|
ENAM tahun menyepi daripada industri hiburan tempatan, nama Cico Harahap masih belum terpinggir sepenuhnya.
Jika ditaip namanya di alam maya, pasti pelbagai cerita negatif muncul mengaitkan nama anak tunggal kepada penyanyi terkenal Uji Rashid itu.
Cico atau nama sebenarnya Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin, 36, tidak pantas melatah, malah cuba sebaiknya menjawab dakwaan yang dilemparkan terhadapnya termasuk kononnya berparti liar di sebuah bar di Pulau Perhen- tian, Terengganu.
Ikuti temu bual bersama Cico yang ditemui di set penggambaran drama bersiri Jiwa di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kosmo!: Menerusi beberapa keping gambar Cico yang tersebar di internet, adakah benar tuduhan menyatakan Cico sering berparti liar?
CICO HARAHAP: Saya bekerja sebagai jurulatih skuba di Pulau Perhentian dan pada waktu malam pula mengutip tin di beberapa buah bar di sepanjang pantai.
Jadi, dalam pada saya tengah kutip tin, kebetulan ada pula peminat yang mahu bergambar bersama saya.
Saya penuhi permintaan mereka tapi tidak disangka pula gambar itu yang tersebar dan keluarlah cerita yang negatif mengenai diri saya. Saya reda saja.
Adakah Cico tertekan apabila cerita sebegini tersebar dan sekali gus menjejaskan nama anda?
Saya tidak tertekan pun sebab suatu ketika dulu ibu saya pernah melalui pelbagai cabaran yang lebih dahsyat dan berpuluh-puluh kali ganda lebih teruk berbanding saya tapi dia masih berdiri sebagai Uji Rashid. Saya tidak marah ataupun sedih dan Alhamdulillah saya masih diberikan tawaran berlakon hingga hari ini.
Cico lebih dikenali dengan imej dan cerita negatif, bagaimanakah anda mengatasi situasi itu?
Saya pernah muda dan macam-macam cerita negatif keluar mengenai diri saya selama bertahun-tahun. Namun, itu yang menyebabkan saya bertambah kuat dan saya tidak pernah rasa mahu berhenti berlakon. Cerita negatif tidak membawa saya kemana-mana, lebih baik fokus kepada kerjaya.
Bercakap mengenai dunia lakonan, setelah sekian lama menghilangkan diri kenapa sekarang baru kembali?
Kebetulan sekarang musim tengkujuh, maka semua aktiviti berkaitan laut diberhentikan seketika. Pada masa yang sama, Kabir Bhatia menawarkan kepada saya untuk berlakon dalam drama Jiwa bersama pelakon-pelakon hebat seperti Kamal Adli, Remy Ishak dan Faizal Hussein. Syukur Alhamdulillah. Lagipun sekarang sudah ramai pelakon, berilah mereka peluang.
Sudi kongsikan peranan Cico dalam drama Jiwa ini?
Saya menjadi sahabat baik kepada Iskan- dar (lakonan Remy Ishak) bernama Zul yang akhirnya berubah karakter pada saat- saat akhir. Saya terima tawaran ini kerana wataknya berwarna-warni dan ini sejujur- nya comeback saya dalam dunia seni.
Beralih pada perkembangan peribadi Cico, khabarnya anda kini sudah tidak lagi bersama isteri anda (Nur Fuziani Abdullah atau Elle). Benarkah?
Ya, kami sudah tiga tahun bercerai. Sebelum ini saya lebih senang untuk tidak menghebahkan mengenai perkara ini kepada orang ramai. Saya merupakan bapa tunggal kepada seorang anak perempuan, Rindu Nur Fitrah.
Mungkinkah selepas tiga tahun bercerai, Cico akan kembali mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat?
Saya belum terfikir lagi buat masa sekarang. Saya memang ada berkenalan dengan seorang wanita tapi tidak pasti dia adalah calon yang sesuai untuk dijadikan isteri dan ibu kepada anak saya.
Apa-apa pun, saya selesa dengan kehidupan saya bersama anak saya sekarang dan dia pun sering menemani saya ke set penggambaran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: