|
BARU sekejap melabuhkan punggung, Bambang Sutrisno Soteto ditembak soalan klise: “Awak orang Malaysia ke Indonesia?” Tertawa kecil lelaki 32 tahun itu dan serentak menjawab: “Saya orang Malaysia, lahir, bersekolah dan membesar di negara ini.” Barangkali orang terkeliru dengan nama Bambang yang kedengaran Indonesia, itu punca soalan sedemikian dikitar hampir setiap orang.
Kemeja berkotak dan seluar panjang celoreng merangkul kemas tubuh Bambang. Sengaja dibiarkan misai dan jambang sedikit meliar pada wajah, agar terserlah pesona maskulin. Rambut dirapi semula jadi, sesuai dengan kerjaya Bambang sebagai pendandan rambut profesional.
Memasuki usia tujuh tahun, salon Hairkunst di The Curve, Mutiara Damansara, Selangor itu masih beroperasi secara teratur. Bezanya, bilangan pelanggan yang hadir kian bertambah. Itu belum lagi dicampur cawangan salon tersebut di Mont Kiara.
Hairkunst kendalian Bambang merupakan antara salon terawal di Malaysia yang menggunakan konsep servis berasaskan janji temu sepenuhnya. Tiada istilah datang, gunting dan balik sesuka hati di Hairkunst, pelanggan perlu menghubungi salon terlebih dulu sebelum datang.
Tujuh tahun yang lalu juga, Bambang tidak mempunyai ramai kenalan di Malaysia, apatah lagi ketika itu dia baru pulang ke tanah air selepas bermukim di bumi Eropah kira-kira enam tahun. Entah dari mana datang kekuatan diri anak jati Kuala Lumpur itu untuk membuka salon berkonsep sedemikian, tambahan pula lokasi Hairkunst di The Curve sedikit tersembunyi daripada bangunan utama.
“Saya buka Hairkunst pada tahun 2007. Memang tak kenal ramai orang dan untuk promosi, saya edar baucar di sekitar The Curve. Waktu itu saya hanya dibantu adik dan pelanggan yang datang kebanyakannya orang asing.
|
“Alhamdulillah, selepas tiga bulan beroperasi, saya dihubungi pihak astro dan ditawarkan sebagai pendandan rambut untuk rancangan realiti Akademi Fantasia musim ke-6.
“Sejak itu, saya banyak menerima kerja dandanan untuk program televisyen dan fotografi majalah. Dalam masa dua tahun, baru saya dapat mengukuhkan nama dan jenama Hairkunst dalam kalangan orang tempatan,” teruja terbias pada wajah Bambang saat mengimbau memori permulaannya ketika ditemui Stailo.
Asrama
Anak kedua daripada lima adik-beradik itu mula menggunting rambut pada usia 14 tahun, ketika menuntut di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Melaka.
Kehidupan berasrama menyulitkan kebanyakan pelajar lelaki sepertinya untuk memotong rambut di kedai mamak atau salon. Duit belanja juga satu hal, penjimatan wang untuk kegunaan sekolah sahaja sudah menyekat keperluan menggunting rambut. Sudahnya, Bambang menawar diri menjadi tukang gunting untuk kawan-kawannya.
Tanpa kepakaran dan pengetahuan asas, Bambang bermula dengan menipiskan bahagian tepi rambut, menggunting sekadar perlu dan akhirnya berani bereksperimen menggunakan pewarna rambut.
“Kawan saya yang minta saya warnakan rambutnya, alih-alih dengan saya sekali dimarah cikgu,” berderai tawa Bambang mengenang kisah lucu tersebut.
Berbekalkan gunting dan sikat biasa, Bambang menerima upah bernilai 50 sen untuk setiap rambut kawan yang digunting. Nilai itu kecil, namun hari ini dia menerima ganjaran berlipat kali ganda menerusi khidmat dandanannya. Bambang amat berterima kasih kepada pengalaman remajanya.
Menjengah fasa awal 20 tahun, Bambang dihantar ibu bapanya ke Mannheim, Jerman bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang ijazah sarjana kejuruteraan kimia. Seperti anak perantau lain, Bambang juga berhajat mencari duit poket untuk kelangsungan hidupnya di negara orang.
Sedang berjalan-jalan, Bambang ternampak iklan kerja kosong sebagai pembancuh kopi di sebuah salon. Tanpa berfikir panjang, Bambang mengisi posisi itu dan menunggu kesempatan terbaik sebelum menyuarakan hasrat untuk mendalami dunia dandanan rambut.
Hanya selepas lima bulan menyediakan minuman buat pelanggan di salon Mod’s Hair, Bambang dijadikan perantis kepada pemilik salon tersebut, Christina Wegschneider. Minat dan kecintaannya terhadap rambut mengungguli ambisinya meskipun dibayar dengan separuh gaji.
“Pernah sekali, saya sedang memotong rambut seorang pelanggan dan dia merungut kepada rakannya di sebelah mengatakan saya tidak pandai bekerja.
“Mungkin mereka tidak tahu bahawa saya boleh bertutur dan memahami bahasa Jerman. Sedikit terguris dengan kenyataan itu, saya meminta bos (Christina) mengambil alih dan memberitahu apa yang terjadi,” imbas Bambang dan memberitahu majikannya tidak putus-putus memberi semangat kepadanya.
Hari graduasi Bambang di Universiti Fachochschule Mannheimm berlangsung serentak dengan penamatan sesi pembelajarannya di Mod’s Hair. Belum mahu pulang ke Malaysia, Bambang yang ketika itu menerima tawaran bekerja di sebuah salon di London terpaksa membohongi keluarganya bahawa dia mendapat pekerjaan dalam bidang kelulusan pendidikannya.
Rahsia besar Bambang itu akhirnya terlerai selepas dia ke Vienna, Austria untuk belajar sambil bekerja di sebuah akademi dan salon rambut bagi tempoh tiga tahun. Bambang menyampaikan sendiri berita itu kepada ibu bapanya. Mengamuk bapanya hingga menyebabkan dua anak-beranak itu saling tidak berkomunikasi selama enam bulan.
BUHA
Lebih 10 tahun berada dalam industri dandanan rambut, Bambang bangkit mengubah industri rambut tanah air. Bersama beberapa pendandan rambut bumiputera, Bambang menubuhkan Persatuan Pendandan Rambut Bumiputera (BUHA) Selangor dan Kuala Lumpur.
|
Selaku presiden, Bambang berhasrat untuk mengembangkan potensi pendandan rambut Melayu dan bumiputera agar lebih berdaya saing. Persepsi masyarakat terhadap keupayaan salon Melayu memberikan perkhidmatan berkelas profesional jarang positif, malah kerap diperlekehkan.
Menerusi kursus setiap bulan, kelompok bumiputera yang masih baharu atau telah bertaraf profesional dapat berkongsi kepakaran masing-masing, sekali gus meningkatkan kemahiran dandanan untuk diaplikasikan di salon masing-masing.
“Visi BUHA adalah membuka sebuah akademi dandanan rambut untuk kumpulan bumiputera yang akan dilatih sendiri pemilik salon dan pendandan rambut profesional bumiputera.
“Jangan pilih bidang dandanan sebagai suka-suka jika ingin berjaya. Kalau anda bersungguh-sungguh dan sedia belajar, percayalah bahawa bidang ini boleh memberikan pulangan yang menguntungkan,” berkobar-kobar Bambang meraih sokongan golongan bumiputera khususnya anak-anak muda.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: