Sunday, December 8, 2013

Rela membujang demi ibu

TATKALA rakan seusia yang lain ghairah berpacaran dan memikirkan soal kahwin, Ahmad pula seperti tidak kisah langsung mengenainya.
Biarpun sudah menginjak usia 26 tahun, jejaka kelahiran Muar, Johor ini enggan menjadikan perkahwinan sebagai matlamat utama, sekurang-kurangnya pada masa ini.
Bukan tidak pernah terlintas di fikiran untuk memiliki kekasih sementelah itulah fitrah kaum Adam yang memerlukan seorang Hawa di sisi, tetapi ada perkara lain yang perlu dipatuhi sebagai seorang anak.
"Ini permintaan ibu saya. Ibu minta saya supaya jangan berkahwin lagi sekarang.
"Dia mahu saya temankan dia menghabiskan sisa-sisa usianya dulu. Kalau nak kahwin pun, ibu suruh tunggu lepas dia meninggal dunia,"ujar anak ke-12 daripada 13 adik-beradik ini.
Ahmad mengakui dia merupakan satu-satunya anak lelaki bujang yang menjadi tempat ibunya berkongsi cerita.
Jika dilihat dari segi bilangan adik-beradik, Ahmad sebenarnya datang daripada sebuah keluarga yang besar, iaitu sembilan lelaki dan empat perempuan. Namun, Ahmad anak lelaki yang paling rapat dengan ibunya.
"Ibu beritahu, dia berasa sunyi apabila seorang demi seorang anaknya berumah tangga.
"Lebih menyedihkan apabila ibu merasakan abang-abang saya yang lain kurang mengambil berat tentang ibu selepas mereka berumah tangga,"ujar pelajar tahun akhir Sarjana Sains Petroleum di sebuah universiti di negeri Perak ini.
Katanya, adik-beradik lelakinya semua sudah berkahwin. Seorang kakak dan adik perempuannya pula bakal berkahwin dalam masa terdekat.
Namun, si ibu yang kini berusia 65 tahun tidak pernah mengharapkan anak-anak perempuan untuk menjaganya.
Tanggungjawab
"Maklumlah, perempuan kalau sudah berkahwin, tanggungjawab mereka lebih kepada suami. Tapi, kalau anak lelaki, ibu bapa menjadi keutamaan selama-lamanya. Bukankah syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu?
"Sebab itu ibu perlukan saya untuk tengok-tengokkan dirinya yang sudah tua dan mula kurang sihat,"katanya yang memberitahu, abang-abangnya tinggal berjauhan dan jarang pulang ke rumah kampung.
Menurut Ahmad, ibunya kesunyian selepas kematian arwah ayahnya tujuh tahun lalu akibat sakit tua.
Namun, selepas pemergian si suami, ibunya tekad untuk meneruskan hidup bersendirian.
"Bukan tidak ada orang yang cuba menjodohkan ibu dengan lelaki lain, tetapi ibu yang mempunyai 16 orang cucu itu seperti mahu memorinya bersama arwah ayah terus hidup. Cintanya hanya untuk ayah,"cerita Ahmad.
Apatah lagi apabila memikirkan faktor usia, katanya, ibunya berasa memadai mengharap perhatian dan belaian kasih sayang daripada anak-anak.
"Dulu sewaktu arwah ayah masih ada, dialah yang menjadi peneman ibu. Kalau pergi ke mana-mana, arwah ayahlah kawannya.
"Jadi, ibu tak terasa keseorangan. Ada orang tempat ibu meluahkan perasaan, cuma sekarang dia semakin jauh dengan anak-anak,"katanya yang mempunyai abang sulung berusia 40 tahun.
Menurut Ahmad, abang-abangnya mempunyai komitmen dengan keluarga masing-masing.
Malah, dia sendiri sedih dan terkilan apabila ibunya pernah meluahkan rasa hati mengenai sikap abang-abangnya itu.
"Ibu beritahu, abang-abang saya sebelum berkahwin selalu tanya khabar dan balik kampung.
Berkahwin
"Tetapi selepas berkahwin, nak telefon dan tanya khabar seminggu sekali pun susah. Masing-masing sibuk dengan keluarga sendiri,"ujarnya.
Atas faktor itulah, si ibu bimbang kalau-kalau Ahmad mengikut perangai semua abangnya apabila dia berkahwin nanti.
"Dia takut kalau saya kahwin, saya akan jadi macam abang-abang saya yang tak ada masa untuk ibu.
"Sebelum kahwin mungkin kita akan ingat ada masa untuk ibu, tapi semua itu akan hilang sedikit demi sedikit,"katanya.
Ahmad tahu saat ibunya berada pada usia emas ini, wanita itu hanya perlukan perhatian daripada anak-anak.
Lantaran itu, biarpun tinggal berjauhan, Ahmad akan menelefon ibunya sekurang-kurangnya tiga kali sehari dan pulang ke kampung seminggu sekali.
Ujar Ahmad, atas permintaan ibunya itu jugalah, dia enggan menjalin hubungan rapat dengan mana-mana wanita.
"Saya tak nak mereka tertunggu-tunggu atau menaruh harapan kepada saya untuk menjadikan mereka isteri,"ujarnya.
Sungguhpun begitu, Ahmad tidak kisah jika itu yang mampu membuatkan ibunya gembira.
"Jodoh di tangan Tuhan. Saya pun tak tahu bila akan berkahwin. Tapi, kalau tak kahwin pun tak mengapa. Kalau itu yang ibu minta, saya tak kisah.
"Buat masa ini memang ibulah segala-galanya. Sayalah tempat dia berkongsi cerita. Bahkan dia takut kehilangan saya.
"Sebagai anak lelaki kadang-kadang kita terlupa apabila sudah berkahwin, ibu tetap perlu diberi keutamaan berbanding dengan isteri.
"Isteri bila-bila boleh cari, tapi, ibu kita hanya ada satu di dunia,"ujarnya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: