Saturday, December 7, 2013

Mandela bak magnet selebriti

KEHILANGAN. Kedua-dua ikon kesayangan masyarakat dunia Michael Jackson dan Mandela saling berpelukandi Cape Town, Afrika Selatan pada tahun 1996.


ANGGOTA Spice Girls, Geri Halliwel merangkul lengannya sambil beberapa ahli lain kumpulan pop dari Britain itu memeluk beliau untuk merakamkan gambar kenangan. Figura itu, Nelson Mandela berdiri dan melakar senyuman.
"Mereka heroin saya," ujar Presiden Afrika Selatan itu semasa beliau bertemu dengan penghibur-penghibur muda dan seksi itu pada tahun 1997 di Johannesburg.
Beliau dikurung hampir tiga dekad di dalam penjara aparteid. Selepas dibebaskan, daya penarik yang ada pada Mandela menjadi satu legenda.
Walaupun sering berkongsi pentas dengan nama-nama besar dalam industri hiburan antarabangsa, sukan dan politik, aura Mandela menyinar lebih terang berbanding bintang ternama berkenaan.
Lagu berjudul Free Nelson Mandela dan Bring Him Back Home mengungguli carta muzik pada tahun 1980-an. Sambutan hari ulang tahun ke-70 figura pemimpin prolifik itu pernah disiarkan secara global untuk tatapan jutaan penduduk dunia pada tahun 1988.
Pada ulang tahun ke-85, aura bintang yang dimiliki Mandela menarik kemunculan tetamu terkenal seperti kumpulan U2 dan aktor Hollywood iaitu Robert de Niro. Tidak dilupakan, tukang masak dan pekebunnya turut dijemput menghadiri majlis tersebut.
Mandela juga bersahabat baik dengan ratu televisyen Amerika Syarikat (AS), Oprah Winfrey. Oprah kemudiannya mendapat idea untuk membina sekolah perempuan di kampung halaman Mandela selepas meluangkan masa minum petang bersama-sama.

BEKAS presiden AS, Bill Clinton menyifatkan Mandela sebagai kawan yang sangat setia.


Pernah sekali, pemegang trofi Anugerah Akademi, Charlize Theron yang dilahirkan di Afrika Selatan berkata kepada Mandela bahawa beliau sangat sayangkan pemimpin itu.
"Saya sayangkan awak juga, awak tahu?" balas Mandela ringkas.
Penyanyi ternama dari Kanada, Celine Dion turut menamakan salah seorang anak kembarnya dengan nama Nelson selepas berpeluang bertemu Mandela.
Bakti yang ditabur Mandela kepada manusia sejagat membuatkan dirinya diangkat dengan pelbagai gelaran penuh makna.
Bintang peragaan kulit hitam, Naomi Campbell dilaporkan memanggil Mandela sebagai Datuk Terhormat manakala bekas pemimpin AS, Bill Clinton menyifatkan beliau sebagai kawan yang amat setia.
Kemunculan terakhir Mandela di khalayak ramai adalah pada pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2010 yang berlangsung di Afrika Selatan.
Sementara itu, Presiden AS, Barack Obama dalam kenyataannya di podium Rumah Putih menyatakan bahawa beliau merupakan satu daripada jutaan manusia yang berminat dengan bidang perkhidmatan awam disebabkan Mandela.
"Kita sudah kehilangan orang paling berpengaruh, berani dan berjiwa murni yang membuatkan semua orang ingin meluangkan masa bersamanya. Lelaki itu tidak lagi bersama kita, beliau sudah menjadi sebahagian daripada sejarah.
"Kita mungkin tidak akan berpeluang melihat seseorang seperti Mandela pada masa depan.
"Kini, mari kita bertafakur sebentar dan bersyukur kerana Mandela pernah hidup di dunia ini. Dia lelaki yang melakar sejarah," ujar presiden kulit hitam pertama AS itu.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: