Wednesday, December 4, 2013

Menangis mengenangkan pekerjaan lama



KENANGAN lama yang menerjah masuk di kotak fikiran, mengalirkan isyarat pada hati dan seterusnya menyebabkan air mata pelakon jelita Christina Suzanne tumpah tatkala ditemu bual media usai menggenggam trofi kemenangan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem (menerusi filem KIL) pada Anugerah Skrin 2013 (ASK2013) minggu lalu.
Bukan satu kemenangan kecil tetapi Christina berjaya mengetepikan nama-nama besar seperti Nora Danish (Mencari Cinta), Nadia Aqilah (Zaiton Ceritaku), Lisa Surihani (SAM) dan Jojo Goh (29 Februari) untuk dinobatkan sebagai terbaik pada majlis yang bersiaran secara langsung di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor itu.
Hakikatnya, pelakon berusia 27 tahun itu juga tidak menyangkakan kemenangan tersebut. Dia juga tidak pernah meletakkan dirinya sebagai artis kerana beranggapan lakonan adalah satu cabang pekerjaan untuk dirinya memperoleh pendapatan.
"Saya menangis sebab teringat pekerjaan lama saya. Saya pernah bekerja di pusat komputer (cyber cafe), menjadi pelayan dan juga pramugari.
"Mungkin ramai yang fikir jadi pramugari satu pekerjaan yang glamor seperti berlakon tetapi sebenarnya tidak. Saya kena buat macam-macam termasuk mencuci tandas kapal terbang," ujarnya sambil mengesat air mata yang tumpah.

CHRISTINA memberitahu, selepas dinobatkan sebagai Pelakon Filem Wanita Terbaik dalam ASK 2013, banyak pihak mula memberi perhatian kepadanya.


Dia kemudia menambah: "Mengingatkan kembali perkara itu membuatkan saya rasa sebak. Lebih-lebih lagi dengan apa yang saya dapat sekarang. Saya tidak meletakkan harapan untuk menang sebabnya saya tercalon dengan empat pelakon yang sudah lama dalam industri. Tambahan pula, filem KIL juga tidak mendapat sambutan yang begitu menggalakkan pada saat ia ditayangkan".
Bagaimanapun, dia gembira dan bersyukur hasil kerjanya dan juga filem tersebut diiktiraf pengiat seni tempatan.
Christina yang bakal berkahwin pada 22 Januari 2014 itu juga mengakui terkejut mendapat perhatian luar biasa selepas namanya diumumkan sebagai pemenang. Sedangkan, selama ini dia tidak pernah meraih perhatian sebegitu, malah tidak pernah berasakan diri sebagai selebriti.
"Tiba-tiba orang beri perhatian pada saya. Sebelum ini tidak ada siapa yang peduli tentang saya," jelasnya yang mula dikenali menerusi program realiti terbitan Datuk Rosyam Nor iaitu Pilih Kasih musim kedua.
Watak pembantu
Biarpun tidak berjaya masuk ke peringkat akhir program tersebut, rezeki Christina dalam bidang lakonan tetap ada selepas disunting oleh pengarah Erma Fatima membintangi drama Dia Bukan Maryam.
"Saya bermula dengan watak-watak pembantu agak lama. Namun, selepas itu saya memperoleh kepercayaan membawakan watak utama pula dalam drama Bicara Hati dan KIL," ulasnya.
Disoal sama ada kemenangannya itu disebabkan rezeki perkahwinan yang bakal berlangsung tidak lama lagi, Christina mengakui hakikat tersebut.
Ungkapnya, kahwin adalah benda yang baik dan dituntut dalam Islam, dan dia percaya rezeki yang dianugerahkan Allah itu kepadanya.
UJAR Christina, sikap demand dirinya bergantung kepada khidmat tawaran yang diberikan.


Hadiah buat ibu
Pelakon berasal dari Johor Bahru itu juga memberitahu, dia ingin menghadiahkan kemenangannya tersebut buat ibunya.
Semuanya kerana berkat sokongan dan kata-kata nasihat yang diberikan ibunya.
"Saya mahu hadiahkan kemenangan ini pada ibu. Sewaktu saya beritahu dia ingin terlibat dalam bidang seni, dia pesan agar saya pandai menjaga diri. Jangan ada gosip bukan-bukan.
"Tetapi, bila saya mula berlakon, kami sudah jarang sekali berbual bersama. Kadang-kadang saya balik penggambaran ibu sudah tidur dan kadang-kadang ibu hendak bersembang saya sudah penat dan tidak begitu mengendahkannya.
Namun, keesokannya saya akan meminta maaf padanya (ibu) kerana bersikap macam itu," ceritanya lagi.
Mengulas mengenai bayaran yang akan dikenakan selepas beroleh kemenangan tersebut, Christina menolak untuk bersikap demanding.
Katanya, perkara itu bergantung pada berapa lama masa penggambaran yang diambil atau jika memerlukannya berlakon di luar negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: