Friday, December 6, 2013

Pengarah, jangan semborono

HERO dan heroin Playboy Itu Suami Aku, Resteena dan Fattah memerlukan lebih banyak pendedahan untuk menjadi pelakon pelapis baharu.


BENAR, karya atau sesebuah naskhah itu merupakan suatu seni. Dan seni, sifatnya tidak mempunyai kalkulatif yang spesifik untuk diterjemahkan sebagai elok atau tidak elok. Ia bergantung banyak kepada selera, pemahaman seseorang dan subjektif.
Namun, jangan ambil kesempatan terhadap seni yang dinilai sebagai sukar untuk dikira, maka lahirlah banyak karya atau naskhah yang hampir tidak boleh diterima akal dibikin pada abad ini.
Masakan tidak, pada zaman teknologi serba canggih, merakam visual juga sudah tidak perlu menggunakan kamera berformat besar tetapi boleh dirakam hanya dengan kamera DSLR serta lambakan contoh syot atau pembikinan sesebuah karya yang boleh diambil guna, masih juga terdapat produksi yang tidak menaik taraf standard pembikinan karya mereka.
Seharusnya pada zaman serba moden, dengan banyak khalayak yang tidak mempunyai pendidi- kan formal mampu menghasilkan sebuah karya yang elok, sepatutnya pemegang status pengarah yang berada pada carta tertinggi dalam organisasi orang belakang tabir perlu lebih hebat daripada penghasil amatur.
Saya bukan graduan filem atau punya kelulusan tentang kerja balik tabir. Bagaimanapun, saya meletakkan diri saya sebagai seorang penonton yang mahu menonton sebuah karya yang sekurang- kurangnya tidak dibikin dengan semborono.
Sebagai salah seorang penonton televisyen, saya mahu bercakap tentang kebanjiran drama di tele- visyen yang disadur melalui naskhah atau novel yang laris di pasaran.
Dewasa ini, menyadur atau adaptasi menjadi satu trend di mana-mana negara sekali pun. Budaya itu juga jelas dilihat di negara kita dan setiap televisyen mempunyai drama saduran tersendiri yang mencapai rating cukup tinggi.
Menyadur semula tidak salah. Membikin karya yang divisualkan juga tidak salah. Bagaimanapun, yang menjadi sedikit mengganggu jiwa ialah bagaimana sesebuah naskhah itu diterjemah dalam visual yang kualitinya rendah.
ISI cerita Setia Hujung Nyawa yang mengangkat kisah kahwin paksa dan kemudian jatuh cinta membuat banyak orang muda dibuai rasa seronok menonton adaptasi novel ini.


Rendah dari segi syot. Rendah dari segi penataan cahaya. Rendah dari segi konti. Rendah dari segi pelakon. Rendah dari segi props dan rendah dari segi terlalu berusaha membikin drama di dalam drama yang dihasilkan.
Minta maaf tapi drama saduran terkini yang saya tahu memang hangat dan dinanti setiap hari, Playboy Itu Suami Aku adalah contoh rendahnya kualiti sebuah karya yang mempunyai jutaan penonton setiap hari.
Saya tidak merendahkan kemampuan pengarah tetapi yang cuba saya katakan di sini ialah jangan bersikap semborono dengan mengarah sebuah saduran yang laris di pasaran sebagai sebuah novel dengan beragam imaginasi pembaca dan kemudian diterjemahkan dalam sebuah naskhah yang kualitinya mengecewakan.
Ia agak menyedihkan buat penikmat karya tegar, malah agak membahayakan penggiat filem yang baru mula berkecimpung untuk terbabit dalam arena ini.
Syot-syot di dalam drama ini cukup lemah. Lakonan hero dan heroinnya juga keras seperti kayu. Ya, mereka orang baharu, harus diberi peluang, namun seharusnya seseorang yang mahu berada di hadapan kamera perlu mempersiapkan diri sebaik mungkin kerana mereka akan dinilai oleh khalayak. Tidak cukup itu, solekan dan penggunaan rambut palsu, terlalu bersifat sinetron.
Satu lagi yang ingin saya sentuh tentang isi naskhah yang disampaikan. Ia menjadi semakin klise apabila kisah kahwin paksa atau berkahwin dengan orang yang kita benci dan kemudian jatuh cinta ditayangkan berturut-turut atau terlalu hampir.
Contohnya drama Setia Hujung Nyawa, I Love You Mr. Arragont dan terkini Playboy Itu Suami Aku. Adakah hanya naskhah cinta sebegini yang layak disadur dan ditayangkan kepada khalayak?
Jika memang hanya ini sahaja pilihan yang ada, adunlah dengan cantik dan rasa klise itu tidak terlalu memualkan kerana saya percaya semua orang seni itu kreatif.
Jangan jatuhkan martabat pembikin karya atau drama sedia ada yang dibikin teliti dengan bajet yang rendah. Jangan sama tarafkan karya kita dengan sinetron Indonesia yang selalu dipersenda kerana terlalu drama.
Bertanggungjawablah dengan karya anda kerana selain mencerminkan kredibiliti anda, ia juga menjadi cermin industri pada masa akan datang.
Buat stesen televisyen pula, jangan terlalu ghairah mengejar rating sehingga melupakan tentang kualiti. Ya, barangkali jika beranggapan karya hanya satu bentuk hiburan, fikirlah juga bahawa kita tidak mahu sebuah hiburan hingusan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: