Wednesday, December 4, 2013

Formula tiga cerita Kolumpo


KARYAWAN yang terlibat dengan pembikinan filem Kolumpo bergambar selepas usai tayangan perdana filem tersebut di e@Curve, Mutiara Damansara, Selangor minggu lalu.


FILEM Sepi dan Cinta arahan Kabir Bhatia sebelum ini pernah menggunakan format tiga cerita dalam satu filem. Tradisi itu kini diteruskan oleh tiga pengarah yang bergabung tenaga menghasilkan filem antologi yang diberi judul Kolumpo.
Kisah tiga rumpun masyarakat berbeza iaitu Melayu, Cina dan imigran India yang ditonjolkan oleh Bront Palarae, Sheikh Munasar dan Rozi Izma selaku pengarah bertiga secara dasarnya memerlukan pemikiran selari untuk menjalinkan tiga kisah berbeza.
Hal itu diakui sendiri oleh Bront yang baru pertama kali mengarahkan sebuah filem pendek. Bront menghasilkan kisah kelompok imigran dari India yang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki.
“Kolumpo dihasilkan menerusi sebuah perbincangan dan demokrasi terpimpin antara tiga pihak iaitu saya, Sheikh Munasar dan Rozi Isma yang masing-masing sudah mempunyai tema serupa iaitu kisah berkaitan kota raya Kuala Lumpur.
“Jadi, saya merasakan adalah lebih baik untuk kami menggabungkan ketiga-tiga kisah menarik itu untuk diterjemahkan dalam bentuk filem. Maka, terhasil Kolumpo yang telah dibikin dua tahun lalu,” ujarnya yang ditemui di majlis pratonton filem Kolumpo di e@Curve, Mutiara Damansara, Selangor minggu lalu.
Tambah Bront, uniknya Kolumpo kerana filem itu memberikan jiwa dari sudut golongan marhaen yang menetap di Kuala Lumpur.
Kisah imigran India dijayakan berkesan oleh pelakon utamanya, Ezad Jazmin yang melakonkan watak Rahul bersama pelakon legenda, Mano Maniam dan Radhi Khalid.
Sementara itu, kisah pergolakan perasaan seorang gadis Cina terhadap kehidupan peribadi dan keluarganya dipertontonkan oleh karakter Gienna yang dilakonkan oleh Nell Ng berpadu tenaga dengan lakonan wanita penghidap Alzhemier, Nek Wok, lakonan Ruminah Sidek.
Kisah ketiga pula dijayakan oleh kolaborasi pelakon baharu, Amirul Ariff bersama Sharifah Amani yang menceritakan perubahan landskap hidup seorang remaja lelaki yang bergelut dengan identiti dirinya sendiri.
Kata Sheikh Munasar, penggambaran filem Kolumpo yang mengambil masa lebih tiga minggu itu tidak berdepan kekangan memandangkan proses praproduksi telah dilaksanakan terlebih awal.
“Kami bertiga sudah lama kenal antara satu sama lain dan setiap peringkat kami akan berbincang untuk seimbangkan jalan cerita malah kami tidak sentiasa memandang serius sudut teknikal dan elemen-elemen kecil yang sering diabaikan apabila membikin filem,” jelasnya.
Malah, ketiga-tiga pengarah turut menitik beratkan faktor sensitiviti apabila filem itu membabitkan tiga kaum berbeza iaitu Melayu, Cina dan India.
“Filem Kolumpo memerlukan pembabitan berbilang bangsa jadi kami perlu menggunakan dialog yang relevan. Setiap seorang antara kami akan memantau satu sama lain agar tidak terlepas pandang perkara-perkara yang boleh mendatangkan isu kemudian hari,” tambahnya.
Kolumpo terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. turut membabitkan beberapa penampilan khas antaranya Sofi Jikan, Sabri Yunus, Rosnah Mat Aris, Azhan Rani, Nadia Aqilah, Sara Ali, Farid Kamil, Remy Ishak dan Namron.
Filem itu akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula esok.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: