti komedi popular, Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM 2013) sudah memasuki minggu ketiga pertandingan dan persaingan kian rancak antara 14 kumpulan untuk merebut gelaran juara.
Berlangsung penuh megah di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jumaat lalu memberi pelbagai emosi kepada penonton tatkala kebanyakan peserta memberi persembahan yang cukup padu sesuai dengan tema mingguan yang berkonsepkan cinta.
Tirai lawak dibuka dengan persembahan kumpulan Zero yang dianggotai oleh tiga beradik dari Sabah, Sharif Kadil Doli Sharif (Atu), Mohd. Syaiful dan Sharif Kunal.
Walaupun hanya jangka waktu yang singkat untuk membuat persembahan, lawak mereka dapat dirasai oleh juri sehingga diberi pujian yang menggalakkan oleh Datuk Yusuf Haslam.
Pentas komedi itu diteruskan dengan lawak jenaka berkonsepkan Bollywood hasil garapan SYJ, kumpulan yang terdiri daripada Shuk, Jihan Musa dan Yassin, sekali gus membuatkan juri tetap, Nora Danish memberi komen positif terhadap persembahan mereka.
Disusuli dengan persembahan mendatar daripada kumpulan Boboi yang menggunakan konsep yang sudah 'basi' walaupun pengkritik tetap dari Singapura, Sheikh Haikal memberi komen ala kadar dengan menyatakan idea yang cuba ditonjolkan agak menarik.
Kumpulan meningkat naik, Wala dan Comey terus menggamatkan pentas itu dengan persembahan unik masing-masing.
Wala yang dianggotai oleh Wan dan Lopz menggunakan konsep segar dalam menyampaikan jenaka sesuai dengan tema cinta manakala Comey yang dianggotai oleh Ropie dan Suhaimi Yusuf turut menonjol dan mendapat komen yang positif daripada pengkritik tetap.
Walaupun mendapat sorakan penonton, kumpulan 'pilihan' MLM 2013, Sepahtu tampil mengecewakan pada minggu ini kerana mesej bersahaja yang dilakukan mengundang rasa bosan manakala persembahan kumpulan Bocey dan Shiro berjaya mencuri perhatian juri dan penonton di dewan MBSA pada malam itu.
Persembahan yang rancak bertukar hambar apabila jenaka yang cuba ditawarkan oleh kumpulan Kucai, Mamu dan Osama gagal dibeli oleh juri tetap dan penonton hanya mampu memberikan sorakan 'kasihan' kepada mereka kerana mutu yang dipersembahkan oleh mereka tidak mencapai standard gelanggang MLM.
Malam itu diteruskan dengan persembahan ceria oleh kumpulan sensasi, Jambu dan kumpulan yang diterbangkan khas dari seberang, Saywho.

JURI terdiri daripada Datuk Yusof Haslam, Nora Danish dan Sheikh Haikal.


Kedua-dua kumpulan tersebut tampil hangat dan berjaya mengundang gelak tawa yang ikhlas daripada penonton, sekali gus mendapat pujian pengkritik tetap.
Figura yang sangat dinantikan pada malam itu, Nabil mengakhiri MLM 2013 untuk minggu ketiga dengan memberi dimensi berbeza terhadap tema cinta secara tidak langsung mengulangi sorakan padu yang diterima pelawak serba boleh asal Negeri Sembilan pada minggu lalu.
Seperti yang dijangka, kumpulan Kucai, Mamu dan Osama terpaksa menduduki tempat tiga terbawah sebelum pengacara MLM 2013, Datuk AC Mizal mengumumkan kumpulan Osama yang dianggotai oleh Mr. Os dan Isma Alif serta Mamat, Munir dan Arin yang menjadi ahli untuk kumpulan Kucai terpaksa disingkirkan.
Merasakan pasukan mereka menjadi mangsa keadaan, Kucai yang diwakili bekas anggota kumpulan Sepah, Mamat tegas menyatakan, lawak yang ditampilkan oleh mereka sudah cukup bagus.
"Kami sudah melakukan sehabis baik, bagaimanapun peminat tetap tidak memberikan sokongan tidak seperti kumpulan lain yang memberi persembahan menyimpang daripada tema cinta mendapat pujian juri," ujar Mamat yang reda ketika ditemui selepas persembahan berakhir.
Menurut Munir, adat pertandingan ada menang dan ada kalah, yang penting Kucai sudah berusaha yang terbaik dan mereka terima segala keputusan.
Kumpulan Osama yang terdiri daripada pelawak senior, menyifatkan kegagalan mereka sudah dijangka dan mengakui tidak meletakkan harapan yang tinggi dalam MLM kali ini.
Pelawak terkenal era 80-an, Mr. Os menyatakan, cita rasa penonton kini jelas berbeza daripada dulu.
"Saya kurang berpuas hati dengan ulasan yang diberikan oleh juri kerana saya mengharapkan komen yang jujur daripada mereka terhadap semua kumpulan.
"Sebagai orang seni yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini, saya tetap berbangga kerana masih boleh bersaing dengan pelawak-pelawak muda di pentas MLM 2013," ujar Os lagi yang menegaskan akan tetap bergandingan dengan Isma Alif untuk persembahan mendatang.
Secara keseluruhannya, pengkritik tetap, Yusuf Haslam menyifatkan ada penurunan dari segi kualiti yang cuba di- tonjolkan oleh para peserta pada minggu ini.
"Saya mengakui populariti sesebuah pasukan dan individu yang menjadi aras kepada sorakan dan undian penonton tetapi perkara ini tidak pernah mempengaruhi juri untuk menilai persembahan jenaka mereka.
"Walaubagaimanapun, saya menyukai persembahan Wala yang dilihat meningkat naik dari minggu ke minggu dan saya sendiri terkena dengan 'mainan' mereka," kata pengarah tersohor negara itu lagi.
MLM 2013 bersiaran setiap hari Jumaat, pukul 10 malam bermula 15 November lalu di Astro Warna dan Mustika HD juga boleh disaksikan menerusi Astro-on-the-go.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: