|
BAK kata pepatah, kecil-kecil cili padi. Kelibat sekumpulan remaja di Taman Sukan Lasak Shah Alam, Seksyen 13, Shah Alam yang memaparkan keyakinan ketika beraksi dengan papan selaju masing-masing jelas menunjukkan minat mereka terhadap sukan ekstrem itu.
Berusia antara 10 hingga 14 tahun, wajah remaja mereka berubah serius apabila sibuk mencongak setiap strategi dalam mengemudi papan yang deras membelah angin itu.
Walaupun mengakui perasaan gementar ada kalanya menghantui fikiran mereka, namun bagi kumpulan itu, kepuasan ketika meluncur adalah satu perasaan yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Bagi mereka, ia umpama bebas bagai burung yang terbang.
Musim cuti sekolah membuka ruang bagi remaja-remaja ini mengasah kemahiran mereka, di samping berpeluang meluangkan masa bersama rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama.
Bagi Shahreza Hamizan Hasnol Azhar, 12, gelanggang papan selaju di taman rekreasi berkenaan digunakan sepenuhnya untuk melepaskan gian selepas sibuk membuat persiapan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.
“Kalau ikutkan hati saya, rasa seperti mahu tidur di sini sahaja. Keseronokan meluncur dan melompat di gelanggang-gelanggang berbeza membolehkan saya menghilangkan tekanan sebelum ini. Apabila pulang nanti, saya pasti tersenyum dan boleh mendengar arahan ibu bapa dengan lebih baik,” selorohnya.
Sejak mula aktif dalam sukan berkenaan bulan lalu, Shahreza Hamizan berkata, keberanian adalah kunci utama untuk terlibat dalam sukan itu.
“Ketika meluncur saya tidak menghiraukan persekitaran atau sesiapa sahaja di sisi. Pada saat di atas papan selaju, fikiran saya tertumpu sepenuhnya terhadap pengawalan papan tersebut.
“Ramai dalam kalangan rakan-rakan saya masih baru dalam sukan ini dan kami sentiasa berpegang kepada pesanan peluncur senior yang mengingatkan kami untuk tidak teragak-agak ketika beraksi dan membuat keputusan dengan pantas.
“Oleh sebab itu, ramai yang berani melakukan aksi-aksi yang mengujakan,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Gerakan Ollie
Ketika asyik menyaksikan gelagat kumpulan remaja berkenaan, semua mata kemudian tertumpu kepada seorang remaja yang tergelincir daripada papan selajunya.
Mujur tiada kecederaan serius menimpa Wan Nor Syazanee Wan Hanafi, yang bingkas bangun dan menyambung aksinya.
Bagi remaja yang berusia 14 tahun itu, jatuh adalah perkara biasa dalam proses mengawal papan selaju dan ketika mempelajarigerakan-gerakan baharu.
Baru setahun menceburi sukan itu, katanya, gerakan asas yang perlu dikuasai ialah gerakan Ollie.
Ujarnya, gerakan tersebut ialah apabila peluncur dan papan selajunya melompat ke udara tanpa menggunakan tangan.
“Dalam sukan lasak ini terdapat lebih 1,000 gerakan yang sering dilakukan peluncur profesional. Orang baru seperti saya perlu menguasai gerakan Ollie sebelum mempelajari gerakan-gerakan lain yang lebih mencabar.
“Satu perkara yang menarik dalam sukan lasak ini adalah hubungan akrab antara peluncur senior dan junior. Mereka yang lebih berpengalaman akan mengajar kami sehingga berjaya,” tuturnya.
Menurut Wan Nor Syazanee, pelbagai tanjakan dan halangan yang disediakan di taman sukan itu seperti fun box, curve dan spine yang bersesuaian dengan kemahiran peluncur turut menambahkan minatnya terhadap sukan tersebut.
|
Kumpul duit
Bagai medan mengasah bakat, dapat dilihat setiap peluncur laju memacu papan luncur dengan pelbagai gaya tersendiri.
Namun dari jauh, kelihatan seorang remaja yang leka menyaksikan rakan-rakannya yang lain beraksi.
Sesekali wajahnya berkerut menimbulkan seribu tanda-tanya sama ada dia tidak berpuas hati atau teruja dengan kemahiran yang ditunjukkan peluncur-peluncur lain.
Apabila diberi peluang oleh rakannya untuk beraksi di gelanggang, ternyata gerakan Muhd. Fudail Mazlin, 12, tidak kurang hebatnya.
Mula jatuh cinta dengan sukan itu sejak sebulan lalu, Muhd. Fudail mengakui dia dalam proses untuk membeli peralatan sukan papan selaju dengan mengumpul duit perbelanjaan sekolah yang diberi ibu bapanya.
“Saya dalam proses untuk membeli peralatan sukan ini kerana ia memang mahal. Buat masa ini, cukuplah sekadar melepaskan minat dengan meminjam papan selaju rakan-rakan,” katanya.
Bercerita mengenai harga, Muhd. Fudail berkata, berdasarkan tinjauannya, harga papan selaju sahaja adalah sekitar RM200 sebuah bagi jenama tempatan, manakala alatan lain seperti roda, pita antigerak papan luncur dan skru harus dibeli berasingan.
Namun demikian, Muhd. Fudail bernasib baik kerana ibu bapanya sudi membantu dalam mencapai matlamatnya itu.
“Saya hanya mengumpul duit perbelanjaan sekolah sebanyak RM4 sehari. Bagaimanapun saya bersyukur ibu berjanji untuk menampung kos selebihnya.
“Mereka menyokong minat saya apabila berpendapat bahawa adalah lebih baik saya berada di sini daripada melakukan aktiviti-aktiviti tidak berfaedah. Selain itu, ia juga satu bentuk aktiviti yang menyihatkan,” jelasnya.
Latihan
Apabila ditanya, kebanyakan penggemar sukan itu menghabiskan masa berjam-jam di taman sukan lasak itu. Malah, ada yang mencecah lapan jam.
Ilham Fahmi, 13, yang menetap di Sungai Buloh berkata, ibu bapanya faham bahawa musim cuti sekolah adalah waktu untuknya bermain papan selaju.
“Bukan tidak mahu meluangkan masa bersama keluarga atau membelakangi mereka, tetapi cuti adalah waktu senggang kami. Rata-rata remaja dan kanak-kanak yang hadir di sini mendapat kebenaran daripada ibu bapa mereka terlebih dahulu.
“Saya menghabiskan banyak masa di sini untuk berlatih dalam mengawal papan selaju serta mempelajari gerakan-gerakan baharu,” katanya sambil memaklumkan kemahiran pengawalan papan selaju bergantung kepada latihan yang konsisten.
Menurut anak muda ini, sukan papan selaju dilihat sebagai satu hobi yang mengujakan.
“Ramai yang bertanya, mengapa kami suka melakukan aksi ini walaupun ia berbahaya? Jawapan saya, kepada mereka hanya satu, cubalah sendiri,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: