PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) menutup kempen pemasaran 2013 dengan melancarkan varian Myvi edisi khas untuk kaum Hawa.
Dikenali sebagai Perodua Myvi 1.5 FEM (Female Empowerment Movement), pengeluar kereta kompak itu hanya menawarkan 60 unit sehingga Februari 2014. Hanya satu pilihan warna ditawarkan iaitu putih.
Kereta itu sebenarnya merupakan varian Myvi 1.5 SE, bagaimanapun ia sudah melepasi beberapa fasa perubahan kosmetik khususnya pada bahagian dalaman. Bahagian luaran hanya melibatkan pemasangan pelekat bertemakan flora di hud hadapan, but belakang dan bahagian sisi kenderaan.
Tempat duduk varian Myvi 1.5 FEM itu disaluti material kulit bersama logo FEM dengan sulaman benang merah untuk menyerikan ruangan kabin. Stereng kereta juga menggunakan material kulit tona merah hitam.
Tona warna sama juga diberikan pada bahagian papan pemuka khususnya kawasan konsol tengah yang menempatkan unit multimedia, sistem navigasi dan skrin paparan kamera ketika mengundur jentera.
Tambahan lain ialah filem pelindung keselamatan dan solar, karpet khas dengan logo FEM serta sebuah bekas pelbagai guna eksklusif. Kos bagi semua barangan itu bernilai RM4,000.
Bagaimanapun, kos itu tidak dicaj pada pembeli. Perodua masih mengekalkan harga asal atas jalan kereta itu sebanyak RM56,027 termasuk insurans.
Untuk mendapatkan model edisi khas itu, anda perlu sekurang-kurangnya berumur 18 tahun dan pernah memiliki sebuah kereta Perodua. Jangan bimbang, ada syarat kedua. Jika pernah memandu mana-mana kereta Perodua, anda juga layak membelinya.
Syarat seterusnya yang perlu dipatuhi ialah pembeli perlu mendaftar diri di laman web www.peroduafem.com.my. Apabila mendaftar, anda akan menerima hadiah misteri hari lahir, boleh menyertai bengkel khas diadakan serta dijemput untuk menghadiri pelancaran model baharu Perodua pada masa hadapan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: