Tuesday, December 10, 2013

Dilema ibu bekerjaya selepas memiliki anak


SESETENGAH ibu sanggup meninggalkan pekerjaan untuk memberi perhatian kepada anak mereka. - Gambar hiasan


SETIAP wanita bekerja yang bakal melahirkan anak, sering berhadapan dilema untuk menempatkan si manja apabila kembali bertugas selepas tamat tempoh berpantang. Di Malaysia, terdapat beberapa pilihan untuk kaum Hawa yang bekerjaya tetapi ia bukanlah semudah yang disangka.
Antaranya, mereka mungkin memilih untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada anak dan keluarga. Namun bukan semua wanita berkeluarga mampu meninggalkan pekerjaan mereka bagi menampung keperluan keluarga.
Pilihan lain bagi kebanyakan wanita bekerjaya ialah meminta bantuan keluarga untuk menjaga anak semasa bekerja, mendapatkan pembantu rumah kepada yang mampu atau menghantar anak kepada pengasuh ataupun pusat penjagaan kanak-kanak.
Walau apa jua pilihan yang diambil, sudah tentu ada kebaikan atau kelemahannya. Ramai ibu yang khuatir untuk meninggalkan anak di bawah jagaan mereka yang bukan ahli keluarga kerana terlalu banyak kemalangan atau kes penderaan ke atas kanak-kanak dilaporkan media sejak kebelakangan ini.
Ani Fadhilah Arrif, 23, memilih untuk berhenti kerja setelah melahirkan anak sulungnya. Menurut Ani, beliau lebih selesa menjadi suri rumah sepenuh masa dan menetap di rumah mertua bagi menjamin keselamatan dan keselesaan anaknya.
"Zafri ialah anak sulung saya dan suami, Syafiq Othman, 29. Kami memang tiada pengalaman menjaga bayi. Kami sepakat menetap di rumah mertua supaya mereka boleh bantu saya menjaga anak semasa Syafiq keluar bekerja," katanya.
Lepas pantang
Ani berpendapat, tindakannya itu adalah satu keputusan yang tepat, selain dapat menimba pengalaman menjaga anak. Dia juga pernah mengalami alahan yang teruk ketika mengandung.
"Sejak lepas pantang sehingga sekarang, saya ada mencari kerja, tapi terpaksa lepaskan semuanya kerana masa kerja tidak sesuai," katanya.
Tambah Ani, kini beliau tidak menghadapi masalah menjaga anak.
Bagi seorang ibu muda, Roslina Anuar, 29, beliau dan suami pada mulanya bercadang untuk menghantar anak mereka ke Pusat Asuhan Kanak-Kanak. Ketika itu dia mula diselubungi perasaan takut dan bersalah walaupun belum melahirkan anak.
"Sejak mendapat tahu saya mengandung, kami membuat keputusan untuk menghantar anak ke pusat asuhan atas faktor usia ibu bapa dan mereka tinggal jauh dari rumah kami," katanya yang bekerja dan tinggal di Ampang, Selangor.
KAJIAN membuktikan bahawa pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi mereka. - Gambar hiasan


Namun sebaik anak sulung dilahirkan, Roslina dan suaminya, Jumadi Boyot, 29, mengubah fikiran dan meminta bantuan ibu Roslina yang tinggal di Kuantan, Pahang untuk mengasuh anak sulung mereka.
"Sedih tu memang sedih, tapi kami terpaksa, demi mencari rezeki. Perasaan rindu kala berjauhan hanya Allah yang tahu hingga kadangkala saya menitiskan air mata kerana terlalu rindu. Hanya gambar dan video keletah anak sebagai penawar," kata Roslina dengan nada sebak.
Bagi mengurangkan beban ibunya, setelah anak sulung mereka Husna berusia tiga tahun, Roslina menghantar anak keduanya, Hanis untuk dijaga ibunya dan mengambil Husna untuk dihantar ke rumah pengasuh di Ampang.
"Pada mulanya kami ingin menghantar Hanis dan Husna ke taska, namun Hanis menghidap kudis buta," katanya.
Keadaan itu memaksa Roslina sekali lagi meminta ibunya mengasuh Hanis manakala anak sulungnya Husna dibawa ke Kuala Lumpur.
Lain pula cerita Mashitah Mamat, 30, yang kini mengandung tujuh bulan anak sulung. Menurut Mashitah, beliau belum mengambil sebarang keputusan namun telah bersedia daripada segi mental.
"Saya tak pasti kerana pengasuh yang paling dekat dengan rumah saya sudah menjaga dua bayi lain, saya rasa terlalu ramai untuk seorang pengasuh menjaga lebih daripada dua bayi pada satu-satu masa," katanya.
Mashitah yang agak risau dengan keputusan yang bakal diambil itu berkata, beliau bersedia untuk berhenti kerja jika tidak sanggup berjauhan dengan anaknya. "Saya bercadang untuk meminta bantuan ibu di kampung menjaga anak. Rumah emak jaraknya satu jam perjalanan dari rumah saya. Jika saya terlalu sedih dan tidak dapat tumpu pada kerja kerana risaukan anak, saya mungkin akan berhenti kerja sementara menunggu anak membesar untuk masuk tadika," kata Mashitah sambil mengusap perutnya yang kian membesar.
Taska berdaftar
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Noraini Mohd. Hashim ketika dihubungi memberitahu, ibu bapa diingatkan supaya sentiasa memantau pengasuh dan taska yang mereka pilih.
"Pertama, ibu bapa bekerja yang ada anak tetapi tiada pengasuh, hantarlah ke taska yang berdaftar di bawah JKM. Senarai taska yang berdaftar boleh didapati di laman web JKM," katanya.
Taska menawarkan alternatif dalam penjagaan anak. Apabila taska itu berdaftar, bermakna JKM telah semak seluruh aspek termasuk kemahiran pengasuh, keselamatan premis, kebersihan premis dan kebersihan dapur dan tandas.
"Kami juga menyarankan ibu bapa supaya kerap memeriksa keadaan fizikal, emosi dan tingkah laku anak yang dihantar kepada pengasuh dan taska," katanya.
Menurut Noraini, ibu bapa seharusnya peka tentang apa jua perubahan anak masing-masing dan tidak bersikap lepas tangan setelah anak dihantar kepada pengasuh atau pusat asuhan.
Apa jua pilihan yang dibuat oleh ibu bapa, pilihan itu sepatutnya mengutamakan kebajikan anak.
"Ibu bapa yang bertanggungjawab harus peka dan tahu setiap perubahan anak mereka dan tidak bergantung kepada pengasuh atau pusat asuhan semata-mata," ujarnya.
Banyak kajian membuktikan bahawa pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi dan menanam nilai-nilai murni dalam diri mereka.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: