|
AROMA serbuk kopi yang diimport khas dari Brazil menerpa ke dalam rongga hidung kru Jurnal tatkala kami melangkah ke sebuah kilang pemprosesan kopi di Damansara Damai, Selangor.
Cuaca dingin pada petang Khamis lalu seakan-akan tepat pada masanya apabila kru Jurnal dihidangkan dengan secawan kopi kesihatan jenama Superbest Power.
Baunya sahaja sudah cukup membangkitkan rasa. Peluang merasai sendiri keenakan rasa kopi yang baru sahaja diadun di kilang tersebut tidak dilepaskan.
Segala-galanya dirasakan mencukupi baik dari segi rasa, warna dan teksturnya kerana kopi itu tidak perlu lagi ditambah susu atau gula.
Menurut Pengarah Urusan Superbest Power Health Food & Beverages Sdn. Bhd. (Superbest Power), Kamal Mohd. Nor, idea untuk menjadikan kopi sebagai produk utama syarikatnya diperoleh pada tahun 2007 ketika beliau berkhidmat di sebuah syarikat jualan langsung yang menawarkan barangan runcit.
"Sebelum ini, saya berkhidmat sebagai guru selama 11 tahun di sekitar Pahang. Bermula tahun 1998, saya berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dengan menjadi pembekal makanan sejuk beku di beberapa bandar di Pahang.
"Melihatkan perniagaan yang semakin meningkat, saya berhenti kerja sebagai guru bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan.
"Tetapi disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Perniagaan itu tidak menjadi selepas lima tahun beroperasi berikutan kemunculan beberapa pasar raya di sekitar Bandar Pusat Jengka, Pahang yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan," ujarnya yang berasal dari Temerloh, Pahang.
Jelas Kamal, beliau dulunya bukanlah seorang penggemar kopi kerana beliau akan mengalami sakit perut serta pening kepala sekiranya minum minuman kafein tersebut.
"Ketika berkhidmat di syarikat jualan langsung, salah satu produk yang perlu dijual ialah kopi tetapi minuman itu gagal menepati cita rasa masyarakat.
Kopi Brazil
"Saya juga tidak boleh meminum kopi tersebut disebabkan rasanya yang pahit sehinggalah pemilik syarikat tersebut menawarkan peluang kepada saya untuk mendapatkan sebuah syarikat pengeluar kopi lain.
"Dari situ, saya mula melakukan kajian pasaran dan ternyata minuman kopi mempunyai penggemar yang ramai.
"Saya berazam untuk mengeluarkan kopi yang benar-benar menepati cita rasa setiap individu bagi syarikat jualan langsung terbabit dan menempah sebanyak 2,000 kotak kopi melalui sebuah syarikat pengeluar kopi.
"Tetapi pemilik syarikat jualan langsung itu mampu menampung kos bagi 1,000 kotak sahaja menyebabkan saya terpaksa menukar pembungkusan kopi itu menggunakan jenama sendiri," tambahnya yang sudah enam tahun berkecimpung dalam industri pembuatan kopi.
Menurut Kamal, kopi Arabika dari Brazil dipilih sebagai bahan utama di dalam produknya memandangkan kandungan asidnya yang rendah selain ditanam pada ketinggian 1,500 meter dari aras laut.
"Saya pernah terputus bekalan kopi dari Brazil selama sebulan disebabkan pembekal tiada stok tetapi saya tetap tidak mengambil kopi dari negara lain kerana mahu menjaga kualiti produk yang dihasilkan.
"Kualiti sangat diutamakan malah saya juga akan memastikan keenakan dan rasa kopi Superbest Power tidak berubah.
"Malah, setiap bancuhan kopi Superbest Power yang menjalani proses selama satu jam akan dicuba terlebih dulu bagi mengekalkan rasa kopi ini sebelum melalui proses seterusnya," jelasnya yang dibantu seramai 30 orang kakitangan.
Menurut Kamal, tidak seperti kebanyakan jenama kopi pracampuran lain di pasaran, kopi pracampuran Superbest Power menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) menggunakan kepakaran Taman Teknologi Malaysia (TPM), Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Larut air
"Kami menjalankan kajian secara saintifik bagi menghasilkan kopi yang boleh dinikmati sebagai minuman harian dan sesuai untuk semua peringkat umur.
"Produk minuman kopi ini turut diformulasi dengan kombinasi campuran pelbagai herba tradisional termasuk ekstrak tongkat ali, ubi jaga dan cendawan ganoderma yang diimport dari China," katanya.
Kamal memberitahu, kandungan herba tersebut akan diekstrak terlebih dulu secara kimia dan ditulenkan kerana proses berkenaan merupakan cara yang betul untuk memastikan khasiatnya dapat dikekalkan.
"Sebagai contoh, secara tradisional, tongkat ali perlu direbus terlebih dulu dan air rebusannya disimpan manakala hampasnya dibuang.
"Air rebusan tadi akan dibekukan sebelum diproses menjadi serbuk larut air.
"Selain dapat memberi rasa yang lebih berperisa, kaedah ini juga mampu mengekalkan kandungan bioaktif dalam herba tersebut," ujarnya.
Bagaimanapun, Kamal mendakwa, ada sesetengah syarikat pengeluar kopi mengekstrak tongkat ali dengan cara salah iaitu mengisar herba itu sehingga menjadi serbuk untuk dijadikan minuman bertenaga.
"Jika dikisar sehingga halus sekalipun, ia ibarat memasukkan habuk kayu ke dalam minuman. Hal ini boleh membahayakan kesihatan pengguna untuk jangka masa panjang," jelasnya panjang lebar.
Bertutur lanjut, Kamal memberitahu, herba larut air tersebut seterusnya akan diadun bersama serbuk kopi dan krimer bukan tenusu bagi menghasilkan minuman kopi bermutu tinggi.
"Krimer itu berasaskan minyak sawit. Minyak isirung sawit digunakan bagi menggantikan lemak susu agar pengguna yang alah kepada produk tenusu turut dapat menikmati keenakan kopi ini," katanya.
Sebati
Jelas Kamal, kopi keluaran syarikatnya itu diperkayakan dengan kandungan yang tidak memudaratkan kesihatan jika diminum dalam kuantiti yang banyak.
"Kebiasaannya, penggemar kopi agak takut untuk meminum kopi segera disebabkan kandungan gula yang tinggi.
"Namun, mereka tidak perlu bimbang jika meminum produk Superbest Power kerana ia tidak mengandungi gula.
"Seelok-eloknya ia diambil sebanyak tiga kali sehari iaitu waktu pagi, petang dan malam," katanya sambil memberitahu, kopi itu sesuai diambil oleh golongan lelaki dan wanita termasuk ibu mengandung.
Kamal memberitahu, berdasarkan pengalaman beberapa pengguna wanita, menikmati secawan kopi Superbest Power pada waktu pagi akan memberi tenaga berpanjangan dan melancarkan peredaran darah haid.
"Secara tradisi, air rebusantongkat ali dijadikan tonik bagi wanita selepas bersalin. Ia juga baik untuk melegakan sakit senggugut semasa datang bulan.
"Malah, ia amat mudah untuk disediakan sama ada menggunakan air panas atau sejuk," jelasnya sambil menambah peluang masih terbuka kepada mereka yang mahu menjadi pengedar kopi tersebut.
Katanya, pihaknya memperuntukkan jumlah pengeluaran kira-kira 60,000 kotak sebulan bagi memenuhi permintaan pengedaran di seluruh negara.
"Dalam sehari sahaja, kami berjaya memproses kira-kira 15,000 hingga 20,000 peket kopi pracampuran ini dengan menjalani proses adunan selama 10 kali dalam sehari menggunakan sebuah mesin pengadun yang diimport dari China.
"Sebanyak 300 kilogram bahan boleh diadun dalam sehari membabitkan proses selama sejam bagi memastikan campuran kopi dan bahan-bahan lain menjadi sebati," ujarnya yang mendapat bekalan kopi dari Brazil sebulan sekali dengan kualiti kopi yang boleh bertahan selama dua tahun.
Selain kopi Superbest Power, pihaknya turut mengeluarkan lima jenis produk lain iaitu Susu Kambing Goat Power, Queen Fatimah Plus Collagen, kopi pracampuran Cintaku dan yang terbaharu Jus Qisya.
Tambahnya, pihaknya merancang untuk mengeksport produk tersebut ke China dan Asia Barat serta menembusi pasaran Asia sebagai perancangan masa depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: