Sunday, December 8, 2013

Ribut musim sejuk di Eropah ragut 10 nyawa

ORANG RAMAI berjalan dalam salji tebal yang dibawa Ribut Xaver di bandar Gdansk di utara Poland semalam.


BERLIN - Ribut ais musim sejuk membadai utara Eropah kelmarin dengan angka kematian meningkat kepada 10 orang manakala beratus ribu penduduk terputus bekalan elektrik.
Bencana alam itu turut menyebabkan keadaan di jalan raya, landasan kereta api dan pengangkutan udara di rantau berkenaan menjadi huru-hara.
Mangsa terbaharu merupakan seorang wanita warga emas di utara Sweden yang ditemui mati dalam timbunan salji di luar flatnya dengan hanya memakai pakaian dalam.
Seorang lelaki maut dihempap sebatang pokok tumbang di Sweden kelmarin manakala dua kelasi Filipina yang dihanyutkan dari kapal mereka pada Khamis lalu masih hilang.
Ribut Atlantik, Xaver yang membawa angin selaju 158 kilometer sejam melanda Jerman, Belanda, Poland dan Sweden kelmarin selepas membadai Britain pada hari sebelumnya.
Di utara Eropah, pasukan kecemasan bergelut untuk mengosongkan kawasan pelabuhan yang dilanda banjir, membina tembok pasir dan membaiki kerosakan landasan, lebuh raya serta mendirikan semula tiang elektrik yang tumbang.
Sebanyak 400,000 isi rumah di Poland terputus bekalan elektrik dengan situasi serupa dialami oleh 50,000 penduduk di Sweden dan 4,000 kediaman di Jerman.
Beribu-ribu penumpang pula terkandas selepas banyak penerbangan dibatalkan melibatkan lapangan terbang di Amsterdam, Berlin, Hamburg Gdansk dan beberapa lokasi lain.
Sementara itu, tiga orang terbunuh apabila sebatang pokok tumbang menghempap kereta yang dinaiki mereka dekat bandar Lembork, utara Poland kelmarin.
"Tiga orang mati di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa dibawa ke hospital," kata jurucakap jabatan bomba, Bogdan Madej.
Pada hari sebelumnya di Britain, seorang pemandu lori maut apabila kenderaannya merempuh beberapa kereta lain manakala seorang lelaki warga emas terbunuh akibat dihempap sebatang pokok di Nottinghamshire, tengah England.
Pada hari yang sama, seorang wanita berumur 72 tahun meninggal dunia di Denmark selepas kenderaan yang dipandunya terbalik akibat ditiup angin kencang.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: