Saturday, December 7, 2013

Fiesta Ecoboost lebih kuasa, jimat petrol



SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, hampir setiap pengeluar kenderaan global mengambil inisiatif membangunkan produk berasaskan teknologi jimat bahan api.
Ia berikutan peningkatan harga bahan bakar fosil sekali gus memberi impak besar kepada kos produksi kenderaan dan perbelanjaan pengguna.
Malah ada agensi seperti di Amerika Syarikat yang mengesyorkan pengguna untuk membeli kenderaan jimat bahan api.
Untuk kekal selari dengan trend semasa itu, Ford Motor Company tampil dengan teknologi enjin EcoBoost.
Teknologi EcoBoost lahir di sebalik kesan pasaran minyak dunia mendadak di negara Uncle Sam itu. EcoBoost merangkumi gabungan komponen pengecas turbo, sistem pancitan bahan api dan pemboleh ubah aci sesondol.
Pendek kata, enjin EcoBoost berupaya meledakkan kuasa output dan tork secara konsisten seperti sebuah jentera bersesaran tinggi tetapi jimat bahan api.
Jangan terkejut, Ford mendakwa enjin berkenaan lebih baik jika dibandingkan kadar output kuasa dan kecekapan bahan api jentera hibrid dan varian diesel.
Enjin 1.0 EcoBoost itu telah menerima penganugerahan International Engine of The Year tahun 2012 dan 2013 oleh majalah Engine Technology International.

RUANG dalaman varian Titanium tampak segar dan luas dengan aplikasi kombinasi tona cerah dan gelap.


EcoBoost dilihat sebagai satu alternatif baharu untuk diaplikasikan pada rangkaian produk masa hadapan Ford.
Antara rangkaian model Ford yang menggunakan teknologi enjin EcoBoost ialah Focus, Ecosport, Mondeo dan Fiesta.
Bagi mendalami kehebatan teknologi EcoBoost, Ford Malaysia membuka peluang kepada pengamal media tempatan untuk satu sesi pandu uji model Ford Fiesta EcoBoost 2014 di Chiang Mai, Thailand baru-baru ini.
Fiesta EcoBoost yang disediakan ialah varian Titanium sedan dan S (hatchback). Perbezaan utama varian itu dengan model Fiesta di Malaysia terletak pada enjinnya.
Model Fiesta EcoBoost dipasang enjin 1.0 liter tiga silinder namun ledakan kuasanya ibarat satu ketagihan buat penulis. Sesi pandu uji itu seolah-olah amat singkat sedangkan kami memandu dari pagi sehingga matahari terbenam.
Laluan perjalanan yang ditempuh melibatkan kawasan bandar, berbukit, lebuh raya dan jalan-jalan kecil di kampung.
Destinasi perjalanan kira-kira 240 kilometer (km) itu bermula dari Holiday Inn menuju Proud Phu Fah Resort sebelum tiba di High Resort. Kumpulan media kemudiannya mengemudi kereta jenama Amerika Syarikat itu ke Thai Elephant Conservation Center sebelum kembali semula ke hotel penginapan di Holiday Inn.
Sepanjang sesi pandu uji, penulis merasakan semua laluan ditetapkan itu tidak mendatangkan masalah untuk Fiesta EcoBoost.
Senario meredah laluan berbukit dan selekoh sejauh 19km mendatangkan keseronokan kerana enjin memberikan kuasa yang diperlukan. Pijak pedal, terasa tarikan sehingga badan terlekat pada kerusi pemandu.
Sebelum memasuki kawasan lebuh raya, penulis sempat menukar kepada model Fiesta S bersama seorang rakan. Jentera itu berjaya mencapai kelajuan sehingga 180km sejam tanpa perlu menunggu lama.

SELEKOH mendaki bukit antara cabaran yang nyata tidak setanding dengan kemampuan teknologi EcoBoost.


Selain daripada kuasa pecutan kereta ini, sistem audio yang digunakan juga agak menarik. Alunan muzik yang keluar daripada enam unit pembesar suara ibarat teater rumah.
Sebelum ini, Ford telah memperkenalkan sistem Sync pada model Ranger. Apa yang menariknya selepas anda mengaturkan telefon dan Sync, pemandu hanya perlu menekan satu butang di stereng dan memberi arahan kepada Sync.
Antara perkara yang boleh dilakukan menerusi pemberian arahan ialah kawalan sistem audio dan membuat panggilan telefon.
Pada bahagian papan pemuka, ada satu set butang nombor sebagai alternatif membuat panggilan. Agak canggih bagi sebuah kereta dalam segmen B.
Turut mendiami papan pemuka Fiesta EcoBoost ialah Paparan Pelbagai Maklumat (MID) yang membolehkan pengguna memeriksa sistem kereta ini.
Untuk varian Titanium, kerusinya dibalut dengan warna krim kehijauan manakala untuk varian S menggunakan campuran kulit dan fabrik berwarna gelap.
Model ini dijangka menembus pasaran di Malaysia pada tahun hadapan. Ford menganggarkan harga Fiesta EcoBoost bermula daripada RM95,000 seunit.
Mungkin Ford Fiesta EcoBoost bakal mendatangkan saingan sengit kepada pesaing-pesaing sekelas dengannya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: