• 10 kerani bank dakwa tertekanMohd Affendi (tiga, kiri) mewakili kakitangan bank menyerahkan memorandum kepada Ahmad (empat, kiri), kelmarin.

KOTA BHARU - Seramai 10 kerani salah sebuah bank di Jalan Sultan Yahya Petra dan cawangannya di Jalan Padang Garong, di sini mengalami tekanan setelah mendakwa mereka dipaksa berpindah ke negeri lain tanpa mengikut perjanjian.

Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) Cawangan Kelantan,  Mohd Affendi Husain, berkata, ada dalam kalangan mereka sudah bekerja dengan bank berkenaan sejak penubuhan bank di negeri ini 17 tahun lalu.

“Kami mengambil kata sepakat membawa isu ini kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bagi memaklumkan perkara ini dan mengharapkan beliau dapat bertindak sebagai perantara terhadap permasalahan ini.

“Pemindahan tempat kerja ini dipanggil ‘penghuban dan pemusatan’ untuk memusatkan  operasi pungutan kepada tiga lokasi di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

“Disebabkan penghuban dan pemusatan ini, 10 daripada 50 pekerja kerani bank dari seluruh negara ditukarkan lokasi, malah mereka terpaksa meninggalkan keluarga dengan kos sara hidup tinggi, berpindah jauh dari tempat asal, sedangkan di dalam perjanjian (CA), pertukaran tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan pekerja itu,” dakwanya semasa Majlis Penyerahan Memorandum Kakitangan Bank di pejabat Menteri Besar, di sini, kelmarin.

Beliau mendakwa, kakitangan terbabit pernah diberi taklimat pada Februari lalu dan surat pertukaran lokasi diberikan pada Jun lalu, namun ia ditangguhkan kepada September.

Bagaimanapun, kata beliau, penangguhan dilakukan sekali lagi pada November lalu dan terkini surat diberikan pada 27 November lalu yang mengarahkan mereka supaya melaporkan diri pada 2 Disember ini (kelmarin), namun mereka masih enggan berpindah.

“Kami pernah membawa masalah ini kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia, Kementerian Sumber Manusia dan bantahan pernah dilakukan dengan 500 ahli NUBE turun berpiket di wisma bank tersebut di Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan Kelantan bersimpati dengan apa yang berlaku kepada kakitangan bank tersebut dan akan mengambil tahu mengikut keupayaannya.

“Kita simpati di mana perkara seperti ini hendaklah dibincangkan dan ada persatuan untuk kebaikan kedua-dua pihak memandangkan bank adalah institusi kewangan serta tempat mencari rezeki.

“Kebajikan dan kepentingan pekerja harus diutamakan dan saya mengharapkan masalah ini dapat diselesaikan sebaik mungkin,” katanya.