Tuesday, December 10, 2013

Bonjour Garden pilih konsep dalam taman

SUASANA ceria di kafe membolehkan pelanggan meluangkan masa untuk menjamu selera secara santai dan selesa.


UNGKAPAN Timur Bertemu Barat bukan baharu. Ia juga tidak asing, bukan sahaja dalam aplikasi teknologi dan perniagaan tetapi juga dalam masakan dan pengeluaran makanan. Apabila pakar kulinari Jepun yang memenangi beberapa anugerah kerana kejayaannya menerapkan cita rasa Eropah dalam inovasi masakannya, ia sememangnya layak diberi perhatian.
Bonjour Garden sebuah restoran terbaharu di Intermark Mall, Kuala Lumpur memberi peluang kepada warga kota kosmopolitan menikmati cita rasa Timur bertemu Barat. Ia merupakan cawangan kelima yang dibuka selepas memulakan perniagaan di Kota Damansara pada 2011.
Dilancarkan oleh Ketua Chef merangkap Pengarah Urusan, Yukichi Matsubara, Bonjour Garden merupakan bakeri dan restoran berkonsep gaya hidup dalam taman serta inspirasi masakan ala Perancis.
Keprihatinan warga urban terhadap pemakanan sihat, menyebabkan Bonjour Garden terpanggil untuk menyediakan makanan sihat dan kreatif. Suasana ceria di kafe membolehkan pelanggan meluangkan masa untuk menjamu selera secara santai dan selesa.
Menyenaraikan lebih 100 jenis makanan meliputi pelbagai makanan konfeksi, pastri dan sajian utama yang pasti menambat selera pelanggan. Bonjour Garden Intermark beroperasi setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 10 malam.
CHEF Matsubara menunjukkan makanan Perancis yang disediakan di Bonjour Garden.


Chef Matsubara menjelaskan, Bonjour Garden diilhamkan oleh sentimen pasaran yang menyaksikan persaingan kemunculan restoran. Memilih konsep taman terapeutik yang memberikan nafas segar dalam hutan konkrit, Matsubara percaya Bonjour Garden satu tempat makan yang merehatkan minda.
“Golongan profesional di bandar raya Kuala Lumpur bersantai sambil meneguk secawan mocha dan menikmati kelazatan croissant bersama rakan-rakan sudah menjadi satu trend,” kata beliau.
Menu utama
Lima menu utama di restoran tersebut dikenali sebagai 5C iaitu caramel cheese raisin (roti mentega gulung), ciabatta (roti keras), croissant, campagne (roti levain) dan cranberry cheese (roti levain).
“Sekiranya makanan tidak disediakan dengan sempurna, maka hidangan itu tidak akan ‘meninggalkan’ dapur,” jelas Matsubara mengenai falsafah dan komitmen peribadinya terhadap Bonjour Garden.
Pakar kulinari kelahiran Kobe, Jepun itu mendapat latihan dalam teknik klasik Perancis dan mengasah kemahirannya di Tokyo dengan bekerja di Kimuraya Bakery.
Chef Matsubara turut menulis buku bertajuk Latest Style of Boulanger Desserts dan menyertai program televisyen Jepun untuk tayangan antarabangsa, Chojin Chef, Bakery Skills. Pada tahun 2004, beliau memenangi pingat emas dalam Cabaran Kulinari Kismis California, pertandingan yang menarik penyertaan pakar bakeri profesional dari seluruh dunia.
Produk di restoran tersebut disediakan oleh kakitangan bakeri sendiri dan dibuat setiap hari menggunakan bahan terbaik dan mengikut resipi tradisional dengan cara moden.
“Kami menggunakan bahan semula jadi tanpa pengawet, yang bermutu paling tinggi dan sihat dalam pembuatan makanan konfeksi kami. Sebagai contoh, kami menggunakan Tepung Torigoe yang termasyhur dari rantau Kyushu di Jepun dan yis asli buatan sendiri yang dibuat daripada Kismis California untuk ‘menaikkan’ roti. Ini memberikan aroma dan rasa yang tersendiri,” katanya.

SALAH satu sandwic istimewa yang boleh didapati di Bonjour Garden.


Mentega yang digunakan di Bonjour Garden juga bergred Appellation d'Origine Protégée (AOP) yang dikeluarkan di Poitou-Charentes, Perancis.
“Keadaan tanah dan iklimnya memberikan rasa lemak mentega dengan cirinya yang tersendiri. Bagi kami, kreativiti bukan sahaja terletak pada rasa, kandungan dan persembahan, tetapi juga inovasi yang penting dalam eksplorasi paduan bahan dan rasa berlainan untuk mencipta kelazatan yang menarik sepanjang masa,” tambah Matsubara.
Bonjour Garden Intermark, Kota Damansara dan Bukit Jelutong, Shah Alam adalah bakeri dan restoran manakala dua lagi cawangan iaitu Mutiara Tropicana dan Valencia Sierramas pula berbentuk kios untuk pesanan bawa pulang.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.facebook.com/bonjourgarden atau hubungi talian 03-6140-7603.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: